Polisi

Kenapa Perlu Kaji Semula Skim Pencen Penjawat Awam ?

Menurut World Health Organization, jika bilangan penduduk berumur lebih 65 tahun melebihi 7% daripada jumlah penduduk, ianya dikenali sebagai masyarakat menua (baca ageing society).

Bagaimana dengan populasi Malaysia pula ?

Berdasarkan laporan Anggaran Penduduk Semasa Malaysia 2019, peratusan penduduk berumur 65 tahun dan lebih (umur tua) meningkat daripada 6.5 pada 2018 peratus kepada 6.7 peratus pada tahun ini (2019).

Manakala Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin pula berkata berdasarkan Dasar Warga Emas Negara, penuaan penduduk berlaku apabila peratusan penduduk warga emas berumur 60 tahun dan ke atas mencecah 15 peratus daripada jumlah penduduk.

“Malaysia dijangka mengalami penuaan penduduk pada tahun 2030 dengan peratusan penduduk berumur 60 tahun dan lebih mencapai 15.3 peratus”

Walaubagaimanapun, dijangkakan penduduk berumur lebih 65 tahun akan meningkat kepada 2.4 juta iaitu tujuh peratus daripada jumlah penduduk pada 2020 seterusnya menjadikan Malaysia sebagai negara menua.

Kesan Populasi Menua Terhadap Ekonomi

Fenomena populasi menua ini secara tidak langsung akan memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi Negara. Secara teorinya, semakin meningkat populasi menua, semakin kurang produktiviti kerja.

pencen-penjawat-awam

Selain itu , perkara ini juga akan meningkatkan lagi perbelanjaan negara untuk menguruskan pembayaran pencen bagi penjawat awam. Seperti mana yang dinyatakan dalam laporan tersebut, jangka hayat rakyat Malaysia juga telah meningkat kepada 74.6 tahun pada tahun 2017 berbanding 64.6 tahun pada tahun 1966.

pencen-penjawat-awam

Kerajaan bertanggungjawab untuk membayar pencen selama mana seseorang pesara penjawat awam itu masih hidup. Makin lanjut usia pesara, makin tinggi perbelanjaan Negara untuk membayar pencen.

Ketika ini dianggarkan jumlah pesara kerajaan melebihi 775,000 orang dan dijangka meningkat kepada 1.5 juta orang pada 2050 seiring dengan trend peningkatan jangka hayat penduduk Malaysia daripada 75 tahun kepada 85 tahun dalam tempoh tersebut.

pencen-penjawat-awam

Hal ini sebenarnya telah lama dibangkitkan. Oleh itu, wujudnya Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) sebagai alternatif untuk mengambil alih liabiliti kerajaan dalam membayar pencen.

pencen-penjawat-awam

Dana KWAP sehingga 2017 berjumlah RM140.80 bilion , dengan pendapatan berjumlah RM12.54 bilion pada 2017.

pencen-penjawat-awam

Berdasarkan laporan perbelanjaan Kerajaan Persekutuan, hampir separuh daripada jumlah perbelanjaan digunakan untuk Emolumen dan bayaran persaraan.

Timbul kerisauan sama ada KWAP mampu untuk menggalas tugas bagi membayar pencen. Sedangkan kita lihat perbelanjaan Kerajaan Persekutuan untuk pembayaran pencen pada 2018 adalah sebanyak RM25.76 bilion. Perbelanjaan ini meningkat 3 kali ganda berbanding pada 2007 iaitu sebanyak RM7.04 bilion. Kenaikan ini bersifat compounding jika diunjurkan sepuluh tahun kebelakang iaitu sebanyak 11.6% setahun.

Dalam hal ini, ada dua kemungkinan untuk mengatasi masalah ini. Sama ada kurangkan saiz penjawat awam ataupun kaji semula skim pencen yang sedia ada.

Pada tahun 2017, CEO KWAP, Wan Kamaruzaman Wan Ahmad memberitahu dalam TheEdge, akan berlaku rombakan sistem pencen yang sedia ada kepada yang lebih mampan. Kata beliau, struktur baru itu seakan seperti KWSP dimana pekerja perlu meletakkan beberapa jumlah pendapatan mereka untuk persaraan mereka kelak.

Pada 4 September 2019, ketika ucapan perasmian Persidangan Pengurusan Sumber Manusia Sektor Awam di PICC Putrajaya, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Borhan Dolah memberitahu bahawa pada tahun depan, mekanisme baharu akan diperkenalkan untuk menggantikan Skim Pencen Perkhidmatan Awam. Mekanisma baru ini hanya tertakluk pada lantikan baru sahaja.

Tambahan beliau, inisiatif yang bakal diperkenalkan ini dapat mengurangkan beban kewangan kerajaan sehingga RM5 bilion setahun.

Walaubagaimanapun ia masih perlu diperhalusi dan bergantung kepada keputusan muktamad kerajaan.

Beliau mengulas lebih lanjut bahawa ada lagi beberapa opsyen yang dibentang tetapi masih belum dimuktamadkan oleh kerajaan.

Dari satu sudut, penstrukturan semula pembayaran pencen ini memang perlu untuk dikaji semula melihatkan bebanan OPEX yang tinggi. Dari satu sudut yang lain, ia tidak wajar jika dibandingkan dengan tindakan-tindakan kerajaan yang dilihat boros.

Apakah rasionalnya untuk jimat RM5 bilion setahun berbanding dengan dividen yang dibayar Petronas kepada kerajaan dalam sekelip mata naik RM80 bilion ? Bagaimana dengan pendapatan negara sebanyak RM40 bilion setiap tahun melalui GST dimansuhkan begitu sahaja ? Bagaimana kerajaan boleh tambah hutang bon sehingga RM120 bilion dalam masa setahun setengah sahaja ? Bagaimana kerajaan boleh naikkan peruntukan bajet kepada RM314.5 bilion, sekaligus merupakan bajet terbesar dalam sejarah ?

Tindakan ini memerlukan political will yang tinggi untuk dilaksanakan kerana melibatkan periuk nasi rakyat. Mungkin ia boleh dimulakan dengan pencen pak menteri dulu.

Tahukah anda, mana-mana ahli parlimen yang telah menyempurnakan perkhidmatannya selama 36 bulan, walaupun tak cukup sepenggal, sudah layak menerima pencen Ahli Parlimen ? Syarat lain adalah kena capai umur 50 tahun dahulu. Pencen ini akan dibayar selagi mana hayat ahli parlimen masih dikandung badan.

Mungkin boleh buat eksperimen terhadap menteri dulu. Kalau menteri sanggup berkorban dahulu, barulah rakyat boleh ikut. Jangan guna terma ‘rakyat didahulukan’ ditempat yang salah.

Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker