Umum

Isu Persaraan Pemain Bola Sepak

Bagi mana-mana pemain bola sepak, hari yang mereka takuti bukanlah hari mereka membuat penampilan pertama atau hari mereka menjulang kejuaraan bersama pasukan masing-masing. Hari yang mereka takuti ialah hari di mana mereka menggantung but bola masing-masing selepas sekian lama bermain. Beberapa hari lepas, giliran bekas penyerang Sepanyol, David Villa menggantung but selepas bermain selama 19 tahun dan menjaringkan 390 gol dalam 716 perlawanan.

Bila ditanya mengapa beliau mahu bersara, Villa menjawab, “Saya lebih suka meninggalkan bola sepak sebelum bola sepak meninggalkan saya.” Tambahnya lagi, dengan persaraannya ini, beliau boleh memfokuskan usaha dan tenaganya kepada semua perkara yang disukainya. Apa yang dibuat Villa sebenarnya mengikut nasihat legenda Real Madrid, Jorge Valdano setiap kali seseorang pemain itu bersara. Valdano pernah berkata, “Jika saya hendak memberi satu nasihat kepada seorang pemain yang akan bersara esok, saya akan berkata: ‘Bila kamu bangun, buat apa saja. Apa saja perkara, tiada yang spesifik. Apa-apa perkara yang membuatkan anda merasa berguna. Kerana kekosongan itu merupakan perkara paling buruk.’”

Bagi bekas-bekas pemain, kelompangan yang timbul selepas tidak bermain memaksa mereka mencari jalan melepaskan keinginan bermain. Bekas pemain Blackburn dan Chelsea, Damian Duff pergi ke taman-taman setempat untuk bermain bola lima sepasukan atau sekadar menyepak bola ke dinding selama beberapa minit. Ada pula yang cuba mengelak dari terjebak kembali ke dalam permainan dengan menceburi bidang lain seperti lakonan. Perkara ini dibuat oleh legenda Perancis dan Manchester United, Eric Cantona selepas menggantung but pada usia 30 tahun. Cantona memilih lakonan sebagai satu cara menyalurkan keghairahan permainannya pasca-sukan bola sepak.

Tanyalah mana-mana pemain tentang isu persaraan dan pasti ramai akan mengelak membincangkannya. Kecenderungan ini difahami oleh Valdano yang berkata, “Pemain-pemain bola sepak tidak pernah membincangkan isu persaraan atas sebab sama manusia tidak berbicara tentang kematian: ianya amat menakutkan mereka.” Persaraan dari mana-mana pekerjaan sudah pasti mencetuskan isu kehilangan identiti. Dan sukan elit menambah lagi isu ini menerusi dedikasi dan tidak seperti pekerjaan lain, ia merupakan satu profesion yang dicintai para pemainnya. Tambah Valdano, “Anda bermain untuk meraih pendapatan, satu cara untuk memanjangkan lagi zaman kanak-kanak anda.”

Atas sebab itulah, bila seseorang pemain itu bersara, wujud satu frasa yang mengatakan ahli sukan mati dua kali dengan kematian kali pertama bila mereka bersara dari dunia sukan yang diceburi. Kematian sebegini amat sukar ditempuhi seperti diakui legenda Brazil, Falcao kerana ia harus ditempuhi untuk baki hayat kita. Dan ini secara tidak langsung mendedahkan mengapa ramai bekas pemain terutama di luar negara berhadapan dengan isu penyakit mental. Satu kajian Fifpro mendedahkan 34% pemain berusia 40 tahun ke atas mengalami masalah osteoartiritis. Justeru tidak hairanlah menurut Simon Taylor dari Persekutuan Pemain Profesional, bukanlah pelik bagi pemain menunjukkan tona sedih dan berkabung bila berbicara isu persaraan. Kajian lain menunjukkan dua perlima pemain berhadapan isu kemuflisan dalam tempoh lima tahun selepas bersara dan satu pertiga pula mengalami masalah perceraian dalam tempoh setahun.

Isu persaraan pemain bukanlah satu isu yang harus dipandang remeh dan ramai pihak berusaha mengatasi isu ini. FifPro membangunkan satu program kesihatan kesihatan untuk membantu pemain beradaptasi. Sementara Persatuan Pemain Bola Sepak (PFA) pula mempunyai talian bantuan 24 jam dengan lebih 100 kaunselor bersedia untuk membantu. Pada tahun lepas sahaja, 438 pemain termasuk dari Liga Perdana Inggeris (PL) mendapatkan bantuan terapi PFA. Pegawai kebajikan PFA merangkap bekas pemain, Michael Bennett menyifatkan angka itu boleh menjadi lebih tinggi. Bennett turut menyifatkan pemain-pemain yang mempunyai pendapatan tinggi seperti dalam PL tidak seharusnya mempunyai isu sebagai satu pembohongan. Ini kerana selepas bersara, bekas-bekas pemain ini bergelut dengan isu identiti dan struktur yang sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka.

Mungkin ada berpandangan isu ini bersifat remeh. Tetapi bagi Valdano, impaknya boleh mengejutkan sesiapa kerana bekas-bekas pemain tidak bersedia dengan dunia baru yang dihadapi pasca-permainan. Tambahnya, “Satu-satunya perkara yang boleh mengurangkan impak ialah mengubah persepsi mereka. Kelab-kelab perlu bersedia menyediakan pemain mereka untuk persaraan sebelum mereka memulakan karier permainan mereka dan itu bermaksud pelajaran. Tetapi dalam bola sepak, semua boleh ditangguh kecuali permainan pada hujung minggu.”

Tambah Bennett, sesetengah kelab cuba membantu tetapi ada juga yang memilih membisu. Di PFA sendiri, mereka mengadakan empat program peralihan empat kali setahun di mana peserta-peserta kursus diajar menulis resume, mempelajari kemahiran yang boleh dipindahkan dan bekerja dengan syarikat-syarikat. Terma persaraan itu diubah kepada peralihan di mana ada sesetengah pemain beralih arah pada usia-usia berbeza dan melakukan perkara-perkara hebat dalam kehidupan mereka.

Antara kelab yang sudi membantu bekas-bekas pemain ialah Liverpool dan Tottenham Hotspur. The Reds menyediakan sebuah forum untuk membantu bekas-bekas pemain mereka. Manakala Spurs pula mengaplikasikan falsafah Valdano dengan merekrut mereka menyertai kelab dan membantu mereka beralih ke fasa baru kehidupan mereka. Falsafah sama turut diamalkan di peringkat akademi mereka dengan tujuan menyediakan pemain bukan saja untuk karier bola sepak tetapi juga kehidupan selepas bola sepak.

Semasa Valdano masih berkhidmat di Bernabeu, beliau memindahkan pemain-pemain remaja ke sebuah sekolah berasrama untuk mendidik mereka tentang nilai dunia sebenar. Kini, beliau menubuhkan sebuah kursus universiti dalam talian. Dan topik pertama yang dibangkitkan ialah isu persaraan pemain, isu yang sudah menggamit perhatiannya sejak sekian lama dan mewujudkan persepsi pada dua jenis pemain bola sepak: bakal pemain dan bekas pemain. Menariknya, sesi kursus ini dipanggil Hari Seterusnya (The Day After). Bagi pemain yang sudah bersedia untuk bersara, mereka mengakui mereka terlalu tua dalam permainan. Tetapi dalam kehidupan dunia yang fana’ ini, mereka masih ada masa untuk menikmati kehidupan dan melakukan perkara-perkara bermanfaat.

Sumber
Lowe, Sid. (2019). Preparing players for life after football should begin before the final whistle. The Guardian
Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker