Ekonomi

Memahami Sistem Perakaunan Negara Malaysia

Seperti yang kita ketahui, rakyat Malaysia akan membayar pelbagai cukai dan akhirnya hasil cukai akan dikutip kerajaan. Hasil yang dikutip akan dibelanjakan untuk beberapa tujuan seperti hospital, sekolah, sistem perparitan dan lain-lain. Namun, kerajaan juga mempunyai beberapa akaun seperti manusia biasa.

Kerajaan Malaysia mempunyai satu akaun yang dinamakan ‘Kumpulan Wang Disatukan’. Setelah itu, akaun ini mempunyai 3 lagi akaun dibawahnya iaitu:

  1. Akaun Hasil Disatukan
  2. Akaun Amanah Disatukan
  3. Akaun Pinjaman Disatukan

Pertama sekali, akaun hasil disatukan bermaksud mengakaun semua urus niaga terimaan hasil dan perbelanjaan mengurus kerajaan. Akaun ini bertujuan untuk mengutip hasil-hasil yang dijanakan oleh kerajaan daripada dalam negara dan pelaburan yang kerajaan laksanakan daripada Government Linked Investment Company (GLIC) atau Government Linked Company. Terdapat 4 hasil yang akan dikutip daripada akaun ini iaitu;

  1. Cukai
  2. Hasil Bukan Cukai
  3. Terimaan Bukan Hasil
  4. Hasil Wilayah Persekutuan

Hasil cukai adalah hasil yang diperolehi daripada pendapatan individu, proses jual beli, perbadanan, syarikat, harta. Contoh mudah ialah cukai GST/SST, Cukai Kenaikan Harga Tanah (CKHT), cukai pendapatan, Petroleum Income Tax Act (PITA), dan lain-lain. Manakala Hasil bukan cukai adalah bayaran yang dikenakan daripada kelulusan permit, perkhidmatan yang diberi, sewa harta benda kerajaan, hasil dari pelaburan, sumbangan agensi kerajaan dan lain-lain.

Antara Syarikat Kerajaan Malaysia yang sering menyumbang dalam akaun ini ialah PETRONAS dan Khazanah Nasional Berhad. Dua syarikat ini akan menyumbang pendapatan yang mereka dapat daripada pelaburan dalam bentuk dividen kepada kerajaan Malaysia.

Selain itu, Terimaan Bukan Hasil adalah pulangan balik perbelanjaan dalam tahun kewangan yang lalu termasuk terimaan daripada kumpulan wang amanah yang berlebihan, kredit antara jabatan, pulangan balik bayaran yang lebih atau bayaran pelarasan.

Yang keempat pula adalah Hasil Wilayah Persekutuan yang mana hasil dipungut daripada hasil cukai dan hasil bukan cukai dari Wilayah Persekutuan.

Seterusnya, hasil yang dikutip dalam akaun ini akan digunakan untuk menguruskan 2 jenis perbelanjaan iaitu perbelanjaan operasi dan perbelanjaan pembangunan. Perbelanjaan operasi melibatkan pembayaran emolument atau gaji kepada penjawat awam, pencen kepada pesara kerajaan, perkhidmatan dan bekalan yang digunakan oleh kerajaan, pelaburan kerajaan dalam memiliki aset-aset yang strategik dan lain-lain. Perbelanjaan pembangunan pula adalah perbelanjaan yang kerajaan gunakan demi pembangunan negara. Contohnya, membina sekolah, hospital dan beberapa kemudahan awam yang lain.

Akaun kedua pula ialah Akaun Amanah Disatukan adalah satu daripada Kumpulan Wang Disatukan di mana semua terimaan dan bayaran wang amanah akan diakaun mengikut kehendak akta berkaitan amanah, surat ikatan amanah, arahan amanah, undang-undang atau perjanjian bagi maksud berkaitan. Akaun ini diklasifikasi kepada beberapa Kumpulan Wang Amanah seperti berikut;

  1. Kumpulan Wang Amanah Kerajaan
  2. Kumpulan Wang Pembangunan
  3. Kumpulan Wang Pinjaman Perumahan
  4. Pelbagai Kumpulan Wang Amanah Kerajaan
  5. Kumpulan Wang Amanah Awam
  6. Akaun Deposit

Akaun amanah disatukan adalah akaun yang mana hasil diterima adalah untuk tujuan tertentu sahaja. Hasil yang dikutip dalam akaun ini tidak boleh dipindahkan ke dalam Akaun Hasil disatukan kerana fungsi akaun ini hanya khas untuk kumpulan-kumpulan wang yang telah ditulis sebelum ini.

Terakhir sekali adalah Akaun Pinjaman Disatukan adalah akaun yang menerima dan membayar balik bon-bon yang dipinjam oleh kerajaan. Kerajaan akan menerbitkan bon dan menjualnya kepada pelabur dalam pasaran bon. Terdapat dua bon yang dipinjam oleh kerajaan iaitu don domestik dan bon antarabangsa.

Untuk pinjaman domestik terdapat beberapa instrumen kewangan yang dipinjam oleh kerajaan seperti Bil Perbendaharaan (Treasury Bills), Terbitan Pelaburan Kerajaan (Government Investment Issues), Sekuriti Kerajaan Malaysia (Malaysia Government Securities), dan sukuk (bon Islamik). Rekod pinjaman boleh didapati di laman sesawang Bank Negara Malaysia.

Untuk bon antarabangsa pula, kerajaan akan menerbitkan bon di pasaran bon di luar negara dan akan dijual kepada pelabur di sana. Contohnya adalah Bon Samurai dan Bon Panda. Pinjaman antarabangsa ini akan dimasukkan juga ke dalam Akaun Pinjaman Disatukan. Hasil pinjaman yang dibuat oleh kerajaan dalam akaun ini akan dilaburkan dalam perbelanjaan operasi dan perbelanjaan pembangunan.

Untuk kes GST pula, kerajaan telah menubuhkan satu ‘Kumpulan Wang GST’ untuk mengumpul tuntutan GST. Kerajaan telah memperuntukkan dalam Akta GST 2014 Seksyen 54(2) untuk meletakan hasil dan tuntutan GST dalam Kumpulan Wang GST. Namun, Menteri Kewangan mempunyai kuasa 54(5) untuk memindahkan hasil dalam Kumpulan Wang GST di dalam Akaun Hasil Disatukan.

Hanya Akaun Hasil Disatukan dan Akaun Pinjaman Disatukan sahaja yang dibenarkan untuk membuat perbelanjaan operasi dan pembangunan. Manakala, Akaun Amanah Disatukan hanya menerima dan memulangkan apa-apa terimaan. YB Lim Guan Eng, Menteri Kewangan pernah bercadang untuk meletakkan hasil GST di dalam Akaun Amanah Disatukan. Namun, tidak digalakan oleh Akautan Negera.

Sumber
Jabatan Akauntan Negara. (2013). Akaun Hasil Disatukan. Jabatan Akauntan Negara. (2013). Akaun Amanah Disatukan.Jabatan Akauntan Negara. (2013). Akaun Pinjaman Disatukan.
Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker