Global

Kenapa Trump Mengenakan Tarif Ke Atas China

2 hari lalu Trump buat gila lagi. Secara tiba-tiba dia cakap berkuatkuasa 1 September 2019, Amerika Syarikat (AS) akan kenakan tarif sebanyak 10% ke atas $300 bilion barangan yang diimport dari China.

*Tarif ni macam ‘cukai ke atas import’.

Alasan dia, China ni slow sangat.

Dia kalau boleh nak suruh China beli banyak-banyak barang dia, contohnya pertanian, tenagam industri dan perkhidmatan. Seolah-olahnya, “Hang beli la banyak sikit. Kalau dak, aku pressure hang lagi.”

Walhal sebelum ini pun Trump dah kenakan tariff 25% ke atas $250 bilion barangan China.

Kalau anda tidak berapa ikuti berita perang dagangan ini, tapi dengar sikit-sikit sahaja, ya, memang AS dengan China ini elok dihantukkan sahaja kepada mereka. Sekejap gaduh, kemudian elok balik, kemudian gaduh balik. Satu dunia pula yang kena tempias pergaduhan mereka.

Baik, kita mula dari awal.

Kenapa sekarang ni kita asyik dengar pasal tarif?

Ceritanya, lepas menang pilihanraya Presiden hujung tahun 2016 haritu, antara benda yang Trump tidak puas hati adalah berkenaan tentang defisit dagangan (trade deficit).

Defisit dagangan ini terjadi apabila sesebuah negara import lebih banyak daripada eksport. Nak senang faham, dia membeli lagi banyak daripada menjual.

Trump kata negara-negara lain sedang ambil kesempatan ke atas AS. Kononnya perdagangan yang tidak adil. Hal ini merugikan AS, dan Trump tidak boleh berdiam diri. (Sedangkan benda ini adalah perdangan bebas. Dah rakyat AS nak beli, orang jual lah kepada mereka).

Maka, sebab Trumpa rasa dia pandai, dia mula ‘serang’ negara-negara lain seperti Mexico, Eropah, Kanada, Jepun, dan China. Dia menggelar dirinya sendiri Tariff Man.

Harapannya, bila dikenakan tarif kepada barangan yang diimport ke AS, pengeluar negara tersebut akan terkesan. Nanti rakyat Amerika belah utara akan cakap, “Oh, barang dari China ni mahai la. Baik kita tukaq beli barang lain.”

Bacaan berkaitan: Tarif Perdagangan Brazil: Satu Pengajaran

Maka pengguna pun tidak membeli barang dari China.

Lagi satu, bila dikenakan tarif ini, ada kemungkinan pengeluar negara berkenaan akan terpaksa mengubah lokasi (relocate/reconfigure) rantaian bekalan mereka bagi mengelakkan tarif (baca: menyusahkan).

Jadi, “padanlah muka China”.

Jadi adakah strategi Trump ini menjadi?

Setakat ini macam tiada hasil sangat. Sebaliknya, macam semakin rugi.

Pendapatan daripada tarif sejak 2018 lebih kurang $20 bilion. Tapi yang AS kena keluar duit untuk menyokong petani mereka (sebab China membalas dendan), dalam $25 bilion. Perkiraan kasarnya daripada dua ini sahaja AS dah rugi $5 bilion.

Dan walaupun AS dah keluarkan duit untuk membantu petaninya, kebelakangan ini semakin ramai petani yang memfailkan permohonan muflis. Golongan petani inilah yang bagi Trump undi masa pilihanraya sebelum ini (2016).

Lagi la Trump kena jaga golongan petani ini. Sebab itu Trump memaksa China beli produk pertanian AS dalam jumlah yang besar.

Sebenarnya strategi mengenakan tarif ini adalah untuk membantu sektor pembuatan di AS.

Tapi kalau kita tengok indeks pembuatan AS, trendnya semakin merosot. Mula dari Ogos tahun lepas (60.8 ), terus menurun sahaja sampailah Julai baru ni (51.2).

Secara ringkasnya, kalau indeks ini jatuh di bawah paras 50, itu dah masuk contraction territory. Maksudnya dah menguncup, tidak lagi berkembang. Kalau kita tengok, memang indeks itu sikit lagi nak jatuh bawah paras 50.

Trump menipu rakyatnya dengan mengatakan bahawa China yang akan menanggung tarif tersebut. Kononnya lah.

Padahal, yang terkesan secara terus adalah pengimport AS. Merekalah yang jadi orang tengah antara dua negara ini.

Bila Trump kenakan ‘cukai’ ke atas barang yang diimport, agak-agak apa pilihan pengimport AS?

Satu, pengimport yang akan menyerap kenaikan kos.

Atau dua, bila pengimport tidak lagi mampu menyerap kenaikan kos, dia akan pindahkan kenaikan kos tersebut. Hasilnya, harga barang akan meningkat. Pengguna juga yang akan tanggung sudahnya.

Pengguna tu siapa tuan-tuan?

Ya. Rakyat Amerika lah.

“Padan muka China,” kan?

Fun Fact: Tahukah anda, perbelanjaa pengguna adalah pemangkin utama (lebih daripada dua per tiga) kepada pertumbuhan ekonomi AS?

Maksudnya kalau segmen ini terjejas, ia akan memberi kesan buruk kepada pertumbuhan ekonomi AS itu sendiri.

Kenapa kita kena ambik tau juga sikit-sikit pasal trade war ni?

Sebab ini akan mempengaruhi ekonomi dunia. International Monetary Fund (IMF) masuk ini dah tiga kali merendahkan semula unjuran ekonomi dunia untuk tahun 2019. Sebab perang dagangan inilah.

Mula-mula IMF letakkan sasaran 3.5%. Kemudian disemak semula kepada 3.3%. Terbaru, IMF jangka ekonomi dunia hanya akan berkembang sekitar 3.2% sahaja tahun ini.

Malah kalau kita baca kenyataan Bank Negara Malaysia (BNM), BNMsendiri agak berhati-hati dengan perkembangan perang dagangan ini.

Nak menunjukkan, betapa besarnya cerita perang dagangan ini dalam mempengaruhi ekonomi dunia.

Walau bagaimanapun, mungkin ada juga yang melihat perang dagangan ini bukan dari perspektif ekonomi sahaja. Ada yang berpendapat ianya lebih kepada geopolitik dan keselamatan negara.

Contohnya apabila AS memberi tekanan kepada syarikat Huawei. Secara tidak langsung, boleh juga kita baca sebagai salah satu cara untuk menyekat kemajuan teknologi di China.

Selanjutnya...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker