Kewangan

Keindahan Perbankan Islam Menangkis Tanggapan Sebagai ‘Backdoor Riba’

Orang ramai salah anggap tentang perbankan Islam. Siap ada yang sinis mengatakan bahawa perbankan Islam ni macam backdoor riba, tak ada beza pun dengan perbankan konvensional.

Pertama sekali, perbezaan yang paling ketara adalah perbankan Islam melaksanakan pengurusan kewangan berlandaskan prinsip Syariah. Prinsip syariah disini bermaksud pengharaman riba atau faedah dalam apa jua urusan perniagaan.

Cakap pasal syariah ni, nanti ada segelintir rakyat Malaysia yang alergik pula. Tapi tak apa, jom kita bincang secara ilmiah. Sebelum kita pergi teknikaliti prinsip syariah, suka saya sampaikan hasil kajian presatasi antara perbankan Islam dengan konvensional menurut jurnal Perbandingan prestasi kewangan perbankan Islam dengan konvensional di Malaysia pada tahun 2009 – 2014 ; Humaida Banu Samsudin & Nur Amira Mohd Noh.

Dalam kajian ini, pendekatan CAMEL (Capita adequacy, Asset Quality, Management Quality, Earnings Quality & Liquidity Quality ) telah digunakan untuk melihat faktor-faktor yang mempengaruhi nisbah pulangan atas aset.

Nisbah pulangan atas aset = Untung bersih / Jumlah aset

Nisbah ini adalah pemboleh ubah bersandar (dependant variable). Semakin tinggi nisbah pulangan atas aset, semakin tinggi keuntungan yang dijana hasil daripada kecekapan penggunaan aset yang sedia ada. Secara tak langsung, dengan nisbah ini kita boleh tahu sistem mana yang efisyen dan cekap menjana keuntungan dengan aset yang dimiliki.

Manakala kelima-lima faktor CAMEL ni adalah pemboleh ubah tidak bersandar (independent variable). Jika nilainya postif, bermakna ia mempengaruhi nisbah pulangan atas aset tadi dan begitulah sebaliknya.

Berdasarkan data panel yang diperoleh, jika kelima-lima faktor CAMEL tadi bernilai 0, perbankan Islam mempunyai nisbah pulangan atas aset yang positif. Berbanding dengan perbankan konvensional, nisbahnya negatif. Ini bermakna, dengan permulaan modal yang sama, perbankan Islam menjana keuntungan yang lebih baik berbanding perbankan konvensional.

Hasil itu tadi dengan andaian prestasi perbankan tidak dipengaruhi oleh kelima-lima faktor CAMEL (nilai = 0).

Selepas kajian dibuat, keberuntungan perbankan Islam dan konvensional dipengaruhi oleh faktor-faktor yang berbeza. Keuntungan perbankan Islam dipengaruhi oleh faktor kecukupan modal (Capital Adequacy) dan faktor kualiti pendapatan (Earnings Quality). Manakala keuntungan perbankan konvesional dipengaruhi oleh tiga faktor yang lain iaitu faktor kualiti aset, faktor kualiti pengurusan dan faktor kualiti kecairan.

Nak mudah faham, perbankan Islam hanya perlu jaga dua faktor ni, kecukupan modal dan kualiti pendapatan untuk terus konsisten untung. Manakala perbankan konvensional kena jaga tiga faktor untuk terus untung. Perkara yang membezakan antara dua jenis perbankan ini adalah khidmat yang dijalankan. Seperti mana kita tahu, perbankan konvensional menjalankan khidmat pinjaman dengan faedah.

Dengan khidmat pinjaman berfaedah inilah yang mempengaruhi tiga faktor daripada lima faktor CAMEL. Jika peminjam gagal atau culas membuat bayaran semula pinjaman, ini akan memberi kesan kepada kualiti aset dan pengurusan. Seterusnya, kualiti kecairan kerana deposit telah digunakan sebagai pinjaman. Dari sini, kita boleh lihat perbankan Islam lebih menjaga pengurusan risiko berbanding keuntungan semata.

Tapi, ada juga pinjaman Islamik dan kenapa tak dipengaruhi oleh 3 faktor yang mempengaruhi keuntungan perbankan konvensional ?

Disinilah teknikaliti prinsip Syariah memainkan peranan yang membezakan dengan cara konvensional.

Berdasarkan artikel yang dikeluarkan oleh Bank Muamalat yang bertajuk Perbandingan Antara Perbankan Islam dan Konvensional, ia dibahagi kepada tiga iaitu :

  1. Asas (fundamental)
  2. Urus Tadbir & Operasi
  3. Produk

Berkenaan bahagian Asas/Fundamental , rasa semua dah tahu kenapa kita perlu laksanakan dan sokong perbankan Islam. Jadi kita boleh ke bahagian yang kedua iaitu urus tadbir dan operasi.

Urus Tadbir & Operasi

1. Pemantauan & Pematuhan Syariah
Perbankan Islam mempunyai badan penasihat syariah. Jadi, kita sebagai orang awam yang kurang arif dalam hal ini, amatlah memerlukan badan penasihat syariah. Mereka akan pastikan segala prosedur menepati hokum-hakam yang telah ditetapkan. Jadi, tidak perlu pening nak kaji sesuatu produk tu menepati syariah atau tidak.

2. Keuntungan
Perbankan Islam memperoleh keuntungan daripada kontrak jual beli dan perkongsian untung rugi (pelaburan). Manakala konvensional pula daripada kadar faedah pinjaman yang diberikan.

“Eleh, sama lah tu. Untung dari pinjaman juga kan?”

Sabar, yang ni saya terangkan pada bahagian produk.

3. Hubungan bank dengan pelanggan
Dalam perbankan Islam, bank adalah sebagai pembiaya. Manakala, perbankan konvensional, bank adalah pemberi hutang dan pelanggan adalah peminjam.

“Eleh, samalah tu. Peminjam juga, tukar terma je”

Sabar, yang ni pun saya akan terangkan dalam bahagian produk.

4. Tindakan Lambat Bayar
Dalam perbankan Islam, caj yang dikenakan adalah berdasarkan kos sebenar atau 1% seperti mana yang digariskan oleh BNM (ganti rugi/ta’widh). Sebahagian besar daripada caj ganti rugi ini akan disalurkan kembali kepada masyarakat dalam bentuk derma. Hanya sikit sahaja diambil oleh pihak bank sebagai ganti rugi kos operasi.

Manakala perbankan konvensional mengenakan denda yang tidak berasas. Malah, boleh berganda menyebabkan jumlah hutang pelanggan bertambah dan secara tak langsung menguntungkan lagi bank.

5. Zakat
Perbankan Islam juga adalah satu perniagaan yang tidak berasaskan riba. Oleh itu, perniagaan juga kena zakat. Secara tak langsung, dapat memberi tambah nilai dalam tanggungjawab sosial.

Perbezaan Produk

1. Deposit
Dalam perbankan Islam, kontrak yang digunakan adalah Wadi’ah Yad Dhamamah yang bererti simpan dengan jaminan simpanan tersebut dan penyimpan bersetuju duit simpanan digunakan untuk pelaburan. Pulangan pula tidak dijamin dan berdasarkan budi bicara pihak bank.

Berbeza dengan perbankan konvensional, iaitu simpanan dengan jaminan pulangan. Contohnya Fixed Deposit biasanya 3% setelah capai tempoh matang. Dalam hal ini, ia telah jatuh dalam Riba’ Ad-Duyun dari jenis al-Qard. Kerana ia telah menjanjikan pulangan semasa awal kontrak lagi.

2. Pembiayaan / Pinjaman
Dalam perbankan Islam, ia dipanggil sebagai pembiayaan. Kontrak yang digunakan adalah Tawarruq atau Bai’ Al-Inah. Keuntungan yang diperoleh adalah hasil daripada jualan, bukan daripada faedah atau transaksi pinjaman seperti yang ada dalam pinjaman konvensional.

Contohnya, Ahmad nak beli kereta bernilai RM40,000. Daripada bank memberi pinjaman duit seperti bank konvensional amalkan, perbankan Islam membeli kereta tersebut kemudian jual semula kepada Ahmad dengan dinyatakan dari awal jumlah harga kereta itu untuk tempoh 7 tahun contohnya. Dari transaksi jual beli inilah perbankan Islam menjana keuntungan.

Orang nampak kontrak ni macam nak pusing je, sebenarnya tidak. Kontrak ini membela kedua-dua pihak. Risiko bank kurang dengan andaian pembeli tidak dapat bayar semula, barang jualan boleh ditarik kerana ia memang milik bank tersebut. Manakala bagi pihak pembeli pula, jika mereka culas untuk bayar, mereka hanya dikenakan denda lewat bayar.

Bukan dikenakan faedah yang ‘compounding’ , seolah-olah menekan dan mengambil kesempatan atas kesusahan orang. Ada pun denda lewat bayar yang dikenakan perbankan Islam yang dipanggil Ta’widh, sebahagian besar diagihkan untuk tujuak kebajikan. Bahagian yang bank ambil pun untuk tanggung kos operasi sahaja.

3. Pelaburan
Dalam perbankan Islam, antara kontrak yang digunakan adalah Mudharabah. Iaitu perkongsian keuntungan mengikut peratusan yang telah dipersetujui. Contohnya, walau apa sahaja rugi atau untung, 70% bahagian bank dan 30% selebihnya bahagian pelanggan.

Daripada kontrak ini, kita boleh lihat bagaimana prinsip Syariah memelihara hak kedua-dua pihak. Tidak akan timbul salah satu pihak untung, dan lagi satu pihak rugi seperti yang diamalkan dalam perbankan konvensional.

Kita memang tak nampak lagi ada pendeposit konvensional yang rugi kerana perniagaan menjual pinjaman memang memberikan pulangan yang lumayan. Tapi kita boleh nampak kat sini, bank sebenarnya mengaut keuntungan lebih sedangkan majoriti risiko ditanggung oleh pendeposit. Macam saya cakap, sekarang ni memang pendeposit tak rugi, malah mendapat jaminan keuntungan, sebab pihak bank memang dah buat unjuran dan perkiraan untung yang akan dijana.

Secara kesimpulannya, prinsip Syariah yang diamalkan dalam perbankan Islam lebih mementingkan pengurusan risiko disamping keuntungan yang dijana. Ini bagi memastikan kelangsungan jangka masa panjang. Seperti yang diperoleh daripada hasil kajian diatas, kecukupan modal sangat penting dalam memastikan kemampanan insititusi perbankan untuk terus bertahan, terutama ketika situasi ekonomi yang tidak menentu.

Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker