Kewangan

Kenal Pasti Kategori Harta Pusaka Dulu, Jimat Masa & Duit

Bila sembang pasal urus pusaka, terus orang ingat selesai di mahkamah.
Ya, tapi tak semua kes.

Kategori pusaka kecil tapi kita pergi buat tuntutan di mahkamah tinggi, kan dah buang masa tu.

Kenalpasti kategori harta pusaka dulu.
Setiap kategori, berbeza cara penyelesaian.

Ada berapa kategori harta pusaka?
Jom kita rungkaikan bersama.

Sebelum pergi lebih jauh, fahamkan apa itu harta pusaka?

Harta pusaka adalah harta peninggalan si mati.
Termasuk harta alih dan harta tak alih.

Apa beza harta alih dan tak alih pula?

Harta alih adalah harta yang senang dicairkan seperti wang tunai, syer, caruman KWSP, wang imbuhan insurans, kenderaan, perabot rumah, pakaian dan sebagainya.

Manakala harta tak alih lebih kepada bersifat kekal dan susah dicairkan. Contohnya tanah serta kepentingan atas tanah tersebut, rumah, lombong, sawah, telaga dan sebagainya.

Kenalpasti Harta Peniggalan Si Mati

Nak tahu kategori mana satu,
kenalah kenal pasti harta si mati dulu.

Macam mana nak tahu harta peninggalan si mati?

Kalau yang ada wasiat, Alhamdulillah.
Semua harta dah disenaraikan.
Hitam dan putih, ada bukti bertulis.

Yang tiada bagaimana?

Anda boleh buat carian terlebih dahulu.

Bagi harta jenis tak alih seperti hartanah,
anda boleh buat carian rasmi di Pejabat Tanah & Galian.

Untuk harta alih pula, agak renyah sikit.
Kena bawa sijil mati ORIGINAL ke bank-bank untuk dapatkan kepastian sama ada arwah punya harta/hutang di bank tersebut atau tidak.
Kebiasaannya, pasangan lebih tahu dimana terletaknya harta si arwah.

Untuk urusan pencarian harta, disarankan waris yang buat.
Sebab bank hanya beri maklumat kepada waris yang berkenaan sahaja.

Pengajarannya, buatlah dokumen wasiat siap-siap.
Senang bila nak diuruskan.

Sekarang dah mudah.
Banyak institusi yang menyediakan khidmat dokumen wasiat.

Baik, sekarang kita pergi ke kategori harta pusaka pula.

1. Harta Pusaka Kecil

Harta peninggalan si mati tanpa wasiat yang bernilai RM 2,000,000.00 ke bawah.

Pada Seksyen 3(2) Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 (Akta 98), nilaian bidang kuasa Pentadbir Tanah telah dipinda daripada RM600,000 kepada RM2,000,000 selaras dengan peningkatan nilaian pasaran hartanah masa kini. Ini bermakna jika si mati meninggalkan harta tak alih sahaja atau bersama-sama dengan harta alih dan nilaian harta tersebut tidak melebihi RM2,000,000, dan tidak meninggalkan wasiat bagi bukan Islam, maka waris si mati boleh memfailkan permohonan pembahagian harta pusaka di Bahagian Pembahagian Pusaka, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian atau Pejabat Tanah, tanpa perlu mengemukakan permohonan ke Mahkamah Tinggi.

Harta yang berikut adalah dianggap sebagai harta pusaka kecil:

  • tanah sahaja;
  • tanah dengan rumah;
  • tanah, rumah dan harta alih seperti barang kemas, syer, caruman KWSP, simpanan wang, kenderaan bermotor, perabot, pakaian, dsb.; dan
  • tanah dan apa-apa jumlah tuntutan di bawah seksyen 7 dan 8 Akta Undang-Undang Sivil 1956 [Akta 67].

Nak mudah faham, jumlah segala harta peninggalan si mati bernilai kurang daripada RM2 juta.
Termasuk harta alih dan tak alih.
Itu diklasifikasikan harta pusaka kecil.

Dah nama harta pusaka kecil,
nak selesaikan di pejabat pusaka kecil (Jabatan Ketua Pengarah Tanah & Galian).

Berbeza dengan harta peninggalan yang bersifat harta alih sahaja dan nilai kurang daripada RM2 Juta, ini sudah masuk klasifikasi lain.

Baca seterusnya.

proses-tuntutan-harta-pusaka

2. Harta Pusaka Biasa

Harta pusaka biasa bermaksud semua jenis harta peninggalan si mati dengan wasiat atau tanpa wasiat, atau sebahagiannya tanpa wasiat seperti –

  • harta alih dan harta tak alih yang bernilai RM 2,000,000.00 ke atas kesemuanya;
  • harta tak alih (tanah) yang bernilai lebih daripada RM 2,000,000.00; dan
  • harta alih sahaja seperti wang, syer, kenderaan walaupun nilai kesemuanya kurang daripada RM 2,000,000.00.

Di mana nak selesaikan harta pusaka biasa?

Harta sebegini baru kita selesaikan di mahkamah tinggi.
Bagi harta peniggalan si mati yang bersifat harta alih sahaja dan bernilai bawah daripada RM600 ribu, disarankan untuk selesaikan melalui Amanah Raya Berhad.

Sebab apa?
Sebabnya kos efektif.

Pergi mahkamah tinggi, banyak kos yang perlu dikeluarkan.
Nak lantik peguam dah guna duit lagi.

Sebab itu, perlunya klasifikasikan harta pusaka terlebih dahulu.
Jangan gelojoh.
Buat satu per satu, kalau tidak pening nanti.

Sumber :
– http://www.jbg.gov.my

Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker