Ad
Umum

Keuntungan Disney Menurun Di Sebalik Kejayaan Filem-Filem Pecah Panggung

Semua sedia maklum filem-filem keluaran Disney menjadi pilihan penonton pada tahun ini dan banyak mencatat kejayaan pecah panggung di pawagam. Dari filem Avengers: Endgame hinggalah The Lion King, keuntungan yang diraih dari filem-filem terbitan Marvel Studios dan Walt Disney seharusnya sudah cukup untuk menolak Disney meraih keuntungan berganda di pasaran. Malangnya, pengumuman di bursa saham menceritakan kisah sebaliknya.

Berdasarkan angka terbaru yang dikeluarkan syarikat, keuntungan syarikat jatuh sebanyak 51% kepada $1.4 bilion dalam tempoh tiga bulan terakhir walaupun pendapatan Disney meningkat sebanyak 33% kepada $20.2 bilion. Untuk tahun ini sahaja, Avengers: Endgame merupakan filem pecah panggung paling tinggi dalam sejarah mengatasi filem Avatar pada tahun 2009. Selain Endgame, Captain Marvel, Aladdin dan The Lion King turut mencatat kejayaan pecah panggung yang cemerlang. Namun, semua ini masih gagal menampung kos-kos lain syarikat.

Satu perkara yang menyumbang kepada penurunan keuntungan syarikat ialah pengambilalihan aset televisyen dan filem milik 21st Century Fox yang bernilai $71 bilion. Dan ini diakui sendiri pengerusi dan CEO syarikat, Bob Iger sambil menambah, ia merupakan sebahagian daripada usaha mengintegrasikan aset 21st Century Fox secara semulajadi ke dalam syarikat dan menjadikannya satu lagi peluang menambah keuntungan Disney selepas francais Marvel Studios dan Star Wars.

Ad

Selain usaha pengambilalihan 21st Century Fox, satu lagi perkara yang menyumbang kepada penurunan keuntungan ialah kesibukan Disney membina perkhidmatan siaran digitalnya, Disney+. Disney+ dijangka akan dilancarkan pada bulan November ini dengan tujuan menyaingi gergasi utama penyiaran digital, Netflix. Menurut penganalisis pasaran, kos yang diperuntukkan untuk membina perkhidmatan ini akan memberi kesan kepada keuntungan syarikat untuk beberapa tahun akan datang. Selain itu, Disney+ juga bakal berhadapan saingan sengit daripada pesaing perkhidmatan digital lain seperti Warner Media dan Comcast yang akan bersiaran pada tahun hadapan.

Berikutan kesibukan mengukuhkan perkhidmatan penyiaran digital Hulu dan membelanjakan wang untuk Disney+ dan perkhidmatan penyiaran saluran sukan ESPN, unit pengguna dan antarabangsa melaporkan kerugian sebanyak $553 juta, empat kali ganda berbanding $168 juta yang dilaporkan pada tahun lepas. Sementara unit taman tema pula melaporkan peningkatan pendapatan operasi sebanyak 4% kepada $1.7 bilion tetapi angka tersebut menurun di Amerika. Keadaan ini berlaku berikutan penambahan komponan taman tema bertemakan Star Wars pada akhir bulan Mei di Disneyland California dan bilangan pengunjung yang menurun. Sementara rangkaian media seperti ESPN, Disney Channel dan FX melaporkan peningkatan pendapatan operasi sebanyak $2.1 bilion.

Bacaan berkaitan: Amazon: Daripada Penjual Buku Kepada Sebuah Empayar

Melihat kepada penurunan keuntungan untuk suku ketiga tahun ini, tidak hairanlah mengapa Disney mempertimbangkan semula filem-filem yang akan dikeluarkan oleh 21st Century Fox. Kebanyakan filem yang sedang berada di fasa pembangunan tidak akan diteruskan dengan keutamaan diberi kepada francais yang dijangka boleh mengutip kutipan pecah panggung seperti Avatar dan Planet of the Apes. Menurut Iger, Avatar 2 akan diteruskan dan dijangka menemui penonton pada Disember 2020 sebelum disambung dengan Avatar 3 pada Disember 2021.

Selain Avatar, beliau tidak menolak lebih banyak filem dari francais Planet of the Apes akan dibangunkan di 21st Century Fox. Selain kedua-dua francais ini, Iger turut menyatakan francais lain Fox seperti Alien dan The Maze Runner akan turut diberi perhatian. Bagaimanapun, setakat artikel ini ditulis, belum ada sebarang perancangan baru untuk kedua-dua francais berkenaan dan tidak diketahui sama ada ia akan diteruskan atau tidak. Selain Fox, Disney menerusi Marvel Studios dan Lucasfilm sibuk merencana filem keluaran masing-masing dengan Presiden Marvel Studios, Kevin Feige menyatakan bilangan filem yang terlibat dalam Fasa 4 dan Fasa 5 Marvel Cinematic Universe (MCU) seperti Guardians of the Galaxy Vol. 3 dan The Eternals. Sementara Lucasfilm pula tidak sabar menunggu reaksi penonton menerusi Star Wars: The Rise of Skywalker yang dijangka menemui penonton pada Disember tahun ini.

Source
BBC. (2019). Disney disappoints despite a string of movie hitsSobon, Nicole. (2019). Disney Focusing on Fox Franchises Avatar, Planet of the Apes. CBR

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button