Info Niaga

Kerjasama IKEA-Permaisuri Sweden Hasilkan Rumah Mesra Dementia

Semua negara berhadapan dengan isu pertambahan bilangan warga emas dari Jepun hinggalah negara kita sendiri, Malaysia. Di Sweden, soalan ini nyata memeningkan kepala kerajaan kerana bagaimana mereka hendak menjaga kelompok ini tanpa membahayakan kantung kewangan negara. Jawapan kepada soalan ini mungkin terletak pada kerjasama antara gergasi perabot IKEA dengan Permaisuri Sweden, Permaisuri Silvia.

Baru-baru ini, IKEA melancarkan rumah gaya baru khas untuk pesakit dementia menerusi BoKlok, satu bentuk kerjasama dengan syarikat pembinaan Skanska yang menjadikan rumah-rumah ini bukan saja lestari tetapi juga berpatutan dari segi kos. Sepanjang tiga dekad, mereka membangunkan 10,000 rumah modular di Sweden, Norway dan Finland menggunakan model IKEA: pembelian sebahagian besar bahan di tempat lain dan pelanggan berpendapatan rendah membayar mengikut kemampuan mereka. Dan kini menerusi sedikit pengubahsuaian, mereka merasakan ada solusi untuk masalah yang dihadapi pihak kerajaan dan membolehkan wang disalurkan kepada keperluan yang lebih penting. Rumah modular pertama khas untuk pesakit dementia ini dibina di luar Stockholm.

Untuk pengubahsuaian yang dinyatakan, antara pengubahsuaian yang dibuat ialah tidak meletakkan cermin di bilik air dan menggantikan kawalan digital pada peralatan dapur dengan tombol gaya lama. Pembangunan kawasan perumahan ini turut menekankan aktiviti di luar rumah dan ini termasuklah terapi di taman dan kelab sosial, sekaligus menjadi satu insentif bagi pasangan untuk berpindah sama. Semasa ditemubual oleh CNN, CEO BoKlok Jonas Spangenberg, beliau menyifatkan kos penjagaan sedia ada sebagai satu tekanan dan cara terbaik bagi masyarakat dan orang awam menyumbang kembali ialah dengan menyediakan rumah yang mesra warga emas. Rumah modular khas ini dikenali sebagai SilviaBo.

Isu pertambahan warga emas ini sememangnya merisaukan Stockholm dengan dijangkakan satu daripada empat warga Sweden mencecah usia 65 tahun menjelang tahun 2040. Dengan jangka hayat yang tinggi dan kebanyakan khidmat jagaan diberi subsidi oleh kerajaan, bukan satu kejutan ia memberi tekanan kepada kantung kewangan Stockholm. Salah satu kebimbangan mereka ialah bekalan rumah yang murah tetapi masih menawarkan kemudahan selesa. Tambah Spangenberg, “Kami melihat satu masalah yang bertambah… penduduk berakhir di tempat yang mereka tidak mahukan. Jika kami dapat hasilkan satu solusi di mana anda boleh tinggal di rumah atau apartmen yang sesuai untuk anda termasuk yang mempunyai pelbagai masalah kesihatan, kami percaya kami melakukan perkara baik kepada masyarakat.”

Siapa sangka, penggerak utama projek ini ialah Permaisuri Silvia dari Sweden dengan bondanya juga berhadapan masalah Alzheimer. Sejak dari awal lagi, baginda merupakan rakan kongsi dan pemain utama projek berkenaan. Projek tersebut turut mendapat sokongan pengasas IKEA, Ingvar Kamprad dan sebelum beliau meninggal dunia tahun lepas, Kamprad menderma sejumlah besar wang melalui yayasan Permaisuri Silvia yang melatih penjagaan pesakit dementia. Selain menjadi sebahagian daripada jawatankuasa pemandu, baginda juga turut menyumbang idea kepada reka bentuk SilviaBo.

Ketika ini, SilviaBo masih berada di peringkat awal dengan lebih banyak perbincangan akan diadakan dengan kerajaan tempatan berkenaan soal zon dan tanah. Spangenberg menyatakan akan ada lebih banyak kemajuan pada tahun hadapan. Sebagai bukti konsep, enam apartmen telah dibina di luar Stockholm tetapi pembeli tidak dapat berpindah berikutan pertelagahan permit dengan jiran-jiran berdekatan. Tetapi syarikat berkeyakinan perkara tersebut dapat diselesaikan pada akhirnya.

Pendekatan perumahan kos rendah BoKlok ini sebenarnya meniru pemikiran IKEA iaitu kuantiti besar dan harga rendah. Bila bahagian-bahagian diperlukan dapat dihasilkan dalam kuantiti besar, ia bukan saja menjimatkan harga tetapi juga mengurangkan masa diperlukan untuk perancangan bangunan. Kerjasama ini turut bertanggungjawab mengawal seluruh rangkaian bekalan termasuk pengambilan tanah, pembinaan di tapak, jualan dan pemasaran sekaligus membantu mengurangkan harga. Dan sama seperti projek BoKlok yang lain, SilviaBo turut beroperasi dengan mengaplikasikan model bayaran ‘Left to Live’/Baki untuk Hidup iaitu pelanggan membayar mengikut kemampuan mereka selepas menolak cukai dan perbelanjaan kehidupan. Spangenberg turut mendedahkan SilviaBo turut merancang menghasilkan rumah modular untuk warga emas berusia 65 tahun ke atas dengan sedikit pengubahsuaian termasuk bantuan akses kemasukan di sesetengah tempat.

Sumber
Horowitz, Julia. (2019). Ikea and the Queen of Sweden are designing homes for people with dementia. CNN
Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker