Ad
Berita

Keuntungan Sebelum Zakat dan Cukai BIMB Holdings Meningkat Ke RM620.6 Juta

Keuntungan dicatat dalam tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2019

KUALA LUMPUR, 28 Ogos — BIMB Holdings Berhad (“BHB”), kumpulan perkhidmatan kewangan Islam ulung di Malaysia, mencatatkan peningkatan dalam PBZT sebanyak 21.5% atau RM109.7 juta kepada RM620.6 juta bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2019, berbanding tempoh sama pada 2018.

Prestasi yang kukuh ini diterjemahkan kepada pulangan ekuiti (ROE) selepas cukai tahunan sebanyak 15.9% yang juga antara yang tertinggi dalam industri.

Bagi tempoh tinjauan, keuntungan bersih yang boleh diagihkan kepada para pemegang saham meningkat sebanyak 23.5% atau RM75.6 juta kepada RM397.7 juta. Perolehan sesaham juga mengukuh kepada 22.69 sen daripada 19.10 sen pada tempoh sama tahun lalu.

Ad

​MAKLUMAT UTAMA
• Keuntungan Sebelum Zakat dan Cukai (PBZT) Kumpulan meningkat 21.5% kepada RM620.6 juta
• Pulangan Ekuiti (ROE) Selepas Cukai Tahunan sebanyak 15.9%
• PBZT Bank Islam meningkat sebanyak 9.2% kepada RM437.4 juta
• Pembiayaan bersih tahun-ke-tahun bertambah sebanyak 7.3%
• PBZT Takaful Malaysia meningkat 43.7% kepada RM210.4 juta

Perbankan Islam
Kumpulan Bank Islam (“Bank Islam” atau “Bank”) merekodkan PBZT sebanyak RM437.4 juta bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2019,meningkat 9.2% atau RM36.7 juta dalam tempoh enam bulan yang sama pada 2018.

Keuntungan Bank Islam yang lebih kukuh sebahagian besarnya disumbangkan oleh pertumbuhan dalam aktiviti perniagaan. Pendapatan berasaskan dana daripada pembiayaan meningkat sebanyak 4.8% atau RM37.9 juta bersandarkan pertumbuhan tahun ke tahun (Y-o-Y) dalam pembiayaan aset bersih yang bernilai 7.3% atau RM3.2 bilion kepada RM46.4 bilion setakat akhir Jun 2019.

Kualiti portfolio aset kekal kukuh dan digambarkan dalam nisbah pembiayaan terjejas bersih yang rendah iaitu 1.2% pada 30 Jun 2019, lebih rendah berbanding 1.5% yang terdapat pada sistem perbankan setakat Mei 2019. Selain itu, nisbah perlindungan kerugian pembiayaan sebanyak 136.4% juga lebih tinggi berbanding kadar purata industri sebanyak 91.7% pada akhir Mei lalu.

Dari sudut pendanaan, akaun deposit dan akaun pelaburan pelanggan Bank berada pada RM54.7 bilion, peningkatan tahun ke tahun sebanyak 10.0% atau RM5.0 bilion. Akaun Semasa dan Akaun Simpanan (“CASA”) serta Akaun Pelaburan (“IA”) tanpa tempoh matang, deposit kos rendah/IA bernilai RM14.2 bilion setakat 30 Jun 2019.

Kedudukan modal Bank terus sihat dengan Nisbah Jumlah Modal sebanyak 18.4% berbanding nisbah industri sebanyak 17.5% pada akhir Mei 2019.

Bank Islam berpandangan bahawa keuntungan bagi separuh tahun seterusnya dijangka akan kekal stabil sungguhpun berdepan dengan persekitaran ekonomi yang mencabar.

Takaful

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2019, PBZT Kumpulan Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (“Takaful Malaysia”) merekodkan peningkatan 43.7% atau RM210.4 juta, berbanding RM146.4 juta pada tempoh sama 2018. Jumlah tersebut sebahagian besar ekoran pertumbuhan dalam perniagaan Takaful Keluarga.

Perolehan operasi Takaful Malaysia berada pada RM1,591.1 juta bagi tempoh tinjauan, meningkat sebanyak 23.5% atau RM302.5 juta berbanding tempoh sama pada 2018.

Peningkatan ini terutamanya disebabkan oleh jualan lebih tinggi yang dijana dari perniagaan Takaful Keluarga, yang merekodkan sumbangan kasar berjumlah RM967.5 juta, meningkat sebanyak 43.5%, dari tempoh yang sama tahun lepas. Pertumbuhan ini disebabkan terutamanya oleh jualan produk-produk berkaitan kredit yang lebih tinggi.

Sumbangan perolehan kasar Takaful Am meningkat kepada RM370.4 juta, meningkat sebanyak 8.1% berbanding tempoh sama tahun lepas. Pertumbuhan itu sebahagian besar disumbangkan oleh perlindungan kelas kebakaran.

Meskipun sentimen perniagaan kekal berwaspada pada tahun 2019, namun industri Takaful dijangka akan mencapai prestasi yang lebih baik berbanding penyedia insurans konvensional memandangkan permintaan kukuh pasaran terhadap produk-produk Takaful. Takaful Malaysia kekal komited dalam terus memenuhi keperluan pelanggan dengan menawarkan perkhidmatan dan penyelesaian perlindungan yang lebih baik dan meyakinkan bagi manfaat mereka. Usaha ini juga akan meletakkan Takaful Malaysia sebagai pilihan yang lebih baik di pasaran.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan BHB, sila layari laman www.bimbholdings.com.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

Back to top button