Kewangan

Jenis Perkhidmatan Daripada Bank

Semua orang tahu apa itu bank. Ok, bukan semua orang kenal. Bayi-bayi dan budak-budak tak kenal.

Dalam usaha kami hendak membantu pembangunan ekonomi negara, kami di My Two Cents ingin membawa kepada anda apa itu perkhidmatan perbankan, khususnya dalam Malaysia.

Maklumat mengenai perbankan mudah didapati, tetapi kebanyakannya ditulis dalam Bahasa Inggeris dan menggunakan laras bahasa perniagaan. Kalau ada dalam Bahasa Melayu pun, selalunya adalah hasil daripada terjemahan dan ada kalanya tidak membawa maksud yang hendak dibawa.

Bagi memudahkan pemahaman dan perbandingan, kami akan menggunakan istilah yang biasa digunakan dalam industri, dan di mana perlu, istilah setara yang digunakan dalam perbankan Islam.

Untuk kali ini, kita akan lihat pada perbankan untuk individu marhaen. Kenapa diistilahkan sebagai perbankan individu marhaen? Kerana kebanyakan bank membuat segmentasi pasaran berdasarkan kekayaan pelanggan dan perkhidmatan yang ditawarkan adalah berdasarkan perkhidmatan yang diperlukan oleh pelanggan dalam segmen tersebut.

Di peringkat marhaen, produk perbankan yang ditawarkan adalah akaun seperti berikut:
– akaun simpanan
– akaun semasa
– akaun tetap/akaun deposit bertempoh
– perkhidmatan kad debit
– perkhidmatan kad kredit
– perkhidmatan pindahan wang
– lain-lain perkhidmatan.

Kita lihat satu-satu produk.

Perkhidmatan bank

Akaun simpanan


Akaun simpanan adalah produk paling koman yang boleh dimiliki oleh seseorang pengguna. Perkhidmatannya bersifat amanah, di mana pihak bank akan menyimpan wang bagi pihak pengguna.

Dalam tempoh wang ini dipegang oleh bank, bank boleh melaburkan wang ini dalam mana-mana bentuk pelaburan dengan kecairan tinggi. Kecairan tinggi ni bukan bermaksud meleleh seperti hingus budak 6 bulan, tetapi mudah dijual dan digantikan balik dalam bentuk wang supaya boleh bayar balik kepada pengguna. Sebagai ganti kepada dana ‘percuma’ kepada pihak bank, bank akan membayar pengguna dalam bentuk faedah yang sudah ditetapkan.

Bagi perbankan Islam, konsep yang hampir sama digunakan. Biasanya akaun simpanan akan ditadbir menggunakan konsep wadiah. Bezanya, dana ini hanya akan dilaburkan dalam aktiviti patuh-shariah. Dan sekiranya keuntungan mencukupi, para pengguna akan dibayar hibah.

Akaun simpanan pula biasanya akan dipasangkan bersama perkhidmatan kad debit dan perkhidmatan pindahan dana.

Setiap bank ada pelbagai jenis akaun simpanan untuk pilihan pengguna. Ada produk yang ditawarkan atas arahan Bank Negara Malaysia, dan ada produk yang ditawarkan berdasarkan umur pengguna.

Bank Negara Malaysia menetapkan bahawa semua bank perlu menawarkan akaun simpanan asas atau basic savings account. Perkhidmatan ini diwajibkan ke atas semua bank agar tidak melupakan golongan marhaen.

Perkhidmatan sampingan yang disertakan bersama akaun simpanan asas adalah sama dengan akaun biasa sesebuah bank, tetapi bayaran fi bagi sesetengah perkhidmatan perlu dikecualikan. Sebagai contoh, fi pengeluaran MEPS RM1 dikecualikan sebanyak 4 hingga 6 kali bagi sesuatu tempoh yang ditetapkan.

Begitu juga kos pindahan dana melalui sistem GIRO, turut dikecualikan bagi bilangan tertentu. Tapi pindahan dana fi berkecuali ini sudah tidak terpakai kerana Bank Negara Malaysia telah mengarahkan PayNet, syarikat milik penuh Bank Negara Malaysia yang mengendalikan sistem IBG dan MEPS untuk mengecualikan bayaran kepada pindahan di bawah RM5,000 sebagai menggalakkan penggunaan pemindahan dana secara elektronik.

Produk berasaskan umur pula terbahagi kepada 2 jenis, iaitu produk bagi kanak-kanak dan warga tua. Produk untuk kanak-kanak terbuka bagi mereka yang baru lahir sehinggalah berumur 17 tahun (korang yang baru umur 16, 17 tahun, jangan bajet dah tua ye, korang masih kanak-kanak lagi). Produk ini perlu biasanya perlu dibuka bersama penjaga sah. Pengeluaran tidak digalakkan daripada akaun ini.

Jadi, biasanya pelanggan yang tidak mengeluarkan wang akan diberikan faedah atau hibah tambahan bagi menggalakkan pelanggan untuk menyimpan. Mereka juga diberi tabung yang menarik (bagi kanak-kanaklah). Apabila pengguna itu meningkat ke umur 18 tahun, barulah mereka akan ditawarkan mana-mana produk simpanan sedia ada.

Seterusnya akaun warga tua. Biasanya ditawarkan kepada mereka berumur 50 tahun ke atas. Faedah/hibah yang dibayarkan juga adalah lebih tinggi, dan bagi sesetengah bank, turut menawarkan insurans atau takaful. Tapi yang ini tak pasti ada lagi ke tak. Korang kena periksa dengan bank masa buka.

Perkhidmatan seterusnya kita akan lihat dalam rencana seterusnya. Kalau tulis lagi, jadi terlalu panjang pula. Nanti korang pula sajatkan admin sampai pendek pula. Jadi sebelum disajatkan, sekian cerita kami di My Two Cents.

Penulis: DL

Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker