Ad
Umum

Ketidakseimbangan Pemilikan Pendapatan dan Harta Antara Kaum di Malaysia

Sebelum merdeka, Malaysia ketika itu dikenali sebagai Tanah Melayu, dijajah dan ditadbir oleh British. British pula mengamalkan sistem pentadbiran ‘Pecah dan Perintah’ dalam menguruskan Tanah Melayu ketika itu. Kesan akibat sistem ‘Pecah dan Perintah’ tersebut dapat dirasai di Malaysia sehingga sekarang.

Faktor kepada ketidakseimbangan sosioekonomi dalam Malaysia berpunca daripada dasar ‘Pecah dan Perintah’ semasa zaman British. Orang Melayu duduk di kampung yang majoritinya bekerja dalam sektor pertanian. Kaum Cina duduk di bandar bekerja dalam bidang perlombongan dan kaum India bekerja di estet getah.

Kaum Cina majoritinya bekerja di kawasan bandar dan menikmati fasiliti pendidikan dan kemudahan yang lebih baik berbanding dua kaum yang lain. Hal ini dapat dibuktikan dalam gambar 1.1.

Ad
Gambar 1.1

Kaum Cina menikmati pendapatan yang lebih banyak daripada kaum yang lain. Hatta dalam bidang pertanian yang dipelopori oleh kaum Melayu. Pada masa yang sama, purata tahun pendidikan untuk kaum Cina juga lebih tinggi disebabkan kemudahan pendidikan di bandar. Cerita mengenai kaum Cina mendapat gaji lebih tinggi berbanding kaum-kaum lain walaupun mempunyai pangkat yang sama bukan wujud pada tahun 2018 sahaja. Perkara ini sudah berlaku sejak tahun 1967 lagi.

Jom kita tengok pendapatan bidang profesional, teknikal, pentadbiran, eksekutif dan pengurusan untuk setiap kaum utama di Malaysia sepanjang tahun 1966-1967.

Melayu -$280
Cina -$459
India – $491

Kaum Melayu ialah kaum yang menerima pendapatan paling rendah dalam bidang ini berbanding dengan kaum yang lain. Punca kepada perbezaan pendapatan dipengaruhi oleh pendidikan. Majoriti Melayu ketika ini menetap di kawasan kampung dan kurang fasiliti pendidikan. Kebanyakannya belajar di sekolah pondok di kawasan luar bandar. Kaum Melayu juga menerima pendapatan yang kurang dalam sektor-sektor yang lain seperti yang tertera dalam gambar 1.1.

Gambar 1.2 pula menerangkan tentang bilangan dan peratusan pekerja dalam bidang profesional dan teknikal mengikut kaum. Pekerjaan seperti jurutera, arkitek, ahli fizik dan doktor gigi dipelopori oleh kaum Cina. Manakala, pekerjaan seperti saintis dan guru dikuasai oleh golongan Melayu. Apabila seseorang itu mempunyai pekerjaan yang bagus dan menerima pendapatan tinggi, dia mempunyai kebolehan untuk memiliki harta dan seterusnya diwariskan kepada generasi yang akan datang. Disebabkan ini, pemilikan hartanah terutamanya di kawasan bandar dipelopori oleh Bukan Bumiputera.

Gambar 1.2

Seterusnya kita tengok trend pekerjaan untuk setiap kaum selama 36 tahun dari tahun 1931 hingga 1967 dalam gambar 1.3 dan 1.4. Pekerjaan yang diperlukan di kawasan bandar seperti profesional, penjualan, pertukangan dan perlombongan dipelopori oleh Bukan Bumiputera. Jelas sekali, punca kepada pendapatan yang tidak seimbang antara kaum bukan berlaku selepas negara Malaysia mencapat kemerdekaan pada tahun 1957. Tetapi, punca kepada permasalahan ini telah berlaku sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan lagi.

Gambar 1.3
Gambar 1.4

Kita lihat pula data untuk tahun belajar oleh setiap kaum dalam gambar 1.5. Majoriti kaum Melayu tidak pernah memiliki pelajaran dengan peratusan sebanyak 25.6% manakala kaum Cina dan India yang tidak memiliki pelajaran hanya 5.8% dan 14.6%. Data ini menyokong bahawa kaum Melayu tidak pergi ke sekolah kerana hidup di kawasan luar bandar. Fasiliti untuk pendidikan di kawasan kampung amat terhad dan daif menyebabkan kaum Bumiputera kurang mendapat pendidikan yang setimpal.

Pada masa yang sama, kelahiran untuk setiap kaum di kawasan bandar dan pekan berbeza. Kaum Cina kebanyakannya lahir di kawasan-kawasan ini dengan peratusan sebanyak 31.4% dan 29.1% masing-masing untuk kawasan pekan dan bandar. Berbanding orang Melayu majoritinya lahir di kawasan kampung dengan peratusan 89.2%. Untuk kaum India, 60.8% lahir di kawasan kampung, 16.4% di kawasan pekan dan 19.4% di kawasan bandar. Kaum Cina yang majoritinya lahir di kawasan bandar mendapat fasiliti pendidikan dan kemudahan yang lebih baik. Justeru, kaum Cina mendapat kelebihan dalam mengumpul harta dan mempunyai pendapatan yang lebih tinggi berbanding kaum yang lain.

Gambar 1.5

Polisi penjajah yang mengamalkan dasar ‘Pecah dan Perintah’ telah menggugat ketidakseimbangan sosioekonomi antara kaum di Malaysia sehingga kini. Hal ini demikian kerana, data seperti pemilikan ekuiti, pemilikan hartanah dan pendapatan isi rumah antara kaum masih belum mencapai keseimbangan.

Dalam laporan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta(JPPH) 2015, kaum Bumiputera mempunyai pemilikan hartanah sebanyak 39.5% dan Bukan Bumiputera sebanyak 53.4%. Manakala bakinya pula dimiliki oleh syarikat sebanyak 7.1%. Seterusnya untuk pemilikan hartanah Bumiputera dan Bukan Bumiputera di bandar pula menunjukkan data yang amat menyedihkan pada tahun 2014 seperti yang dipaparkan pada gambar 1.6;

Bukan Bumiputera – 95%
Bumiputera – 5 %

Itulah kenyataannya bahawa pembahagian harta yang tak adil sedang berlaku di Malaysia. Melihat kepada peratusan Bumiputera dan Bukan Bumiputera yang duduk di kawasan bandar seperti berikut;

Bumiputera – 58 %
Bukan Bumiputera – 42 %

Bagaimana Bumiputera yang 58% duduk di bandar hanya mempunyai pemilikan 5% hartanah di kawasan bandar. Manakala, kaum Bukan Bumiputera dengan peratus lebih rendah iaitu 42% duduk di kawasan bandar mempunyai pemilikan hartanah dengan 95%.

Gambar 1.6

Sebelum ini, kita sudah dibuktikan mengenai pemilikan hartanah mengikut kaum Bumiputera dan Bukan Bumiputera. Kali ini, kita tengok pula pemilikan bangunan komersil dan premis mengikut kaum. Sekali lagi, kita tunjukkan bahawa Bumiputera antara kaum tercorot dalam pemilikan harta. Dalam gambar 1.7 menunjukkan pemilikan bangunan komersil dan premis mengikut kaum;

Bumiputera – 11.7%
Cina – 71.9%
India – 4.6 %
Lain-lain – 11.8%

Lagi sekali kita lihat bahawa pemilikan bangunan dan premis secara peratusnya tidak adil. Yang mana, Bumiputera dan kaum India masing-masing hanya memiliki 11.7% dan 4.6%. Pemilikan bangunan ini dipecahkan kepada 4 kategori iaitu bangunan, kompleks perniagaan (mall), premis industri dan hotel.

Bumiputera hanya memiliki peratusan seperti berikut;

Bangunan – 12.7%
Kompleks Perniagaan – 11.7%
Premis industri – 4.8%
Hotel – 14.3%

Gambar 1.7

Sekali lagi kita lihat bahawa Bumiputera ialah kaum tercorot dalam menerima pendapatan di Malaysia. Kita boleh tengok median pendapatan isi rumah untuk kaum Bumiputera, Cina dan India pada tahun 2016;

Bumiputera – RM 4 846
Cina – RM 6 852
India – RM 5 428

Jika dibahagikan kepada kelas T20, M40 dan B40. Kaum Bumiputera masih tercorot dalam pembahagian harta di Malaysia. Di bawah ini disertakan data yang dikeluarkan oleh Unit Perancang Ekonomi untuk purata pendapatan isi rumah mengikut kaum pada tahun 2016;

T20
Bumiputera – RM 14 098
Cina – RM 20 534
India – RM 16 163

M40
Bumiputera – RM 5 953
Cina – RM 8 162
India – RM 6 669

B40
Bumiputera – RM 2 666
Cina – RM 3 446
India – RM 3 131

Seterusnya, pemilikan ekuiti korporat. Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilaksanakan pada tahun 1970 dan berakhir pada tahun 1990 dengan objektif untuk membahagikan harta secara adil kepada setiap kaum. Tindakan ini adalah pelan susulan selepas berlaku rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

Antara objektif DEB adalah meningkatkan pemilikan ekuiti Bumiputera sehingga 30%. Namun, Bumiputera masih belum mencapai sasaran berikut selepas 1990. Gambar 1.8 ialah senarai pemilikan ekuiti untuk setiap kaum pada tahun 2008.

Bumiputera – 21.9%
Cina – 34.9%
India – 1.6%

Gambar 1.8

Kesimpulannya, punca kepada ketidakseimbangan dalam pemilikan harta dan pendapatan bukan berpunca daripada masalah sosial seperti penyalahgunaan dadah dan mat rempit seperti yang dinyatakan oleh Syed Saddiq. Tetapi, dasar ‘Pecah dan Perintah’ merupakan faktor utama yang menyumbang kepada jurang ekonomi antara kaum di Malaysia dan sehingga hari ini masih dirasai oleh kaum Bumiputera. Justeru, kenyataan Syed Saddiq mengenai Ketuanan Melayu dan masalah sosial menyimpang daripada permasalahan sosioekonomi antara kaum di Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

Back to top button