Komentar
Trending

Kesan Hibah Tabung Haji Rendah

Ketika artikel ini ditulis, Tabung Haji belum lagi mengisytiharkan hibah mereka bagi tahun 2018 biarpun bulan Mac 2019 sudah hampir ke penghujung.

Sejak hujung tahun lalu, timbul polemik tentang Tabung Haji berikut;

1. Cadangan pengurangan atau penarikan subsidi haji atas alasan istito’ah yakni hanya yang mampu sahaja diwajibkan menunaikan haji

2. Kemungkinan hibah TH akan jadi lebih sedikit atau tiada langsung. Alasannya, TH adalah tempat untuk mengumpul dana untuk menunaikan haji, bukan untuk membuat keuntungan.

Saya tidak menolak kedua-dua langkah dengan alasan-alasan di atas. Ia munasabah.

Tapi selaku pendeposit TH serta trainer dan konsultan kewangan, saya memikirkan apakah akan terjadi sekiranya ia betul-betul dilaksanakan kelak.

Ini jangkaan saya;

1. Pendeposit TH hanya akan kekalkan jumlah minima untuk menunaikan haji. Setakat ini ia berjumlah RM9,980.

2. Lebih dari jumlah itu, pendeposit akan keluarkan untuk pindahkan ke instrumen lain.

Berapa jumlah yang terlibat?

Nanti kita buat kiraan dan tengok jumlahnya berapa.

Selama ini TH memang dikenali sebagai instrumen simpanan kewangan yang selamat yakni tiada sebarang risiko dalam masa sama mempunyai pulangan melalui hibah dengan kadar yang menarik iaitu sekitar 6% setahun malah pendeposit tidak perlu lagi membayar zakat.

Berikut ialah ciri TH yang menyebabkan ia menjadi tarikan;

1. Boleh dapat subsidi haji 
2. Selamat, tiada risiko. 
3. Mempunyai pulangan yang menarik, sekitar 6% setahun
4. Pendeposit tidak perlu lagi membayar zakat simpanan

Instrumen kewangan yang hampir sama dengan ciri TH ialah ASB, tapi tanpa ciri pertama dan ke-3.

Atas dasar di atas, saya selalu menggalakkan para pelanggan dan peserta program saya untuk menjadikan TH sebagai instrumen simpanan kewangan terbaik .

Berdasarkan rekod, jumlah wang pendeposit pada tahun 2017 ialah RM70.78 billion daripada 9.3 pendeposit.

Secara purata, seorang pendeposit menyimpan sekitar RM7,610 di Tabung Haji.

Nampak macam bagus, tapi secara realiti ia tidak begitu.

Berdasarkan laporan daripada PricewaterhouseCoopers (PWC), syarikat yang membuat audit terhadap TH tahun lalu melaporkan bahawa pendeposit terbesar TH mempunyai simpanan RM190 juta!

Dalam masa sama, sebanyak 1.3% pendeposit (sekitar 117,000 orang) menyumbang 50% simpanan daripada keseluruhan deposit RM70 billion di TH!

Apa akan terjadi jika ke semua pendeposit ini mengeluarkan wang mereka di TH dan hanya meninggalkan RM10,000 sahaja atas alasan bahawa TH hanyalah instrumen untuk membuat simpanan haji dan bukan untuk membuat keuntungan?

Jika ia berlaku, jumlah dana Tabung Haji yang kini berjumlah RM70 billion boleh menyusut dengan drastik!

Ia akan memberi domino effect yang sangat besar kepada Tabung Haji!

Baik, berdasarkan laporan di atas, sekarang kita buat kira-kira;

1. Sejumlah 1.3% pendeposit (117,000 orang) memiliki 50% daripada RM70 billion deposit

Bermakna, 117,000 orang pendeposit tadi mempunyai simpanan purata RM299,145!

2. Baki 98.7% pendeposit berjumlah 9.183 juta orang lain pula mempunyai simpanan baki RM35 billion.

Bermakna, purata simpanan 9.183 juta orang pendeposit tadi ialah RM3,811 seorang! Jauh lagi hendak sampai kos minima untuk menunaikan haji!

3. Bayangkan, jika 1.3% pendeposit tadi mengeluarkan wang mereka dan hanya tinggalkan RM10,000 seorang?

Wang yang akan tinggal hanyalah berjumlah RM1.17 billion sahaja daripada sekarang RM35 billion!

Justeru, deposit Tabung Haji berpotensi berkurangan daripada RM70 billion menjadi hanya RM36.17 billion sahaja!

(NOTA PENTING: Mohon rakan-rakan pembaca buat semakan kira-kira di atas. Saya buat kiraan berkali-kali kerana tidak menyangka sebegitu sekali jumlahnya. Berkali-kali saya buat kiraan ketika sampai ke perenggan-perenggan di atas)

Ia mungkin tidak berlaku sekaligus tapi jika TH benar-benar lakukan langkah di atas, lama-kelamaan orang ramai akan mengurangkan jumlah simpanan mereka di Tabung Haji.

Berdasarkan rekod;

1. Jumlah deposit Tabung Haji meningkat hampir sekali ganda dalam masa 5 tahun iaitu RM38.284 billion pada tahun 2012 dan RM70.78 pada tahun 2017.

2. Dalam masa sama, pendeposit hanya meningkat dari 8.2 juta orang ke 9.3 juta orang dalam tempoh sama.

Bermakna, pendeposit bertambah sedikit sahaja tapi wang deposit bertambah banyak. Pendeposit yang sama menambah wang deposit mereka kerana yakin dengan kedudukan kewangan Tabung Haji.

Selama ini, majoriti besar yang menyimpan di Tabung Haji memang menyasarkan untuk membuat keuntungan melalui hibah Tabung Haji.

Dan selama ini juga Tabung Haji menggunakan wang deposit daripada mereka untuk menjalankan operasi perniagaan mereka.

Ia satu hubungan simbiosis yang baik antara pendeposit dengan Tabung Haji walaupun kontrak pendeposit dengan TH hanyalah kontrak simpanan tanpa sebarang jaminan pulangan.

Seandainya TH mengambil langkah untuk mengurangkan subsidi dan mengurangkan hibah, nescaya pengurangan deposit akan berlaku dalam tahun-tahun berikutnya.

Saya sendiri akan mengeluarkan wang simpanan saya di TH dan tidak akan menggalakkan para pelanggan dan peserta program saya untuk membuat simpanan di TH. Alternatif terbaik setakat ini ialah ASB.

Saya juga yakin dan percaya majoriti pendeposit TH mengharapkan pulangan daripada hibah berdasarkan rekod hibah TH yang selama ini tidak pernah gagal semenjak tahun pertama TH ditubuhkan.


Artikel ini ditulis oleh saudara Afyan Mat Rawi. Beliau merupakan seorang perancang kewangan dan memiliki sijil IFP

Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close