Global

Kemelesetan Ekonomi Melanda Britain Jika Brexit Tanpa Perjanjian Dipilih

Semua sedia maklum, tempoh akhir Britain untuk keluar Kesatuan Eropah (EU) dilanjutkan kepada 31 Oktober ini. Pada masa ini, sedang berlakunya perebutan jawatan Perdana Menteri membabitkan dua calon utama Parti Konservatif iaitu bekas Datuk Bandar London, Boris Johnson dan Setiausaha Luar, Jeremy Hunt. Untuk menggantikan Theresa May. Keghairahan mereka untuk mendapatkan jawatan tersebut termasuk bersedia untuk keluar dari EU tanpa sebarang perjanjian sudah menimbulkan lampu amaran dalam kalangan anggota parti. Dan melihat kepada analisis ini, sebarang cubaan untuk keluar tanpa perjanjian EU membabitkan salah seorang daripada mereka ini sudah pasti akan ditentang hebat.

Dalam satu sidang media, Pejabat Kebertanggungjawaban Belanjawan (OBR) memberi amaran sebarang cubaan untuk keluar dari EU tanpa perjanjian akan mengakibatkan Britain mengalami krisis kemelesetan ekonomi dengan nilai aset dan paun sterling jatuh. Pasaran saham Britain akan mengalami kejatuhan sebanyak 2%, nilai paun menurun sebanyak 10% dan KDNK negara dijangka mengecut sebanyak 2% pada akhir tahun hadapan. Dan bagi mana-mana individu yang bakal mengetuai kerajaan dan memilih jalan tersebut, mereka juga terpaksa menimbang kemungkinan meminjam 30 bilion paun setiap tahun bermula tahun hadapan.

Bagi Chancellor of the Exchequer, Philip Hammond, ini merupakan satu amaran keras terhadap penyokong Brexit bahawa sebarang langkah untuk keluar EU tanpa perjanjian dianggap malapetaka untuk Britain. Beliau berkata, “Laporan OBR yang diterbitkan pagi ini menunjukkan versi paling lembut untuk Brexit tanpa perjanjian akan memberi kesan besar kepada ekonomi Britain, pengurangan besar dari segi kutipan cukai dan kenaikan untuk hutang negara sekaligus mencetuskan kemelesetan ekonomi akibat Brexit tanpa perjanjian.” Tambah Hammond, penyokong Brexit terutama geng Euroskeptik mempertimbang versi Brexit yang paling kasar di mana kesannya terhadap ekonomi juga semakin besar termasuk tempoh berlakunya kemelesetan yang melanda Britain apabila memilih Brexit tanpa perjanjian.

Namun, Hammond menyifatkan laporan OBR tidak menyatakan tidak menunjukkan impak paling buruk bila berlakunya Brexit tanpa perjanjian. Pada November tahun lepas, Bank of England mengeluarkan satu laporan jika Brexit tanpa perjanjian menjadi pilihan, ekonomi Britain boleh mengecut sebanyak 8% dengan nilai paun boleh berkurangan sebanyak 25%. Senario ini turut menyaksikan Britain juga akan mengalami krisis ekonomi jauh lebih buruk berbanding apa yang dihadapinya semasa krisis kewangan 2007-2008.

Dalam laporan sama, kejutan dari Brexit tanpa perjanjian ini dilihat sudah cukup untuk menolak Britain ke arah kemelesetan ekonomi dan ia dijangka berlaku pada suku keempat tahun 2019. KDNK yang dijangka berkurangan sebanyak 2% pada akhir tahun 2020 bakal turun lagi sebanyak 4% pada pertengahan tahun 2021. Harga aset terutama hartanah juga dijangka menurun dengan harga hartanah dijangka jatuh sebanyak 10% antara akhir tahun 2019 hingga pertengahan 2021 dengan kejatuhan transaksi hartanah sebanyak 20% pada akhir tahun hadapan. OBR menjangkakan Bank of England akan menyokong ekonomi negara dengan memotong kadar faedah sebanyak 0.2% pada akhir tahun 2020.

Menerusi sidang media sama, Pengerusi OBR, Robert Chote turut menyelar janji-janji manis yang ditabur Hunt dan Johnson sepanjang kempen dengan menyifatkan semua janji yang ditabur perlu dibayar dengan harga mahal. Janji-janji seperti potongan cukai dan peningkatan perbelanjaan kerajaan dijangka akan memaksa kerajaan meminjam puluhan bilion paun untuk merealisasikan janji mereka itu. Tambah Chote, “Tiada dana besar yang boleh membantu merealisasikan janji mereka.” Yang pasti, proses Brexit ini sudah memberi kesan buruk kepada ekonomi Britain dengan kemerosotan pelaburan luar, melemahkan pasaran perumahan dan menyebabkan firma-firma keliru dan bimbang tentang hala tuju dan masa hadapan mereka.

Sumber
Horowitz, Julia. (2019). UK will plunge into recession if it leaves Europe without a Brexit deal. CNNElliot, Larry. (2019). No-deal Brexit would plunge Britain into a recession, says OBR. The Guardian
Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker