Berita

KKMM & MDEC Bekerjasama Wujudkan DICE

Dasar Ekosistem Kandungan Digital (DICE) yang baharu ini disasarkan dapat direalisasikan menjelang hujung tahun ini.

KUALA LUMPUR, 9 Ogos — Kementerian Komunikasi dan Multimedia sedang bekerjasama dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk mewujudkan satu Dasar Ekosistem Kandungan Digital (DICE) yang baharu yang disasarkan dapat direalisasikan menjelang hujung tahun ini.

Menterinya Gobind Singh Deo berkata dasar itu adalah untuk menguatkan lagi industri kandungan digital tempatan dan akhirnya meletakkan Malaysia sebagai pemimpin dalam penciptaan dan pengeluaran kandungan digital di rantau ini.

“Untuk mempercepatkan pertumbuhan industri ini, mementerian saya sedang mengetuai kerja-kerja ke arah mewujudkan Dasar DICE yang seterusnya akan menyokong dan memperkuatkan kepimpinan serantau Malaysia dalam kandungan digital, di mana cita-cita kita adalah untuk menjadikan negara kukuh sebagai hab serantau untuk ekosistem kandungan digital yang kondusif dan berdaya saing di peringkat global.

“Sebenarnya kita sudah bersedia tetapi ada perkara-perkara tertentu yang perlu dirasmikan terlebih dahulu, jadi, kita harap pewujudan DICE dapat dilaksanakan menjelang akhir tahun ini… tetapi jika kita dapat melakukannya lebih awal, kita akan lakukan,” kata beliau kepada pemberita pada pengumuman edisi kelima acara LEVEL UP KL 2019 di sini hari ini.

LEVEL UP KL 2019 yang akan bermula pada 6 hingga 10 Nov adalah temasya tahunan permainan digital Asia Tenggara yang menjadi platform di rantau ini, yang menghimpunkan pembekal teknologi, penerbit dan pembangun permainan digital tempatan dan antarabangsa untuk belajar dan berkongsi maklumat terbaru mengenai teknologi pembangunan kandungan dan trend perniagaan dalam industri.

Terdahulu dalam ucapannya, Gobind berkata dasar DICE akan memfokus untuk menarik pelaburan, membina kandungan tempatan dan syarikat-syarikat selain memperkukuhkan ekosistemnya menerusi perkongsian sektor kerajaan dan swasta.

“Ia juga bermatlamat untuk memajukan penyelidikan, pewujudan harta intelek, pengkomersialan, keupayaan penjenamaan dan pemasaran bagi meningkatkan potensi eksportnya.

“Tidak kurang pentingnya, dasar ini juga akan melihat kepada Amalan-amalan Terbaik untuk menggalakkan persekitaran permainan digital dan animasi yang sihat untuk semua pengguna,” kata beliau.

Beliau berkata untuk menggubal dasar DICE yang baharu, kerajaan juga telah memutuskan untuk mengambil pendekatan berkolaborasi di mana MDEC akan mengadakan sesi perbincangan awam dan perbincangan dengan kumpulan fokus dalam industri, akademia dan mereka yang ada kaitan dan kepentingan dengan industri.

“Selain daripada kemampuan menjana berbilion ringgit kepada ekonomi negara, industri ‘game’ juga dapat mewujudkan peluang pekerjaan terutamanya untuk anak muda. Kerajaan sentiasa peka kepada kehendak dan keperluan anak-anak muda termasuk menerusi sokongan mempelbagaikan program berkaitan e-Sukan dengan lebih meluas lagi di negara ini,” katanya.

Gobind menambah Malaysia tertarik dengan studio teknologi kreatif dan kandungan digital kerana demografi remajanya, akses kepada bakat dengan pengaruh kebudayaan timur dan barat dan sistem pendidikan tinggi yang mempunyai trek teknologi berfokus.

“Hari ini, permintaan kepada bakat teknologi kreatif sedang ditangani bersama oleh Institusi Teknologi Digital Perdana yang telah dikenal pasti oleh MDEC dan ekosistem teknologi… institusi-institusi ini menawarkan program-program yang diiktiraf industri berkaitan dengan realiti maya, ‘augmented reality’, kesan visual dan kemahiran teknologi kreatif yang lain,” katanya.

Sementara itu, dalam sidang media yang sama, Gobind berkata Malaysia harus merebut peluang untuk bersaing dalam acara-acara sukan termasuk Olimpik sekiranya e-Sukan menjadi sebahagian daripada temasya sukan itu.

“Adalah satu idea yang baik sekiranya Kementerian Belia dan Sukan dapat mengkaji perkara itu dengan serius kerana kita mempunyai banyak peluang pada masa depan dan kita boleh gunakan pentas sukan seperti Olimpik contohnya.

“Peranan yang dimainkan oleh kementerian saya adalah untuk kita menyediakan infrastruktur. Kita perlu sediakan infrastruktur supaya kita dapat menarik pelaburan luar negara supaya setiap negara luar dapat melihat Malaysia mempunyai kepakaran dan sebagai destinasi pelaburan yang mempunyai infrastruktur yang cukup baik,” katanya.

Tags
Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker