Berita

Kadar Tarif Air Dinaikkan Hujung Tahun Ini

Kadar baharu tarif air bagi semua negeri mungkin diumumkan hujung tahun ini.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar, berkata bagaimanapun perkara itu akan dibawa kepada Jemaah Menteri terlebih dahulu untuk dibincangkan.

“Setelah Jemaah Menteri bersetuju dengan kadar baharu ini, saya akan umumkan kenaikan bagi setiap negeri, kemungkinan pada hujung tahun ini tetapi saya tidak boleh janji apa-apa,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelepasan Larian Keamanan 2019 di Dataran Pantai Morib di sini, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Agung Persatuan Soka Gakkai Malaysia (SGM), Lok Chee Khong dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Morib, Hasnul Baharuddin.

Seramai 1,500 peserta menyertai larian berkenaan yang pertama kali diadakan di luar Klang sejak ia dianjurkan oleh SGM pada 2005.

Mengenai peratusan kenaikan tarif air itu, Xavier berkata, pihaknya akan memastikan kenaikan itu kelak tidak membebankan rakyat.

“Kita faham situasi rakyat, tetapi pada masa sama rakyat perlu faham industri air sudah lama tidak ada perubahan dan ia memerlukan modal operasi yang besar,” katanya.

Mengulas mengenai larian berkenaan, Ahli Parlimen Kuala Langat itu berkata, acara seperti itu penting sebagai wadah untuk rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang dan kaum untuk bersama-sama membina negara yang aman, damai dan sejahtera.

“Perkara ini penting terutama bagi anak muda kerana merekalah yang akan menentukan masa depan negara dan saya berharap acara ini akan diteruskan di masa hadapan,” katanya.

– BERNAMA

Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker