Berita

Malaysia Kekal Kedudukan Ke-35 Indeks Inovasi Global 2019

KUALA LUMPUR 25 Julai – Malaysia menduduki tempat kelapan di rantau Asia Tenggara, Asia Timur dan Oceania selepas New Zealand dan mengekalkan kedudukan ke-35 dalam Indeks Inovasi Global (GII) 2019.

Menurut laporan GII, Malaysia masih menjadi antara negara berpendapatan pertengahan yang berusaha merapatkan jurang inovasi, disokong kedudukan petunjuk pertamanya se­perti eksport bersih teknologi tinggi dan eksport barangan kreatif.

Katanya, kedudukan Malaysia meningkat bagi empat daripada tujuh tonggak GII iaitu institusi (ke-40), infrastruktur (ke-42), sofistikated perniagaan (ke-36) dan keluaran kreatif (ke-44), menurut kenyataan bersama dikeluarkan INSEAD, Pertubuhan Hartanah Intelek Dunia (WIPO) dan Cornell University.

“Dari aspek petunjuk, pe­ningkatan paling ketara adalah kualiti universiti dengan Malaysia di kedudukan ke-17 tahun ini manakala Perbelanjaan Domestik Kasar bagi Penyelidikan dan Pembangunan (GERD) yang dilaksanakan perniagaan serta GERD yang dibiayai perniagaan masing-masing di kedudukan ke-25 dan ke-16.

“Bagi beberapa petunjuk lain, Malaysia merupakan antara 10 negara teratas dari segi graduan dalam sains dan kejuruteraan (kelapan), kerjasama penyelidikan antara universiti (kelapan), tahap pembangunan kluster (kelapan) dan beberapa pemboleh berkaitan perdagangan seperti import teknologi tinggi dan eksport bersih teknologi tinggi serta eksport produk kreatif,” menurut pihak berkenaan.

GII, yang diterbitkan bersama oleh INSEAD, WIPO, agensi khusus Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan Cornell University, merupakan kaedah penanda­aras terkemuka bagi eksekutif perniagaan, penggubal dasar dan lain-lain untuk mendapatkan perkembangan mengenai tahap inovasi di seluruh dunia.

Menurut laporan itu, tahun ini, seperti pada tahun lepas, semua ekonomi di rantau Asia Tenggara, Asia Timur dan ­Oceania berada di kedudukan 100 teratas indeks berkenaan.

Katanya, kesemua ekonomi di rantau ini kecuali Kemboja dan Brunei juga berada di dalam 100 teratas Sub-Indeks Output Inovasi dan Input Inovasi.

“Tujuh daripada 15 ekonomi di rantau ini berada di kedudukan 25 teratas GII: Singapura (ke-8), Republik Korea (ke-11), Hong Kong (China) (ke-13), China (ke-14), Jepun (ke-15), Australia (ke-22) dan New Zealand (ke-25).

“Tiga negara teratas di rantau ini, Singapura, Republik Korea, dan Hong Kong (China) berada dalam kedudukan 25 teratas GII dalam kedua-dua Indeks Input dan Output Inovasi,” katanya.

Sumber: Utusan Online

Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker