Polisi

Kadar Pengangguran Belia di Malaysia Membimbangkan

Kadar pengangguran dikira dengan membahagikan jumlah orang yang menganggur (tidak bekerja) dengan jumlah tenaga buruh (DOSM, 2017). Menurut Laporan Ekonomi yang dikeluarkan oleh Kementerian Ekonomi, pengiraan kadar pengangguran pada tahun 2016 adalah seperti berikut :

  • Jumlah tenaga buruh = 15 juta
  • Jumlah yang menganggur = 502,600
  • Kadar pegangguran = 502,600 / 15 juta x 100 = 3.35%
pengangguran

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar pengangguran kekal pada 3.4% sehingga Ogos 2018.

Mengikut pada perspektif umur dan bangsa, golongan yang berumur 15-19 tahun mencatatkan kadar pengangguran yang tertinggi iaitu 18.7%, diikuti dengan umur 20-24 tahun iaitu 11.9%.

Selain itu, kita boleh lihat golongan belia mempunyai komposisi yang majoriti dalam hal ini. Ini terdiri daripada bangsa lain-lain (17.7%), diikuti India (15.5%), bumiputera (14.1%) dan Cina (8.3%).

Antara faktor yang menyebabkan kadar pengangguran tinggi dikalangan belia adalah kurangnya pengalaman dan kemahiran atau pendidikan untuk bersaing dalam pasaran pekerjaan.

Selain itu, pengangguran yang tinggi dikalangan belia juga disebabkan pekerjaan yang tidak sepadan (skills mismatch) dengan kemahiran belia (MIDF, 2018). Majoriti peluang pekerjaan yang ada dalam pasaran adalah dalam kategori kemahiran rendah dan sederhana, dimana kurang sesuai untuk para graduan baru.

Daripada 1.4 juta peluang pekerjaan yang ada pada 2017, 86.9% adalah kerja berkemahiran rendah yang memerlukan latarbelakang pendidikan primari (primary education), seterusnya 8.4% adalah kerja berkemahiran sederhana.

Kerja berkemahiran tinggi yang memerlukan latarbelakang pendidikan tinggi (tertiary education) hanyalah 4.7% atau 64,402 daripada jumlah keseluruhan peluang pekerjaan. Disebabkan kekurangan pekerjaan berkemahiran tinggi, para graduan terpaksa terima kerja yang berkemahiran sederhana atau rendah.

pengangguran

Selain itu, didapati sesetengah majikan telah mengambil kesempatan dalam hal ini dengan mengekalkan gaji pada tahap yang rendah. Hal ini disokong oleh data yang diperoleh dalam kajian polisi oleh Institute for Research & Development of Policy (IRDP), gaji minimum bulanan sebenar bagi graduan baru telah menurun sebanyak 0.7%, 0.1% dan 0.3% bagi pemegang diploma, ijazah sarjana muda dan ijazah kepujian (Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia 2018).

Alasan yang biasa didengari adalah waktu ekonomi tak bagus sekarang ni, graduan tiada pengalaman dan sebagainya. Dengan permintaan kerja yang tinggi, majikan tak kisah pun untuk letak gaji yang rendah kerana mereka tahu ada ramai lagi yang terdesak untuk dapatkan kerja.

Walaubagaimanapun, menaikkan gaji minima secara mendadak mungkin tidak realistik kerana akan memberi kesan pada pertumbuhan ekonomi kerana majikan perlu tanggung kos lebih. Namun, pihak kerajaan perlu campur tangan bagi memastikan golongan belia layak menerima gaji yang setimpal.

Memberi jalan penyelesaian yang populis seperti kemasukan Gojek sebagai alternatif pekerjaan untuk anak muda bukannya tidak bagus, tetapi tidak sesuai untuk jangka masa panjang.

Memetik daripada laporan IRDP, sejak tahun 2014, lebih daripada 1.2 juta graduan baru dihasilkan oleh universiti tempatan (baik awam dan swasta). Walaubagaimanapun, dalam tempoh yang sama, hanya 284,300 pekerjaan diwujudkan untuk belia.

Golongan belia adalah aset penting dalam pembangunan negara. Tanpa inisiatif yang tepat oleh pihak kementerian, kerajaan sebenarnya telah mensia-siakan pelaburan yang paling bernilai iaitu dalam sektor pendidikan.

Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker