Ad
Umum

Kenapa Kerajaan Takkan Haramkan Rokok?

Terdapat perbezaan antara solusi dan kesan ular. Sebuah masalah apabila didatangi solusi akan mereda atau diselesaikan secara berperingkat. Tetapi “kesan ular” hanya akan mengeruhkan lagi keadaan. Nama ini termasyhur sejak pemerintahan British di India.

Pada ketika itu, British menerima terlalu banyak aduan tentang populasi ular tedung selar. Maka sebagai langkah penyelesaian, British mengumumkan bayaran bagi setiap kepala ular yang dihantar. Maka kepala ular pun tibalah di pejabat-pejabat British – tanpa henti, dan dilihat kepala ular semakin banyak pula. Malah kepala yang sampai sebenarnya melebihi kes yang dilaporkan. Setelah diselidik, barulah British tahu bahawa warga-warga India memancung ular yang diternak semata-mata untuk mengutip bayaran ini.

Walaupun India sudahpun merdeka, terminologi “kesan ular” ini sangatlah relevan dengan reaksi manusia terhadap suatu masalah. Sebagai contoh, Baucer Buku 1Malaysia (BB1M) boleh dikatakan “solusi” apabila pelajar menebus bagi tujuan penyediaannya. Namun program ini juga boleh jatuh dalam kategori “kepala ular” apabila wujud segelintir pelajar yang menggadaikannya demi wang ringgit.

Ad

Jika perkara sekecil BB1M boleh dijadikan contoh – bayangkan perlaksanaan sebesar pengharaman tembakau (tobacco illegalization). Tentu sekali bapa kepada segala ular akan sampai di Putrajaya. Secara tiba-tiba, anaconda yang tidak pernah ada di Malaysia pun akan sampai di meja Dr. Dzulkefly Ahmad.

Tetapi uniknya di media sosial, sesetengah rakyat seolah-olah mencabar keberanian kerajaan pula untuk mengharamkan rokok. Semestinya cabaran tersebut akan dibalas bahawa kerajaan takkan sanggup kehilangan cukai rokok. Sebenarnya cabaran ini berada di luar batasan akal, dan balasannya pula menunjukkan kekurangan ilmu dalam minda.

Selama bertahun cukai rokok menyumbangkan imbuhan besar kepada kerajaan. Sekitar tahun 2014, kutipan cukai rokok mencecah RM3.62 bilion (Hassan, 2015). Jabatan Kastam pula berjaya melaksanakan langkah-langkah penting yang meningkatkan kutipan kepada paras RM4.6 bilion bagi tahun 2017 (Hafidzul, 2018). Namun bagi setiap RM4 bilion yang dikutip, kerajaan perlu membelanja RM16 bilion bagi merawat pesakit tabiat merokok (Bernama, 2019). Bagaikan RM1 masuk, RM4 keluar. Dan pengharaman jualan rokok hanya akan menghapuskan kutipan cukai dan melonjakkan kos rawatan.

Related Articles

Apa Boleh Dipelajari Daripada Prohibition?

Sekitar 1920-1933, Amerika Syarikat mengharungi revolusi pro-konservatif Protestanisme setelah institusi keluarga terburai akibat keganasan rumahtangga dan sindrom mabuk. Sama seperti di Malaysia, yang rakyatnya mengatakan rokok punca penyusutan wang dan sindrom ketagihan. Maka solusi mereka ialah pengharaman pengeluaran, pengimportan, pengangkutan dan penjualan minuman keras. Sama seperti di Malaysia, yang rakyatnya sangka pengharaman rokok sebagai solusi.

Motif Protestan sebenarnya mulia: melemahkan penyakit sosial dan korupsi politik demi kesejahteraan moral dan kesihatan awam. Sekali lagi sama dengan motif penggiat-penggiat anti-rokok. Perjuangan Protestan sebenarnya bermula 20 tahun lebih awal tetapi sentiasa melanggar benteng dibina masyarakat Katolik dan Lutheran. Bangsa peniaga Jerman paling ramai dalam kalangan masyarakat ini. Maka mereka menyalurkan dana untuk membanteras pengaruh Protestan.

Namun penyertaan Amerika Syarikat dalam Perang Dunia Pertama menentang Empayar Jerman telah sedikit sebanyak mencetuskan kesan di laman sendiri. Bangsa Jerman terpaksa tutup kilang arak satu per satu, sekaligus mengurangkan dana sedikit demi sedikit. Akhirnya Protestan menjulang piala pengharaman, bermula dengan 1920. Namun pengharaman alkohol jauh sekali menghentikan gejala arak di Amerika Syarikat. Apa yang disangka solusi telah menjadi kesan ular.

Sindiket-sindiket jenayah pula menguasai pembekalan arak. Apabila golongan kongsi gelap menjana pendapatan, pengaruh mereka bertambah. Dan kes-kes jenayah pun meningkat, sekaligus mengurangkan perolehan negeri. Pembayaran cukai perniagaan pun berkurang, oleh kerana kehilangan punca pendapatan negara daripada jualan alkohol. Satu lagi faktor menyentuh tentang perniagaan-perniagaan terpaksa bayar wang perlindungan, yang sepatutnya pergi ke lembaga hasil. Dengan kekurangan cukai, pihak polis pun tidak boleh dikukuhkan untuk melawan kongsi gelap yang semakin ampuh.

Seperti boleh dibayangkan, golongan Katolik menyelar bahawa pengharaman ini telah meningkatkan kadar jenayah. Mentaliti Protestan yang kampugn telah menyusahkan hidup bandar. Dan pengharaman ini dibatalkan pada 5 Disember 1933.

Solusi atau Kesan Ular

Pengharaman sebenarnya mengurangkan pengambilan alkohol buat sementara waktu. Statistik menunjukkan pihak polis kurang memberkas kaki-kaki mabuk. Kadar kematian dan masalah mental pun menurun 30% pada awalnya. Tetapi beberapa tahun kemudian, kadar ini meningkat semula ke paras 60-70% sebelum pengharaman. Kadar kematian daripada sirosis hati, mabuk dan kegilaan alkohol pula menjunam. Perkara ini berlaku angkara revolusi kebudayaan yang membuatkan minum arak itu sebagai suatu jenayah.

Namun kadar jenayah secara keseluruhan pula didapati meningkat. Kongsi gelap secara khususnya beroperasi melalui pelacuran, perjudian dan rompakan pada awal 1920-an. Tetapi kemudian, semua kumpulan menggerakkan alkohol secara haram. Peningkatan jenayah pula dilihat berada pada purata 24%. Kes kecurian pun naik 9%, pembunuhan 27% dan penyalahgunaan dadah 44.6%.

Apabila kes-kes sebegini naik, kos balai polis pun naik 11.4%. Aspek politik pula menyaksikan perubahan dari kuasa negeri yang memperkenalkan kanun-kanun keseksaan terbaru. Tetapi berkat paling besar tentu sekali ialah sifat curi tulang mula terhakis. Kadar asalnya mencecah 10% telah menjunam 3%. Sebelum pengharaman, kaum wanita minum arak secara terbuka. Namun pengaruh Protestanisme telah membuatkan minuman arak bagi kaum wanita akan mengibaratkan mereka bagaikan pelacur.

Namun jelas sekali – apabila kedai-kedai arak mula tutup, rakyat lebih kerap pergi kerja.

Sungguhpun begitu, itu ialah arak yang mempunyai kesan sampingan segera. Perkara ini tentu sekali takkan timbul bagi rokok. Penggiat tegar rokok tidak merasai “hangover” yang lama. Maka untuk melaksanakan pengharaman rokok adalah pertama sekali menghapuskan kutipan cukai RM4 bilion. Oleh kerana pengeluaran rokok diharamkan secara sah, penyeludupan rokok akan berleluasa – membawa masuk rokok yang tidak diketahui bahan-bahannya.

Perkara seakan-akan sama boleh dilihat dalam kematian empat orang yang meminum arak tiruan. Dengan pantas, mereka mengalami keracunan alkohol yang meragut nyawa. Kesan-kesan sebegini dalam situasi rokok hanya akan melonjakkan lagi perbelanjaan negara untuk membiayai rawatan pesakit.

Maka dalam situasi tersebut, jelas sekali apa yang disangka solusi hanyalah kesan ular – kerana masalah rokok tidak selesai.

Source
McGirr, Lisa (2015). The War on Alcohol: Prohibition and the Rise of the American State. W.W. Norton.Mohd Noor, H. H. (2018, December 11). Kastam jangka peningkatan kutipan cukai rokok RM1 bilionRokok penyumbang cukai kedua terbesar. (2015, May 21)Timb menteri: Kos rawat pesakit akibat rokok 4 kali ganda hasil cukai rokok. (2019, August 20).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

Back to top button