Komentar

Kesan Pengenalan Undang-undang Baru Berkaitan E-Hailing Kepada Pemandu

Beberapa hari lepas, saya ada menulis tentang keluhan seorang Pak Cik pemandu GRAB yang rasa dirinya didiskriminasi selepas pengenalan undang – undang baru berkaitan E – Hailing dan sejak itu, saya cuba kaji secara mendalam sikit tentang isu ini. Berikut adalah pendapat saya.

Seperti yang saya nyatakan, salah satu intipati utama undang – undang ini adalah pengenalan syarat wajib lesen ‘Public Service Vehicle’ untuk semua pemandu E Hailing. Pemandu E Hailing, tak kira dari syarikat mana sekali telah diminta untuk mendapatkan lesen ini pada kos RM 200 (pendaftaran) diikuti pula dengan kelas selama 6 jam dan sebagainya. Pada awalnya, dasar ini telah mendapat tentangan yang agak kuat dari pemandu E Hailing, khususnya yang memandu separuh masa.

Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, kita mempunyai 200,000 pemandu E Hailing. 3/4 daripada jumlah tersebut adalah pemandu separuh masa. Jadi besarlah jumlah yang menentang dasar tersebut tapi saya tidak pasti kenapa ia masih diteruskan.

Saya ambil kisah kawan saya seorang sebagai contoh. Dia bekerja sebagai peguam tetapi dia memandu GRAB di waktu petang (sehari 3 atau 4 jam) untuk mencari pendapatan sampingan / tambahan dan dia terpaksa berhenti kerana dia rasa birokrasi / kos yang timbul akibat dasar ini tidak membantu dia. Itu baru satu contoh, saya ada banyak lagi kawan / kenalan yang terpaksa berhenti akibat sebab yang sama. Ini satu hal.

Perkara kedua pula, isu yang berbangkit kerana ketidaktentuan beberapa perkara selepas dasar ini diperkenalkan. Antara isu utama ialah kadar kelulusan lesen PSV yang rendah, seolah – olah wujud usaha tersusun dari pihak tertentu untuk kurangkan jumlah pemandu ataupun mengaut keuntungan lebih melalui dasar ini.

Mungkin ada yang berpandangan isu ini hanya andaian atau permainan persepsi politik. Kalau tanya saya, saya kata tak. Saya ada data – data penting yang membuktikan sebaliknya.

Sebagai contoh/bukti pertama, saya kongsikan beberapa data yang wujud. Presiden Persatuan Pemandu GRAB Malaysia, Arif Asyraf nyatakan bahawa mereka menjangka 20 – 50% pemandu E Hailing akan berhenti akibat dasar ini. Dalam realiti peratus yang dijangka itu melambangkan kehilangan sumber pendapatan kepada hampir 40,000 – 10,000 Pemandu E Hailing.

Contoh kedua pula, saya rujuk pada kenyataan S. Kumeran, Pengerus Cawangan MULA Kuala Lumpur. Kata beliau, MULA Kuala Lumpur pula menjangka penurunan sebanyak 20% daripada jumlah pemandu mereka.

Kedua – dua kenyataan ini boleh dibaca di sini : https://bit.ly/2IIpEXu

Itu dalam konteks isu pertama. Untuk isu yang kedua pula, kita boleh rujuk kenyataan Presiden Persatuan Pemandu GRAB Malaysia lagi sekali yang pernah diterbitkan akhbar Berita Harian.

Dalam kenyataan tersebut, Tuan Arif telah jelas menyatakan bahawa didapati hanya 10% – 50% pemandu sahaja lulus dalam setiap kelas PSV, malah dia juga sebut tentang satu kes di Pulau Pinang, di mana hanya 7 daripada sejumlah 40 pemandu yang lulus ketika ujian PSV.

Kenyataan ini boleh dibaca disini : https://bit.ly/2X6ge0N

Semua ini bukan cerita andaian semata – mata, tapi fakta yang terjadi. Seperti mana yang saya permah tulis sebelum ini, E Hailing adalah ‘Gig – Economy’ dan campur tangan yang terlalu oleh Kerajaan akan mewujudkan kesan yang negatif kepada semua pihak yang terlibat. Tak percaya, tengok nanti kadar harga E – Hailing meningkat apabila pemandu mula kurang selepas 12 Julai nanti. Itu baru kesan terhadap pengguna.

Bagaimanapula dengan nasib hampir 150,000 pemandu separuh masa yang telah menjadikan E Hailing sebagai platform sumber pandapatan sampingan? Bagaimana mereka akan gantikan sumber pendapatan yang bakal hilang tak lama lagi?

Saya rasa wajar Kerajaan mengkaji semula, tak pun paling kurang laksanakan langkah mitigasi bagi memastikan tiada pihak yang menjadikan ini sebagai peluang mencari untung tambahan dengan menganggu rezeki orang lain.


Ditulis oleh: Mathis Sarawanan

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili MyTwoCents

Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker