Ekonomi

Malaysia Baharu Harus Mengiktirafkan Kadar Kemiskinan

Kadar kemiskinan merupakan suatu realiti dalam semua negara. Setepatnya tiada negara, mahupun Amerika Syarikat dan China, terlepas daripada peratusan kecil ini. Malah Singapura yang kaya sebagai negara kecil pun mempunyai peratusan dua angka bagi kadar kemiskinan. Sepasang suami isteri yang mempunyai dua orang anak dengan gaji tidak melebihi SG$2,000 sebulan dianggap miskin. Dan kadar populasi dalam situasi tersebut mencecah 12.7% (NUS, 2018).

Walaupun pendapatan sedemikian dikecualikan cukai, kos sara hidup harian menekankan golongan ini. Singapura mempunyai bandar keenam paling tinggi kosnya di dunia. Dan antara 2012-2015, keluarga yang menerima bantuan kerajaan mencecah 43.45% (Cho, 2015). Jadi apabila Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sendiri tidak bersetuju dengan angka kemiskinan Malaysia, kerajaan seharusnya menerima hakikat.

Seorang jurulapor khas dalam PBB mengatakan kadar kemiskinan Malaysia berada antara 15%-20% (Dzulkifly, 2019). Sebagai hujahbalas, Azmin Ali menyatakan kekecewaan negara terhadap laporan PBB (Habibu, 2019). Statistik rasmi negara meletakkan kadar kemiskinan negara pada kadar 0.4% iaitu keluarga empat orang yang mempunyai pendapatan bulanan RM980 sepertimana didaftarkan oleh pentadbiran Najib Razak. Bagi PBB, tanda aras sebegini sangatlah ketinggalan zaman.

Ternyata cara pengiraan kerajaan berbeza dengan PBB sendiri. Pada tahun 2010, PBB menetapkan bahawa keluarga yang hidup dengan AS$1.25 (RM5-RM6) sehari sepatutnya diklasifikasikan sebagai miskin. Namun tiga tahun seterusnya, PBB membetah indeks sendiri bahawa AS$1.25 gagal mengetengahkan masalah-masalah sebenar kemiskinan (Ford, 2013).

Disini jelas bahawa PBB sendiri mengkaji semula cara pengiraan hanya dalam 36 bulan sahaja. Malaysia pula menggunakan formula yang diamalkan sekitar 1970-an lagi. 50 tahun merupakan masa yang cukup untuk membezakan cara hidup. Miskin bandar dan miskin kampung pada garis masa yang sama pun sudah jelas bahayanya.

Bank Dunia pula mengikat kadar kemiskinan berada bagi keluarga yang menyara hidup dengan AS$1.90 sehari (WBG, 2015). Sungguhpun begitu, angka ini berdasarkan apa yang boleh dibelanja dengan AS$1.90 di Amerika Syarikat. Universiti Newcastle pula mengatakan angka sepatutnya ialah AS$7.40 sehari.

Menghentak Fantasi Dengan Tukul Realiti

Kadar kemiskinan merupakan nisbah jumlah populasi yang pendapatan bulanan mereka berada dibawah nilai ambang kemiskinan. Bermakna separuh daripada purata pendapatan isi rumah seluruh populasi. Formula ini digunakan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) yang ditubuhkan pada tahun 1961 untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi dan perdagangan dunia.

Purata pendapatan isi rumah Malaysia meningkat sebanyak RM5,228 bagi tahun 2016 (DOSM, 2017). Menggunakan formula ini, isi rumah mana yang gaji pasangan tidak mencecah RM2,600 sebulan jatuh dibawah kategori miskin. Jelas dan nyata angka RM2,600 sangat jauh berbanding RM980 yang diamalkan Malaysia. Sifat play-safe ini seharusnya dihentikan. Kerajaan seharusnya bersikap profesional, bukannya berselindung di sebalik tabir realiti. Jika bercakap tentang politik, ini juga boleh dijadikan helah untuk menyalahkan kerajaan lama. Namun anehnya, Azmin Ali tidak bersetuju dengan pendapat PBB.

Menurut PBB, 9% daripada isi rumah Malaysia sedang sengsara dibawah gaji RM2,000 sebulan, selaras dengan formula OECD. Berdasarkan maklumat daripada Statista, Malaysia mempunyai isi rumah sebanyak 6.7 juta. Ertinya 603,000 isi rumah (sekitar 2.5 juta penduduk) terlibat dalam kadar kemiskinan. Kalau ikut kalkulator kemiskinan Malaysia, kerajaan hanya mengiktiraf 0.4% x 32 juta = 128,000 sahaja dalam ambang kemiskinan. Semasa kerajaan menekankan fokus terhadap 128,000 orang ini, 2.5 juta yang lain barangkali tidak mendapat perhatian sepenuhnya. Belum lagi dikira dengan golongan berpendapatan sederhana yang masih menghadapi kesukaran.

Bayangkanlah – jumlah peneroka FELDA sendiri sudah menghampiri 128,000 orang. Apabila ditanya purata pendapatan sebenar peneroka, barangkali ramai dalam kalangan mereka pun terlibat dengan angka 2.5 juta ini. Walaubagaimanapun, RM2,000 sebulan itu ialah angka dari PBB. Kalau menggunakan angka OECD, kisahnya sangat berbeza. Barangkali memang benar jumlah 15%-20% daripada populasi keseluruhan pun berada dibawah garisan kemiskinan. Kerajaan Malaysia harus mengiktiraf realiti ini. 

Sumber
Cho, C. (2015, January 22). Poverty in Singapore.Dzulkifly, D. (2019, August 23). UN rights expert: Malaysia's poverty rate grossly underreported, actual number between 15 to 20pc: Malay Mail.Ferreira, F. (2016, January 13). Principles and Practice in Measuring Global Poverty.Ford, L. (2013, September 25). We need new ways to measure poverty, UN meeting told.
Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker