Kolumnis

Mazlan Aliman Cadang Kerajaan Pertimbang Sebelum Jual FGV

Pengerusi Majlis Permuafakatan NGO Felda (MPNF), Datuk Mazlan Aliman mendedahkan satu kertas cadangan alternatif untuk menyelamatkan FGV Holdings dari jatuh ke tangan pihak ketiga sedang dibuat oleh pelbagai kelompok profesional termasuk golongan peneroka. Tambahnya, antara yang terlibat ialah bekas pegawai-pegawai kanan FGV yang menyediakan untuk mengelak saham FGV dijual berikutan prestasi kewangan yang lemah dan bebanan hutang yang dihadapi syarikat berkenaan.

Tambah Datuk Mazlan lagi, apabila kertas cadangan itu siap, ia akan dibawa kepada pengetahuan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Beliau berkata, “Kami merayu kepada pihak kerajaan untuk mempertimbang kertas cadangan yang akan dibentangkan tidak lama lagi. Sekiranya kerajaan boleh menimbang cadangan pihak ketiga (Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary), kenapa tidak cadangan daripada golongan peneroka Felda.” Kenyataan itu dibuat selepas upacara penyampaian bantuan banjir Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di Agro Resort hari ini.

Datuk Mazlan yang juga Pengerusi LPP berpandangan kerajaan harus menimbang sedalam-dalamnya sebelum menjual FGV kepada pihak ketiga. Ini kerana belum tentu ada jaminan syarikat akan kembali mencatat keuntungan dan diuruskan dengan baik jika jatuh ke tangan pihak ketiga. Malah, beliau percaya sekiranya keadaan menjadi lebih buruk di bawah pengurusan baru, ia akan memberi kesan bukan sedikit terhadap kepentingan dan komuniti Felda.

Tambahnya lagi, “Atas sebab itu, selepas Pakatan Harapan muncul sebagai kerajaan, saya menegaskan FGV harus dipulangkan kepada Felda. Tetapi sehingga hari ini, saya merasa amat kecewa selepas lebih setahun berlalu dan pembentangan Kertas Putih Felda, kami tidak menerima maklum balas daripada pihak kerajaan untuk isu yang dibangkitkan. Saya melihat langkah itu (menjual kepada pihak ketiga) sebagai tidak bijak dan kami sedang membuat formula untuk menyelesaikan masalah itu.”

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu LPP sedang bekerjasama dengan Jabatan Pertanian untuk menyediakan laporan dan menilai kawasan-kawasan yang dilanda banjir di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor. Tambah Datuk Mazlan lagi, apabila laporan siap diproses, LPP akan menyalurkan bantuan kepada mangsa-mangsa yang terlibat paling lewat dalam tempoh tiga bulan. “Kami masih belum mendapat data penuh untuk kawasan-kawasan yang terkesan berikutan sesetengah kawasan seperti Johor, Selangor dan Sabah masih dilanda banjir. Bagaimanapun untuk bantuan pakaian sekolah, saya mengarahkan LPP kawasan memberi keutamaan kepada petani dengan bantuan kembali ke sekolah berjumlah RM150.”

Apa yang sedang dirancang ini merupakan sesuatu yang baik. Tetapi ini juga mengundang persoalan, mengapa baru sekarang pelan alternatif untuk menyelamatkan Felda timbul? Jika Datuk Mazlan merasakan pengurusan baru FGV yang diterajui Datuk Wira Azhar Abdul Hamid (pengerusi) dan Datuk Haris Fadzillah Hassan (CEO) tidak memuaskan, beliau boleh saja melobi Pengerusi Felda, Tan Sri Bakke Salleh dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub untuk membuat perubahan.

Tetapi kelihatan ini sebenarnya rancangan alternatif untuk cuba menyaingi pelan pemulihan alternatif yang dicadangkan wakil Tan Sri Syed Mokhtar dalam artikel sebelum ini. Tidak mustahil wujud pihak lain yang hendak bersaing dengan Tan Sri Syed Mokhtar dalam usaha mengambil alih FGV melalui proksi atas nama menyelamatkan FGV. Jika benarlah wujud rancangan sebegitu rupa dengan mempergunakan golongan peneroka sebagai proksi, ketahuilah ia akan ditentang habis-habisan oleh ramai pihak berkepentingan dalam Felda dan FGV.

Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker