Trivia

Manchester City Kelab Paling Bernilai Di Dunia

Syarikat induk Manchester City, City Football Group (CFG) baru-baru ini mengumumkan suntikan pelaburan baru sebanyak 389 juta paun (RM2.096 bilion) daripada firma pelaburan Amerika Syarikat Silver Lake. Ini menjadikan nilai induk CFG kini mencecah 3.73 bilion paun (RM20.10 bilion). Ketika ini, City menduduki tangga ketiga Liga Perdana Inggeris (PL) dan berjaya melayakkan diri ke pusingan kedua Liga Juara-Juara Eropah (UCL). CFG mempunyai pegangan saham dalam tujuh kelab bola sepak di seluruh dunia dari Girona (Sepanyol) hingga Melbourne City (Australia).

Pengerusi CFG, Khaldoon al-Mubarak berkata, “Kami dan Silver Lake berkongsi kepercayaan yang kuat dalam peluang-peluang yang ditawarkan menerusi pertembungan hiburan, sukan dan teknologi serta keupayaan CFG menjana pertumbuhan jangka panjang dan pendapatan baru global setiap tahun.” Silver Lake yang dikenali menerusi pelaburannya dalam bidang teknologi berpandangan pelaburannya ini dapat membantu fasa baru pertumbuhan CFG dalam sukan premium dan pasaran kandungan hiburan yang rancak pertumbuhannya.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian, Pengarah Urusan Silver Lake Egon Durban akan dilantik sebagai wakil syarikat berkenaan dalam lembaga pengarah CFG. Sebelum CFG mencapai nilai sebegitu rupa, rekod itu sebelum ini dipegang oleh pasukan bola keranjang Brooklyn Nets menerusi pelaburan pengasas bersama Alibaba, Joe Tsai yang membawa kepada nilai US$2.52 bilion. Ini menjadikan Nets sebagai pasukan paling bernilai dalam sejarah pasukan sukan Amerika.

Beberapa minggu lepas, City turut mengumumkan penjanaan pendapatan sebanyak 535.2 juta paun (RM2.88 bilion) musim lepas. Ia merupakan tahun ke-11 pendapatan rekod dijana oleh Citizens dan merapatkan jurang dengan jiran/musuh setempat mereka, Manchester United. Angka itu dijangka akan terus meningkat tahun hadapan selepas City layak ke peringkat kalah mati UCL dan bayaran penajaan jersi oleh Puma sebanyak 45 juta paun setahun (RM242.5 juta) akan berkuatkuasa selepas itu.

Pengurus pelaburan senior di Charles Stanley, Will Walker-Arnott berpandangan antara sebab Silver Lake berminat melabur dalam City ialah hak penyiaran media yang lumayan yang diterima kelab itu. Tambahnya, “Kita mendapati banyak syarikat penyiaran seperti BT, Sky dan Amazon semua membida untuk mendapatkan hak penyiaran PL.” Bagaimanapun, satu perkara yang dijangka mempengaruhi nilai baru ini ialah siasatan UEFA ke atas Citizens berikutan beberapa laporan perlanggaran peraturan kewangan adil (FPL) yang ditimbulkan oleh pemberi maklumat, Football Leaks dan disiarkan dalam beberapa akhbar arus perdana Britain.

Apabila laporan itu timbul, City menafikan sekeras-kerasnya pendedahan yang dibuat Football Leaks dan mendakwa semua maklumat diperoleh menerusi cara haram. Tetapi laporan tersebut menimbulkan kemarahan ramai dari Liga Primera Sepanyol (La Liga) hinggalah pesaing-pesaing City dalam PL dan UCL. Awal bulan ini, cubaan City untuk membunuh siasatan melalui rayuan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) gagal sama sekali. Sekiranya didapati bersalah oleh UEFA, City berhadapan risiko digantung daripada menyertai UCL dan berhadapan hukuman jauh lebih berat oleh panel disiplin UEFA selepas melakukan kesalahan itu buat kali pertama pada tahun 2014.

Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel Lain

Close
Back to top button
Close
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker