Ad
Umum

Kerajaan Terlalu Tutup Mulut Pasal Vellfire

Sudah lebih 20 bulan berlalu selepas Pilihan Raya Umum 2018 dan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan. Tetapi janji mereka untuk muncul sebagai sebuah kerajaan yang telus ibarat jauh panggang dari api. Anda tidak perlu lihat jauh. Beberapa hari lepas, TheStar memetik satu sumber bahawa kerajaan dikatakan telah memilih konsortium yang dianggotai Naza dan Berjaya untuk membekal, menyelenggara dan mengurus kumpulan kereta rasmi dan kereta peronda polis.

Menurut laporan berkenaan, konsortium berkenaan telah menerima surat tawaran daripada Kementerian Kewangan (MOF) dan dijangkakan kontrak selama 15 tahun itu akan bermula sekitar bulan Jun. Walaupun belum ada sumber rasmi yang mengesahkan perkara tersebut termasuk Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, ia sudah bermasalah sejak dari awal lagi.

Umum sedia maklum pada 10 Januari lepas, imej kumpulan kereta Toyota Vellfire untuk menteri-menteri kerajaan dan Honda Accords untuk pegawai-pegawai kanan kerajaan sebagai pengganti kereta Proton Perdana dan Toyota Camry yang semakin berusia tersebar luas di laman media sosial. Sejak gambar tersebut muncul, Guan Eng terpaksa menafikan perkara itu sambil menyifatkan kereta-kereta jenama Jepun itu hanya sebagai pilihan dan syarikat pembekal yang dipilih tidak mempunyai stok Proton Perdana yang mencukupi. Tambahnya lagi, kerajaan bakal membuat pengumuman tentang perkara itu tidak lama lagi dan menegaskan jawatankuasa pembelian MOF yang membuat keputusan siapa syarikat pembekal yang dipilih.

Ad

Kenyataan Menteri Kewangan itu telah dibuat sejak dua minggu lepas. Dan sejak itu, tiada sebarang kenyataan rasmi muncul. Apa yang dihidangkan kepada warga Malaysia ialah ‘sumber-sumber’ melibatkan konsortium dua syarikat yang mempunyai hubungan baik dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan berjaya memperoleh tender lumayan. Susah sangat ke nak dedahkan maklumat kontrak? Guan Eng mempunyai ramai pegawai termasuk pegawai khasnya Tony Pua untuk perkara ini. Sudah pasti ia boleh diselesaikan dengan cepat.

Tetapi dengan sikap membisu kerajaan dalam tempoh dua minggu ini, jelas menunjukkan Kementerian Kewangan sudah membuat keputusan tetapi apa faktor yang mempengaruhi mereka berbuat demikian masih menimbulkan tanda tanya. Bagi yang mengikuti kisah ini, kerajaan memberitahu sebab asal mereka menyemak semula tender pembekalan kenderaan kerajaan ialah untuk mendapatkan harga yang lebih murah.

Namun, jika benar laporan yang dibuat portal The Malaysian Reserve (TMR) pada tahun lepas, maka alasan harga murah boleh dibuang ke laut. Berdasarkan laporan 22 April 2019, TMR mendedahkan 1,600 hingga 2,700 kenderaan bakal digunakan kerajaan untuk tempoh enam tahun akan datang membabitkan tiga jenis Proton iaitu X70, Persona dan Saga serta Vellfire dan Accord. Kerajaan dijangka membelanjakan RM220 juta setahun untuk perkara ini. Jika kos tidak berubah dan berjalan lancar selama 15 tahun, pemegang konsesi bakal mendapat RM3.3 bilion. Dan kesemua ini masuk ke dalam syarikat-syarikat di mana pengasasnya Allahyarham Tan Sri SM Nasimuddin SM Amin dan Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun mempunyai hubungan baik dengan Tun Dr Mahathir.

Related Articles

Ini bukan bermakna konsortium Naza-Berjaya tidak mempunyai keupayaan pengurusan kenderaan yang baik. Bidaan katanya bersifat kompetitif. Tetapi ia dirahsiakan dan rakyat diminta mempercayai keputusan kerajaan. Jika kerajaan benar-benar telus, maka mereka harus mendedahkan sisi belanjawan pengurusan kenderaan. Pemegang konsesi sebelum ini iaitu Spanco Sdn Bhd diberi kepercayaan menguruskan kumpulan kenderaan kerajaan selama 25 tahun. Tetapi akaun syarikat disembunyikan daripada umum atas alasan ia berstatus syarikat swasta yang mendapat pengecualian.

Bagi orang marhaen, mereka hanya boleh meneka apa kelebihan yang diraih pemegang konsesi baru ini. Usah terkejut jika timbul berita konsortium mendapat permit mengimport kenderaan asing baru atau diberi status syarikat swasta yang mendapat pengecualian. Sementara itu, apakah kita akan dapat melihat pemimpin kabinet dan pegawai-pegawai kanan kerajaan menaiki kenderaan bersifat mesra belanjawan seperti Perodua Myvi, menaiki kenderaan awam atau mengurangkan kesan karbon dengan berjalan kaki dan menunggang basikal ke tempat kerja? Ah, rasa macam menunggu kucing bertanduk!

SUMBER

Samarathisa, Emmanuel. (2020). Has the government rewarded RM3.3 bil over 15 years to cronies? Focus Malaysia. https://focusmalaysia.my/opinion/has-the-government-rewarded-rm3-3-bil-over-15-years-to-cronies/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

Back to top button