GlobalInfo Niaga

Marvel dan Sony Bercerai Talak Satu?

Tom Holland memang “mulut masin”. Dalam bulan May, Twitter Marvel Studios ada tanya idea peminat untuk tajuk Spider-Man 3. Beliau menjawab “Homeless”. Dan itulah yang berlaku baru-baru ini apabila Marvel/Disney (M/D) dan Sony gagal mencapai kata sepakat untuk meneruskan kolaborasi mereka bagi Marvel Cinematic Universe (MCU). Kerjasama mereka pada asalnya agak mengejutkan juga. Termeterai suatu perjanjian pada tahun 2015 yang mana watak Spider-Man dimiliki Sony akan terlibat dalam MCU.

Hasilnya boleh dilihat dalam prestasi empat tahun seterusnya. Suatu kejutan besar yang tidak pernah ditunjukkan telah dijayakan dengan penuh drama. Peter Parker mati dalam Avengers: Infinity War. Bagi pengikut setia, melihat perkara ini buat kali pertama memang meruntun jiwa. Persoalan demi persoalan memainkan perasaan. Apakah mereka benar-benar mati?

Namun dari awal lagi, M/D dan Sony dilihat tiada langsung persepakatan. Kedua-dua pihak saling tidak percaya antara satu sama lain. Pengalaman bersama Sony dalam Spider-Man Tobey Maguire dan Andrew Garfield telah mematangkan Marvel. Setelah penat lelah membina MCU dari bawah, Marvel pastikan bahawa siri Spider-Man Tom Holland tidak boleh berdiri di atas kaki sendiri. Langkah pertama mereka ialah dengan melibatkan Robert Downey Jr. dalam Homecoming sebagai Tony Stark.

Bagi Far From Home pula, Marvel menggunakan Nick Fury pula. Dan projek Far From Home sendiri menunjukkan bahawa M/D dan Sony mempunyai masalah berkaitan persepakatan. Pengumuman Far From Home telah menggagalkan usaha M/D untuk berahsia (Robinson, 2018). Desakan untuk mengedarkan pada tahun 2019 memaksa M/D dedahkan bahawa Far From Home bukannya prekuel sebelum Homecoming.

Walaubagaimanapun, projek diteruskan – dan Far From Home merupakan filem Spider-Man pertama untuk melepasi angka AS$1 bilion. Namun M/D amat tidak berpuas hati dengan perjanjian 2015, yang mana mereka hanya boleh mendapat 5% sahaja daripada kutipan keseluruhan. Bermakna daripada Far From Home, Sony telah mendapat “lion’s share” iaitu 95% yang mana M/D berkongsi AS$55 juta sahaja (Shama, 2019).

Maka Presiden Kevin Feige daripada Marvel Studios ingin berunding untuk perkongsian 50-50 bagi Spider-Man 3 dan kemungkinan 4 (McNary, 2019). Atas kegagalan untuk mencapai kata sepakat sekali lagi, dengan keengganan Sony bergerak daripada 5%, masa depan Spider-Man dibawah MCU secara asasnya telah tamat. (Kit & McMillan, 2019). Jika perkara ini berterusan, barangkali Tom Holland tidak akan kembali sebagai Spider-Man pun.

Perkara sebegini pernah berlaku pada tahun 2010, semasa Spider-Man Tobey Maguire dikebumikan. Ketika itu, Sam Raimi sedang merancang untuk menetak Spider-Man bersama Dr Curt Connors/The Lizard yang sudahpun diberikan petunjuk sejak Spider-Man 2. Terdapat juga ura-ura bahawa Peter Parker menyimpan skandal yang dimainkan Anne Hathaway, sekaligus meranapkan pertunangannya bersama Mary Jane Watson. Tetapi Sony membatalkan Spider-Man 4 atas pengunduran Sam Raimi kerana beliau tidak boleh menepati perancangan pengedaran pada tarikh 6 Mei 2011.

Siri Spider-Man dihidupkan semula bersama Andrew Garfield yang mempunyai plot berlainan. Tetapi pembatalan Amazing Spider-Man mempunyai kisah yang lebih menghairankan. Pada November 24, 2014, sekumpulan penggodam Korea Utara telah menembusi sistem Sony Pictures dan mendedahkan pelbagai perkara, termasuk politik di sebalik tabir Spider-Man. Emel-emel antara Sony dan Marvel mendedahkan suatu perancangan untuk “crossover”.

Oleh kerana terlalu banyak persamaan antara Spider-Man Sam Raimi dengan Amazing Spider-Man, perancangan baharu dimulakan yang menyaksikan Tom Holland dibawa masuk. Feige kemudian berkata Spider-Man akan mengikuti konsep Harry Potter dimana setiap satu projek akan mengikuti tahun seterusnya bagi Peter Parker. Namun dengan kegagalan M/D dan Sony mencapai kata sepakat, jelas sekali peminat-peminat Marvel perlu tunggu dan lihat sahaja.

Sungguhpun begitu, M/D tetap meneruskan Fasa Keempat mereka dengan Black Widow, the Eternals, Shang-Chi and the Legend of the Ten Rings, Doctor Strange in the Multiverse of Madness dan Thor: Love and Thunder. Pada masa yang sama, projek-projek siri TV juga telah disahkan: the Falcon and the Winter Soldier, WandaVision, Loki, dan Hawkeye termasuk juga siri animasi What If…? yang dipercayai turut melibatkan watak-watak sudah mati seperti Killmonger, Abraham Erskine, Howard Stark, Yondu Udonta dan tidak lain tidak bukan (petik jari)… Thanos.

Sumber
Kit, B., & McMillan, G. (2019, August 21). Sony, Marvel to Split on Future 'Spider-Man' ReleasesMcNary, D. (2019, August 21). Sony 'Disappointed' by Disney's Divorce on 'Spider-Man' ProjectsRobinson, J. (2018, December 14). Sony Finally Untangles Its Spider WebShama, E. (2019, August 21). Spider-Man to leave Marvel Universe after Disney and Sony split
Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker