Global

Kerajaan Sepenggal: Impak Perdagangan America First Terhadap Rakyat Marhaen?

Satu bom boleh musnahkan sebuah bangunan yang penat dibina selama bertahun hanya dalam masa satu saat.

Itulah kesimpulan yang boleh diberikan kalau dibandingkan dasar-dasar antarapentadbiran Barack Obama dan Donald Trump. Sebelum George W. Bush menamatkan tempoh pemerintahannya, Amerika Syarikat dilihat lebih cenderung untuk keluar daripada kepompong peperangan dan melibatkan diri dalam dunia perdagangan bersama negara-negara lain. Bersama China, perdagangan meningkat sebanyak 150%.

Kelemahan dalam pentadbiran Barack Obama memustahilkan kemenangan Hilary Clinton dalam Pilihanraya Presiden Amerika Syarikat 2016. Jika dilihat dalam paparan-paparan media, Donald Trump dilihat mendapat penerimaan bercampur-baur dalam kalangan pengundi Amerika. Namun tahun tersebut merupakan takat didihan bagi golongan konservatif. Dan beliau berjaya meragut 304 kerusi walaupun mempunyai undi minoriti. 

Dan dalam masa yang singkat, beliau mengundurkan negara daripada dasar-dasar perdagangan bebas Barack Obama. Pemerintahan beliau boleh disimpulkan sebagai haluan kanan konservatif yang tiada masalah untuk dilihat lucu. Cuma yang membezakan beliau dengan ketua-ketua negara lain ialah keterlebihgunaan (overuse) Twitter, dimana Donald Trump memperlihatkan dirinya sebagai tidak matang dan cepat melatah.

Perkara yang paling menonjol buat masa sekarang ialah perbezaan antara Amerika Syarikat dan China. Boleh dikatakan bahawa Donald Trump tidak begitu kisah pun untuk mengasak ekonomi China dengan tarif-tarif yang memulakan perang perdagangan. Landskap “America First” bertujuan untuk mengurangkan defisit perdagangan. Caranya ialah menukarkan perdagangan bebas pelbagai hala (multilateral) ke dwihala (bilateral). Malah beliau juga berundur daripada perjanjian-perjanjian penting seperti TPPA dan NAFTA.

Apa, Kenapa dan Berapa: Ringkasan Tentang Tarif

Tarif ialah sejenis cukai yang dikenakan terhadap barangan rakan-rakan dagangan. Ianya menepati sifat halangan perdagangan (trade barrier), yang bersealiran dengan konsep ekonomi konservatif kerana ingin menaikkan harga supaya membantu pengeluaran domestik. Disini terdapat sejumlah produk daripada kedua-dua negara ini. Namun harga produk daripada China lebih murah di Amerika Syarikat, membuatkan rakyat lebih cenderung untuk membelinya.

Jurang antara import dan eksport Amerika Syarikat dan China sebenarnya besar iaitu AS$419.5 bilion (Partington, 2019). Ini bermakna, Amerika Syarikat lebih banyak membeli barangan China. Namun bukan punca beli sahaja yang mendapat amarah Trump. Beliau juga mendakwa syarikat-syarikat China mencuri harta-harta intelektual Amerika Syarikat, dan tarif-tarif ini bertujuan untuk menekankan kerajaan Beijing supaya bertindak.

Pelbagai tarif telah Trump perkenalkan. Produk-produk akhir seperti panel solar dan mesin basuh turut dinaikkan harga sekitar 30%-50% angkara tarif (Gonzales, 2018). Namun bukan produk sedemikian yang menyukarkan keadaan. Tarif yang mempengaruhi harga asas diperkenalkan ke atas pengimportan aluminum (10%) dan logam (25%) dari hampir semua negara (Horsley, 2018).

Untuk menghukum Beijing secara khusus, Trump menyediakan tarif 25% terhadap 818 jenis baragan China seperti kenderaan, semikonduktor dan mesin industri. Serangan ini mempengaruhi harga bagi perdagangan sebanyak AS$50 bilion (Hoyama & Suzuki, 2018). Seperti yang boleh dibayangkan, China (dan India) membalas dengan tarif-tarif tersendiri.

Impak Tarif Terhadap Rakyat Marhaen

Industri pertanian Amerika Syarikat mengeluarkan produk-produk seperti kacang soya, gandum dan produk tenusu yang mengharapkan China sebagai antara pembeli utama. Perang perdagangan telah mendidihkan kawah hubungan antara dua negara ini sehinggakan China berhenti membeli produk-produk makanan Amerika. Dasar ini telah menyengat kelompok setia politik Republikan iaitu golongan petani yang kebanyakannya mengundi Trump.

Untuk membendung amarah penyokong, kerajaan Amerika Syarikat menggunakan Syarikat Kredit Komoditi (CCC) untuk memberikan bantuan sebanyak AS$12 bilion kepada para petani. Hampir setahun kemudian, CCC sekali lagi menyalurkan bayaran kini melebihi AS$14 bilion pula (Swanson, 2019). Dua bulan seterusnya, para petani disalurkan bantuan AS$16 bilion lagi. 

Namun bukan bantuan yang diimpikan para petani. Seperti peniaga-peniaga yang lain, mereka mahukan keuntungan. Dasar “America First” telah menghalau pelanggan-pelanggan mereka yang lebih cenderung untuk membeli barangan mentah daripada negara lain. Salah seorang petani soya dari Ohio bernama Christopher Gribbs menyuarakan kecaman secara terbuka bahawa keluarganya tidak akan mengundi Donald Trump lagi.

Keluarga Gribbs memiliki tanah sebesar 560 ekar yang hanya menyajikan mereka kepedihan dan keperitan semata-mata. Tanpa China, golongan petani kehilangan pelanggan kelima terbesar mereka. Kerugian ini sebenarnya sangatlah besar, sekurang-kurangnya AS$9.2 bilion sepertimana yang dihitungkan daripada pengeksportan pertanian Amerika Syarikat pada tahun 2018. Pada tahun tersebut, harga soya menjunam 20% ke paras AS$10.50 setiap gantang (27.22 kg). Oleh kerana perang perdagangan masih berterusan, harga bagi 2019 pula lebih teruk iaitu pada paras AS$9 segantang pula betul-betul pada harga kos pengeluaran (Kim, 2019). Disini jelas bahawa keuntungan yang biasanya dinikmati telah musnah angkara dasar konservatif America First.

Sumber
Gonzales, R. (2018, January 22). Trump Slaps Tariffs On Imported Solar Panels And Washing Machines. Horsley, S. (2018, March 8). Trump Formally Orders Tariffs On Steel, Aluminum ImportsHoyama, T., & Suzuki, W. (2018, July 06). China hits back against Trumps $34bn tariffsKim, J. (2019, August 08). I won't be voting for the president again, says Ohio farmer who backed Trump in 2016Partington, R. (2019, August 02). Why is Trump imposing tariffs on China and how could it affect global economy? Swanson, A. (2019, May 23). Trump Gives Farmers $16 Billion in Aid Amid Prolonged China Trade War
Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker