Global

Kadar KDNK India Semakin Menurun

Tiga tahun lepas, India menikmati pertumbuhan ekonomi sebanyak sembilan peratus. Tetapi hari ini, kadar pengembangan ekonomi negara itu kini jatuh separuh daripada kadar peratus yang dinyatakan. Pertumbuhan KDNK India hanya naik sebanyak 4.5% dari Julai hingga September tahun ini, kadar paling rendah sejak awal tahun 2013. Pertumbuhan KDNK pula pada kadar tujuh peratus untuk tempoh sama tahun lepas dan lima peratus pada suku sebelumnya.

Pertumbuhan ekonomi India telah jatuh selama enam suku tahun berturut-turut, kemerosotan yang boleh dipersalahkan kepada pertumbuhan lemah sektor perkilangan India. Sektor pembuatan jatuh sebanyak satu peratus pada suku sebelumnya berbanding tumbuh pada kadar 6.9% untuk tempoh sama tahun lepas. Kadar pertumbuhan sektor pertanian pula berkurangan sebanyak separuh. Angka-angka KDNK ini merupakan yang paling lemah dalam tempoh pentadbiran Narendra Modi sebagai Perdana Menteri India. Ini juga turut memperlihatkan sebarang usaha untuk merealisasikan janji membawa ekonomi India ke tahap lebih tinggi dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kini dalam bahaya.

Tetapi tanda-tanda ekonomi India sedang bergelut sudah wujud sejak tahun lepas. Sektor automotif telah membuang ratusan pekerja sementara syarikat pengeluar barangan seperti Unilever terpaksa mengurangkan harga produk mereka berikutan kekurangan sambutan daripada pengguna. Bukan sedikit usaha New Delhi untuk menstabilkan kembali ekonomi negara itu lebih-lebih lagi selepas Modi berjaya mendapat mandat baru pada pilihan raya umum lepas. Ini termasuklah melonggarkan peraturan, menawarkan pengecualian cukai kepada syarikat-syarikat yang baru bertapak dan menawarkan pinjaman kereta dan rumah yang lebih murah. Bank Rizab India juga sudah memotong kadar faedah dan dijangka akan mengulanginya dalam masa terdekat. Prospek pemotongan dijangka menjadi lebih kuat lebih-lebih lagi bila prospek pemulihan ekonomi dijangka tidak menunjukkan perubahan pada tahun hadapan.

Melihat kepada isu ini, tidak hairanlah ramai menyuarakan kebimbangan mereka secara rahsia terhadap prospek pertumbuhan ekonomi India terutama pemain-pemain industri. Tetapi tidak ramai yang berani bersuara secara terbuka kerana bimbang dengan sikap pentadbiran Modi yang dilihat enggan menerima sebarang kritikan terhadap polisi-polisi ekonomi mereka. Jika tidak, mengapa bekas Perdana Menteri Dr Manmohan Singh mendedahkan wujud unsur ketidakpercayaan dan ketakutan dalam kalangan pemegang taruh ekonomi dari pemain-pemain industri pembuatan hinggalah bank-bank dan penggubal polisi terhadap pihak kerajaan baru-baru ini.

Salah seorang individu yang cuba menyuarakan hal ini ialah Rahul Bajaj, 81. Bajaj bukan calang-calang orang kerana beliau merupakan Pengerusi Bajaj Auto Ltd, syarikat yang menghasilkan kenderaan beroda tinggi terbesar di dunia. Jutawan ini pernah menghadiri Sekolah Perniagaan Harvard dan turut mempunyai pegangan-pegangan saham dalam sebuah firma pelaburan dan sebuah firma insurans. Datuknya Jamnalal Bajaj merupakan seorang pejuang kemerdekaan India dan juga kenalan rapat Mahatma Gandhi serta merupakan pengasas syarikat pada tahun 1926.

Dalam satu forum anjuran Economic Times yang turut dihadiri orang kepercayaan Modi merangkap Menteri Dalam Negeri India Amit Shah, Bajaj mengeluarkan kenyataan, “Tiada siapa dari kalangan rakan-rakan industri akan bercakap tentang ini tetapi saya akan mengatakannya secara terbuka. Anda melakukan tugas yang baik tetapi di sebalik itu, kami tidak yakin anda akan menghargai kami bila kami mengkritik anda secara terbuka.” Kenyataan beliau bagaimanapun disangkal Shah sambil menyifatkan pentadbiran Modi sebagai telus dan tidak takut kepada penentangan yang muncul.

Namun, kenyataan Shah masih tidak boleh menafikan hakikat India kini bergelut dengan pertumbuhan ekonomi yang lemah dalam tempoh lebih daripada enam tahun. Antara isu yang dihadapi New Delhi ialah pengguna mengurangkan perbelanjaan, perniagaan-perniagaan menahan diri dari membuat pelaburan dan permintaan eksport menurun. Dan dengan Modi mengambil keputusan menarik diri dari Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) baru-baru ini, sebarang usaha untuk memulihkan kembali ekonomi India bakal berhadapan laluan sukar.

Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker