Politik

Membentuk Kerajaan Melalui Perpaduan Ummah?

Ramai orang anggap konsep Perpaduan Ummah hanya terikat pada Melayu Islam sahaja. Memetik daripada kertas kerja seminar Perpaduan Ummah Menurut Kacamata Islam, ummah yang dimaksudkan ini perlu dilihat dari konteks penjagaan keharmonian dan kemakmuran negara.

Maka, definisi untuk ‘perpaduan ummah’ yang telah disepakati adalah permuafakatan rakyat pada usaha untuk sama-sama membangun dan mengekalkan keselamatan, kesejahteraan dan kemakmuran negara.

Jika begitu, mengapa terma ini lebih dilihat hanya terikat pada UMNO dan PAS sahaja ? 

Dalam hal ini, kita perlu memahami sejarah bagaimana rencam politik tanah air ini bermula, terutama parti politik Melayu Islam. Konsep kerjasama parti politik sebenarnya sudah bermula sejak Tanah Melayu (sekarang Malaysia) mendapat kemerdekaan lagi. 

Hal ini kita boleh lihat bila mana Tuanku Abdul Rahman mendapatkan muafakat dengan kaum lain yang berpengaruh seperti Cina dan India melalui gabungan antara Parti Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Parti Malaysian Chinese Association (MCA) dan Malaysian Indian Congress (MIC) dalam  Pilihan Raya Bandaran Kuala Lumpur 1952 (Wafdi Auni, 2017).

Seterusnya gabungan ini membentuk Parti Perikatan dalam pilihan raya umum pertama pada tahun 1955 (Shamsul Amri Baharuddin, 1996). 

Tidak terhenti disitu, koalisi ini terus berkembang selepas konflik 13 Mei 1969 menjadi Barisan Nasional yang diwakili oleh UMNO, MCA, MIC, PAS, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN), Parti Pesaka-Bumiputera Bersatu dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) pada tahun 1973 (Hasrom Haron, 2011). 

Penglibatan PAS dalam UMNO sebenarnya telah wujud sebelum itu lagi. PAS yang bermula sebagai gerakan dakwah dikenali sebagai Majlis Tertinggi Agama Malaya (MATA) pada 1947 diikuti oleh Hizbul Muslimin pada 1948 akhirnya terkubur disebabkan penguatkuasaan Ordinan Darurat pada Jun 1948. Selepas insiden itu, ada yang ambil pendekatan untuk bersama dengan UMNO bagi membangkitkan isu-isu umat Islam. Namun ketidaksefahaman ideologi menjadi mereka tidak serasi dan PAS secara rasminya ditubuhkan pada 24 November 1951.

Berbalik pada peristiwa 13 Mei, kita boleh faham kenapa koalisi yang terwujud selepas insiden krisis perkauman itu menjadi lebih kukuh dan besar. Ini adalah signal bahawa rakyat bersepakat untuk menjaga keharmonian negara. Sekali gus ini merupakan saat kemuncak perpaduaan ummah yang seiring dengan Perlembagaan Persekutuan khususnya dalam Perkara 3 dan 160(2).

Peruntukan mengenai Perkara 3 adalah sangat penting kerana ia menjelaskan agama Islam adalah agama persekutuan tetapi pada masa yang sama ,ia juga memberi hak kepada orang bukan Islam untuk mengamalkan agama mereka dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. 

Manakala peruntukan perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan telah mendefinisikan Bangsa Melayu ialah seseorang yang beragama islam , Bahasa Melayu sebagai percakapan harian , mengamalkan adat Melayu dan lahir di Tanah Melayu ataupun dikenali sebagai Malaysia.

Para pemimpin terdahulu telah bersetuju untuk memberikan “Hak Istimewa OrangMelayu” kepada orang melayu sebagai cagaran atau gantian untuk persediaan bangsamelayu di tanah melayu untuk menerima kedatangan kaum India dan kaum Cina untukberkongsi kehidupan di tanah melayu secara bersama.

Sepertimana kita tahu, UMNO yang dilihat ketara dalam blok Melayu dan PAS pula sinonim dengan perjuangan Islam. Sebab itu gabungan antara dua parti ini sangat bermakna dalam memupuk perpaduan yang telah tercipta sejak Merdeka lagi.

Sayangnya, permuafakatan ini tidak kekal lama bilamana selepas 4 tahun, PAS menjadi seteru politik UMNO semula setelah disingkirkan daripada Barisan Nasional pada bulan Disember 1977.

Hal ini kerana keengganan PAS menyokong Rang Undang-undang Darurat di Kelantan berikutan krisis yang melibatkan kedudukan Muhammad Nasir sebagai Menteri Besar Kelantan. Krisis tersebut menyebabkan berlakunya perpecahan dalam PAS dan pengaruh PAS mulai merosot setelah mengalami kekalahan besar pada PRU-5 (1978) ketika berdepan dengan UMNO dan BERJASA (parti serpihan PAS) sehingga menyebabkan PAS hilang penguasaan di Kelantan (Sabri Md Nor, 2016).

Pada tahun 1990, Angkatan Perpaduan Ummah (APU) ditubuhkan yang terdiri daripada parti politik PAS, Parti Melayu Semangat 46 dan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA). Hasil daripada kerjasama ini menyebabkan PAS dapat memerintah Negeri Kelantan pada tahun 1990 (Mohammad Agus Yusoff, 2006).

Pada tahun 1999, telah berlaku krisis dalam UMNO sehingga menyebabkan pemecatan Anwar Ibrahim daripada parti itu dan Kabinet Kerajaan Malaysia. Pecahan daripada blok Anwar telah menubuhkan Angkatan Keadilan (ADIL) seterusnya bergabung dengan PAS, Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) membentuk Barisan Alternatif (BA).

Hasil daripada kerjasama ini, BA telah berjaya merampas semula dan memerintah dua negeri iaitu Kelantan dan Terengganu ketika pilihanraya umum ke-10 (PRU-10) pada tahun 1999. Perkembangan kerjasama politik bertambah menarik apabila pada tahun 2008, ketika PRU-12, blok pembangkang ketika telah menubuhkan Pakatan Rakyat (PR) sebagai alternatif untuk menggantikan dan menentang pemerintah kerajaan ketika itu iaitu BN (Maznah Mohamed, 2008).

Pada tahun 2009, desas desus untuk melaksanakan konsep kerajaan perpaduan iaitu cadangan kerjasama politik dalam bentuk baru telah dicetuskan oleh Presiden PAS sendiri. Cadangan tersebut adalah berdasarkan keadaan semasa politik negara ketika itu.

Kerajaan Perpaduan Nasional (GNU) atau lebih dikenali sebagai Kerajaan Perpaduan (UG) adalah kerajaan campuran yang berkongsi kuasa institusi formal, terdiri daripada semua pihak, tidak terhad kepada blok pemerintah sahaja yang bertujuan menyediakan keselamatan dan kestabilan politik di negara-negara yang berkonflik (Laws, 2012). 

Jadi, secara umumnya konsep ini menuntut supaya Barisan Nasional (BN) berkongsi kuasa dengan Pakatan Rakyat (PR) pada peringkat pembentukan kerajaan persekutuan. Setiap kementerian mesti dikuasai bersama-sama dan dasar-dasar perlu ditentukan secara konsensus.

Oleh yang demikian, konsep kerajaan perpaduan ini menggambarkan bahawa ia bukan suatu keadaan yang PR berada di bawah penguasaan parti politik kerajaan iaitu BN, tetapi mempunyai taraf yang sama sebagai rakan kongsi dalam kerajaan persekutuan (Hafiz Baqi, 2009).

Namun, konsep kerajaan perpaduan ini tidak menjadi realiti kerana parti-parti komponen dalam PR seperti DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak bersetuju dengan cadangan tersebut (Suhana Saad et al., 2012). Tambahan, terdapat juga pihak yang tidak berpuas hati dikalangan ahli PAS sendiri sehingga membawa kepada kewujudan Parti Amanah Nasional (PAN), yang kini dikenali sebagai AMANAH.

Sementara itu, dalam UMNO pula berlaku krisis kepercayaan terhadap pimpinan dan wujud dua blok dalam parti itu. Hal ini menjadi klimaks bilamana Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Dato’ Seri Paduka Mukhriz Mahathir dipecat manakala Dato’ Seri Mohd Shafie Apdal digantung daripada UMNO. Ketidapuasan atas keputusan itu, maka terwujudlah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada Ogos 2016.

Walau bagaimanapun, konsep kerajaan perpaduan (UG) ini masih terus diperbahaskan dan diperkatakan dalam wacana yang berkisarkan permuafakatan politik antara PAS dan UMNO. Dan akhirnya, wujudlah satu himpunan besar iaitu Himpunan Penyatuan Ummah pada September 2019.

Dalam perkembangan politik permuafakatan atau kerjasama parti-parti politik di Malaysia sejak kemerdekaan hingga sekarang, kelihatan parti politik dalam kalangan Melayu-Islam menjadi tunjang kepada asas kerjasama politik yang dibentuk. Hal ini dilihat daripada penglibatan UMNO dalam Parti Perikatan dan BN. Manakala PAS dalam APU, BA dan PR. Hal ini juga kelihatan dalam kerjasama politik UMNO dan PAS dalam BN pada tahun 1974 yang berfokuskan tiga asas iaitu menjamin kestabilan politik, mengekalkan ketuanan Melayu dan menyerapkan Islam dalam pemerintahan Malaysia (Faisal @ Ahmad Faisal & Hamidah Jalani, 2010; Mohamed Mustafa Ishak, 2014). 

Rentetan peristiwa ini menunjukkan Melayu dan Islam merupakan perkara dasar yang diperjuangkan oleh kedua-dua parti tersebut, seiring dengan apa yang ternyata dalam Perlembagaan Persekutuan. Dengan terpeliharanya perjanjian dalam perlembagaan yang telah disepakati, keamanan dan keharmonian rakyat yang berbilang kaum dapat dikecapi.

Dengan memahami sejarah penubuhan parti-parti politik yang terdiri daripada Melayu Islam, kita boleh buat unjuran sama ada gabungan kesemua parti ini mampu merealisasikan perpaduan ummah dari aspek kepimpinan atau tidak.

Dalam hal ini, parti yang akan diambil kira adalah UMNO, PAS, PPBM, AMANAH, PKR (dengan andaian 50% sahaja).

Statistik kerusi yang dimenangi :


PRU 13PRU 14
UMNO8854
PAS2318
PPBM16
AMANAH11
PKR (50%)15 (31)25 (50)
BERJASA00
JUMLAH126124

Daripada statistik ini, permuafakatan parti Melayu-Islam mampu membentuk majoriti dalam pembentukan dasar. Ini secara tidak langsung, dapat memberikan ketenteraman pada orang Melayu, khususnya. Seterusnya, hasrat ke arah model kerajaan campuran boleh direalisasikan dalam masa yang sama memberi layanan yang adil kepada bangsa lain.

Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel Lain

Close
Back to top button
Close
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker