Info NiagaKerjaya

Isu Terlebih Kerja: Pengajaran Dari Kisah Pekerja Kilang Senjata WWI

Baru-baru ini, seorang pemimpin politik mengeluh tentang sikap bangsa Melayu yang dikatakan pemalas dan tidak rajin bekerja. Dan seperti biasa, beliau menyeru orang Melayu agar mengikut jejak langkah orang Jepun yang kuat bekerja. Haah, memang kuat bekerja tetapi dengan waktu kerja yang panjang, ia juga menyumbang kepada isu karoshi (kematian di tempat kerja). Dan melihat kisah dari Britain ini, kerja kuat dan waktu kerja yang panjang bukan tonik terbaik kepada produktiviti!

Semua sedia maklum bila orang terlebih kerja, ia akan memberi kesan buruk kepada kesihatan seperti tekanan mental, diabetis dan sakit jantung. Dan bila mengambil kira semua isu kesihatan ini, ia akan memberi kesan buruk kepada produktiviti syarikat dan negara amnya. Ini dibuktikan menerusi kisah pekerja-pekerja kilang senjata di Britain semasa Perang Dunia Pertama (WWI). Semasa WWI, Britain memerlukan senjata dan peluru/bom dalam kuantiti yang banyak. Memandangkan ramai lelaki memasuki tentera dan berada di medan perang, kerajaan merekrut ramai wanita untuk menyertai sektor pembuatan termasuk pembuatan senjata.

Pada tahun 1915, kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Kesihatan Pekerja Senjata (HMWC) bagi memantau keadaan pekerja dan memberi nasihat dalam pelbagai perkara termasuk waktu bekerja. Jawatankuasa ini mengumpul pelbagai set data berkenaan pekerja termasuk yang bekerja semasa waktu kerja yang panjang. Data sebegini menjadi kegemaran penyelidik kerana dapat mengkaji keadaan pekerja, syif bekerja yang sama dan tugas yang dilakukan juga sama. Jawatankuasa boleh menyemak berapa hari dan berapa jam mereka bekerja mengikut log penggunaan tenaga elektrik yang digunakan di kilang.

Hasil kajian menunjukkan satu perkara yang dijangkakan, waktu bekerja yang panjang tidak menjamin pertambahan hasil pengeluaran. Sebaliknya, tempoh waktu bekerja yang panjang ini juga akan menambah beban kepada kos operasi. Selain itu, tempoh waktu bekerja turut mempengaruhi produktiviti pekerja kilang. Hasil kajian ini dibentangkan oleh seorang profesor ekonomi dari Universiti Stanford, Profesor Dr John H. Pencavel.

Dalam kajian yang sama, Pencavel turut berpandangan waktu cuti turut mempengaruhi kadar produktiviti pekerja. Semasa WWI, adakalanya pekerja kilang perlu bekerja dalam banyak hari berturut-turut tanpa sebarang cuti. Bekerja pada hari Sabtu bukan sesuatu yang asing dan hari Ahad diklasifikasikan sebagai hari bekerja berikutan perang yang melanda ketika itu. Sekali-sekala, pekerja-pekerja ini berpeluang mendapat cuti pada hari Ahad. Berdasarkan data yang dikumpul HMWC, minggu kerja tanpa sebarang cuti rehat tidak akan memberi manfaat kepada majikan dan pekerja. Dengan waktu sebegini rupa, ia tidak akan merangsang peningkatan produktiviti dan pekerja juga akan merasa tidak gembira. Ini disokong dengan data kajian Pencavel di mana minggu kerja tanpa rehat menyaksikan penurunan pengeluaran antara 13.5% hingga 17%.

Situasi yang menyelubungi mereka ini dianggap unik. Mereka melakukan kerja buruh manual dan berulang dalam keadaan yang merbahaya. Bilangan pekerja wanita mengatasi pekerja lelaki dan remaja yang direkrut di kilang dengan kadar empat kepada satu. Dan melihat kepada kerja yang diambil sebagai menyahut panggilan negara dan dibayar mengikut tugas mereka, maka motivasi mereka juga sama ketika itu.

Kini selepas 100 tahun, isu waktu kerja yang panjang dan bebanan kerja sebegini bukan satu isu baru kepada pekerja. Suka atau tidak, demi memastikan produktiviti pekerja tidak terjejas, majikan perlu memikirkan prospek pekerja juga memerlukan waktu rehat untuk memulihkan kembali diri mereka dan waktu bekerja yang optimum. Ini kerana itu saja cara untuk menjadikan mereka lebih segar bila kembali bekerja pada minggu berikutnya. Perjalanan ke tempat kerja dan bekerja dianggap sesuatu yang meletihkan. Hanya cuti yang memberi peluang kepada mereka untuk mengecas bateri dan berehat bersama keluarga.

Ada pula yang tidak boleh mengelak waktu kerja yang panjang lebih-lebih lagi bila ia sudah ada dalam jadual masing-masing. Ini berlaku kepada sesiapa saja yang bekerja dalam profesion seperti pakar bedah, pekerja kecemasan, krew penerbangan komersial dan pelombong. Kebanyakan kajian membabitkan kumpulan ini selalunya melibatkan masalah kekurangan tidur kerana bekerja untuk tempoh masa lama ini bermakna pekerja tidak boleh tidur. Walaupun risiko dan bahaya berbeza-beza mengikut profesion pekerja, yang pasti ia memberi kesan negatif yang sama iaitu kekurangan tidur.

Tetapi dalam bercuti, usah terkejut jika ada yang dikejutkan dengan emel atau pesanan ringkas dari majikan berkaitan kerja. Menurut Dr Erin Reid dari Universiti McMaster di Kanada, ia sesuatu yang meletihkan kerana perlu melayan perkara-perkara sebegini walaupun secara teknikalnya, mereka masih bercuti. Dengan gangguan sebegini, ia bukan sekadar menggugat kadar produktiviti pekerja bahkan ia akan menghilangkan rasa seronok yang diterima semasa bekerja. Solusinya mudah saja, tetapkan had dan uruskan beban kerja. Tetapi untuk menjayakannya memerlukan bukan saja kerjasama majikan tetapi juga mengubah budaya kerja itu sendiri. Pencavel sendiri mengakui sesetengah majikan tahu isu terlebih kerja tetapi tiada motivasi untuk mengubahnya kerana merasakan tidak memberi kesan kepada model perniagaan mereka.

SUMBER

Duffy, Jill. (2019). What wartime ‘munitionettes’ can teach us about burnout. BBC. https://www.bbc.com/worklife/article/20190912-what-wartime-munitionettes-can-teach-us-about-burnout

Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker