Isu SemasaPolitik dan Polisi

Melonggarkan Kelulusan Pinjaman Perumahan Bukan Jalan Penyelesaian

Beberapa bulan yang lalu, Menteri Kewangan telah mencadangkan supaya syarat pinjaman bank dilonggarkan bagi memudahkan proses pembelian rumah pertama bagi rakyat Malaysia. Kini datang lagi satu idea di mana menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyatakan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang disenarai hitam dalam rekod Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS) akan dikecualikan daripada sekatan untuk pembelian rumah pertama.

Jika diperhatikan, kedua-kedua inisiatif ini tidak mampu menyelesaikan masalah utama dan hanya akan menguntungkan pihak pemaju semata-mata. Iyelah, pemaju tidak perlu mengurangkan harga rumah sedikit pun, sebaliknya kerajaan pula memudahkan proses pinjaman yang mana akhirnya peminjam (pembeli rumah) ini akan tidak akan mampu membayar hutangnya di masa akan datang.

Untunglah pihak pemaju, lebih mudahlah mereka menghabiskan rumah tidak terjual mereka yang mencecah 40,916 unit kediaman bernilai RM27.39 bilion setakat Mac 2019.

Selain itu, tindakan memudahkan kelulusan pinjaman kepada mereka yang tidak layak dan mampu ini akan meransang berlakunya krisis seperti mana yang terjadi di Amerika Syarikat (AS) pada 2008.

Ketika itu, ramai yang merasakan harga rumah akan terus naik dan rata-rata rakyat AS membeli rumah dek kerana ingin mengejar keuntungan. Ketika itu pinjaman subprime diperkenalkan dimana mereka yang mempunyai skor kredit yang rendah juga diluluskan pinjamannya tapi dengan kadar faedah yang lebih tinggi.

Orang yang sebelum ini tidak layak mendapat pinjaman kini berjaya mendapatkan pinjaman dan akhirnya kadar pemilikan rumah di Amerika meningkat. Ya, pada mulanya semua gembira kerana mereka sudah berjaya memiliki rumah tetapi mereka terlupa akan bebanan bayaran bulanan tersebut.

Pada tahun 2006, 23.79% peminjam gagal membayar semula pinjaman setelah setahun pinjaman diluluskan dan pada 2007 25.48% peminjam gagal membayar semula pinjaman setelah setahun pinjaman diluluskan. Ini merupakan antara punca krisis ekonomi global pada 2008. Kita tidak mahu perkara ini berulang

Apakah kerajaan yakin mereka yang tidak mampu membayar hutang PTPTN sekitar RM200-RM300 sebulan ini mampu membayar ansuran perumahan?

Katakan harga rumah sekitar RM300,000, bayaran bulanannya sekitar RM1,500. Jika RM200-RM300 sebulan pun mereka culas membayarnya, apatah lagi bayaran rumah yang 3-4 kali ganda mahalnya.

Jika kerajaan benar-benar mahu membantu meningkatkan kadar pemilikan rumah, lihatlah kepada permasalahan sebenar. Permasalahan sebenarnya adalah harga rumah yang terlalu tinggi yang tidak setanding dengan gaji. Bank Dunia menetapkan harga rumah perlu berada sekitar 3 kali ganda dengan pendapatan tahunan tetapi di Malaysia, nisbah gandaanya adalah sehingga 5 kali ganda.

Bina lebih banyak rumah mampu milik atau tingkatkan gaji, bukannya memudahkan proses pinjaman rumah.

Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker