Info NiagaKorporat

Isu Gaji Ceo Tinggi: Tamak Atau Tugas Yang Kompleks?

Isu gaji CEO terlebih tinggi bukan satu isu baru sama ada di Malaysia atau di luar negara. Dan biasanya rungutan sebegini mengaitkan ia dengan ketidakseimbangan pendapatan antara pekerja dengan pihak pengurusan. Ada pula yang menuduh mereka sebagai terlalu tamak mendapatkan ganjaran kewangan dan menjadi bahan modal kempen pihak tertentu. Tetapi jika melihat skop tugas mereka yang sebenarnya, isu gaji ini sebenarnya lebih rumit dari apa yang dijaja pihak-pihak tertentu ini.

Berbeza dari sudut pandang orang awam, CEO di syarikat-syarikat besar tidak mempunyai sebarang kuasa dan hanya berperanan sebagai figura dan jurucakap lembaga pengarah. Tetapi di syarikat kecil swasta atau syarikat yang baru bertapak, CEO mempunyai pengaruh yang luas dalam banyak perkara. Dalam banyak perkara, CEO perlu bersedia membenarkan dirinya didapati sepanjang masa untuk bertindak terhadap pelbagai isu yang timbul seperti pengambilan pekerja dan staf, membangunkan strategi perniagaan terutama bila berhadapan dengan situasi pemasaran dan usaha pelaburan baru.

Pendek kata, tugas CEO merupakan satu tugas yang mencabar dan bisa menekan perasaan. Tetapi ada ganjaran di sebalik usaha ini. Antara faedah terbesar yang boleh didapati dari tugas CEO ialah mendefinisikan sesebuah perniagaan dan mengetuai pasukan pengurusan mencapai matlamat syarikat. Dan sudah tentu, ganjaran kewangan yang lumayan menanti sesiapa yang mengisi kerusi panas CEO. Gaji CEO berbeza-beza mengikut negara-negara. Tahun lepas menyaksikan rekod gaji CEO tertinggi di Malaysia dipegang oleh Tan Sri Lim Kok Thay dengan mengambil gaji kolektif sebanyak RM248.61 juta selepas memegang dua jawatan CEO Genting iaitu CEO Genting Bhd (RM168 juta) dan CEO Genting Malaysia Bhd (RM80.61 juta).

Terdapat beberapa perkara yang mempengaruhi berapa banyak gaji yang diterima seseorang CEO:

1. Kemahiran kepimpinan. Seseorang CEO perlu membina sebuah pasukan yang bukan saja berbakat tetapi juga bermotivasi dan jitu. Ini kerana pasukan pengurusan sebegini dianggap kunci kepada kejayaan sesebuah syarikat. Namun pada masa sama, bukan mudah mengendalikan ragam pekerja yang berbeza-beza dan mewujudkan budaya kerja yang terbuka, jujur dan kerjasama. Jadi resepi utama kepada semua ini ialah kepimpinan seseorang CEO. Bagi mengasah kemahiran kepimpinan syarikat, seseorang itu harus menghadiri seminar dan kelas perniagaan serta membaca buku tokoh-tokoh berjaya. Tetapi ia masih tidak boleh menggantikan pengalaman yang boleh mematangkan seseorang CEO dalam menghadapi pelbagai cabaran.

Pendek kata, nak jadi CEO yang bagus mengambil masa bertahun-tahun. Tadashi Yanai, pengemudi Retailing Co, syarikat induk Uniqlo merupakan seorang bekas graduan ekonomi dan politik. Beliau dibayar USD7Billion setahun bukan semata-mata atas latar belakang pengajian beliau tetapi juga berdasarkan pengalaman beliau yang bermula sebagai jurujual di JUSCO dan kemahiran kepimpinan beliau menguruskan kedai jahit yang diwarisi daripada bapanya. Yanai bukan sahaja berupaya menerajui kedai kecil kepada sebuah rangkaian antarabangsa, malahan jualan Uniqlo pada tahun 2018 di pasaran antarabangsa telah mengatasi jualan di Jepun, negara asal syarikat itu buat pertama kalinya (statistik fiskal tahun 2018 yang berakhir pada bulan Ogos)

2. Perancangan strategik. Perniagaan itu merupakan satu persaingan jadi sesebuah syarikat hanya akan cemerlang apabila berjaya mengatasi pesaing-pesaing mereka, memasuki pasaran pada masa sesuai, mengenalpasti klien yang sesuai dan mengagihkan sumber dengan cara yang bijak. Semua ini memerlukan pengetahuan perniagaan yang baik dan naluri perniagaan yang hebat dalam meramal pergerakan pasaran.

Kemahiran ini boleh diasah dengan menjadi pakar analisis PEST (politik, ekonomi, sosial dan teknologi) dan analisis SWOT. Analisis SWOT ini berkenaan proses dalaman syarikat sementara analisis PEST pula melihat apa bentuk potensi dan ancaman luaran kepada syarikat. Bagi CEO Amazon, Jeff Bezos yang merupakan CEO yang mendapat bayaran paling tinggi bagi penggal 2018 dengan jumlah pendapatan USD27.9 bilion, perancangan yang strategik bukanlah semata mata dari sudut menganalisis pergerakan pasaran, malah juga dari aspek budaya kerja.

Bezos yang mengamalkan budaya “It remains Day 1” bukan sahaja menggalakkan 560,000 kakitangan Amazon untuk terus bekerja sebagai sebuah syarikat start-up walaupun syarikat berkenaan telah bertapak hampir di seluruh dunia termasuk di negara yang mempunyai pasaran berkembang seperti Turki dan India bermula tahun 2018 dengan lebih 100 juta ahli Amazon prime di seluruh dunia. Bayangkan tanpa kemahiran strategik yang dimiliki oleh Bezos, sudah tentunya jalan yang dilalui Amazon berbeza dilalui oleh Amazon terutamanya dalam perkembangan pasaran yang tidak menentu sejak belakangan ini.

3. Pembangunan perniagaan. Matlamat pembangunan sesebuah perniagaan ialah mendapatkan akses kepada pasaran baru, memperluaskan pembuatan produk, membina kemudahan-kemudahan baru, membawa masuk pekerja dan sentiasa berkomunikasi dengan pembekal dan pembeli. Dalam perkembangan teknologi yang berubah hampir setiap hari, sebuah syarikat perlu berupaya untuk menyesuaikan perkembangan syarikat dengan perubahan pasaran yang berlaku.

Kegagalan untuk berubah, membawa kepada kegagalan untuk memajukan syarikat kehadapan. Ambil sahaja contoh kisah yang berlaku kepada Eastman Kodak, sebuah syarikat fotografi terkemuka. Bekas CEO, Kay Whitman bukan sahaja pernah tertidur di hadapat Bill Gates ketika perbincangan untuk menggabungkan teknologi Windows dan Kodak, bahkan beliau enggan untuk melabur di dalam teknologi.

Kodak di bawah kelolaan Whitman gagal untuk bersaing dengan perkembangan dunia digital dan mengakibatkan penurunan pendapatan dan meletakkan syarikat di ambang muflis. Kisah ini adalah antara bukti bagaimana seorang CEO memainkan peranan penting dalam pembangunan sesebuah perniagaan. Nyawa syarikat bukan sahaja bergantung kepada keupayaan CEO malahan kebolehan beliau untuk membuat keputusan yang boleh mengukuhkan kedudukan syarikat terutamanya dalam perkembangan global yang pantas dan tidak menentu.

4. Pengurusan pemasaran. Pemasaran ialah cara sesebuah perniagaan berhubung dengan pembeli. Tanpa kempen pemasaran, sebarang usaha memperkenalkan produk atau pemasaran di luar sana akan gagal. Pasti ramai yang pernah mendengar kisah Joy Mangano dengan mop magik beliau. Selain daripada mop magik yang boleh diperah sendiri, Mangano turut memiliki 100 produk yang dipaten di bawah nama beliau.

Titik tolak kejayaan Mangano adalah melalui pemasaran beliau melalui QVC, sebuah saluran beli belah seperti GoShop dan CJ Wow Shop yang ada di Malaysia. Bermula dengan usaha menjual secara manual, Mangano mengambil pendekatan untuk menggunakan QVC yang merupakan salah satu trend pada ketika itu. Keberanian Mangano mengambil strategi pemasaran berbeza membolehkan beliau menjual lebih 18,000 mop dalam masa 30 minit melalui saluran QVC.  Hari ini, sebarang usaha memantapkan kemahiran pemasaran ialah menguasai teknologi pemasaran terbaru di pasaran seperti media sosial. Media sosial ialah kunci kejayaan syarikat abad ke-21 dan ia boleh dicapai menerusi pembinaan pasukan pemasaran media baru dan memahami kehendak pasaran digital.

Jadi apakah gaji tinggi yang diterima CEO ini berbaloi? Bagi kebanyakan syarikat besar, jawapannya ialah ya. Bagi sesetengah syarikat yang tersenarai di dalam bursa, perkara gaji ini kerap menjadi sentimen utama yang dibincangkan oleh pemegang saham minoriti. Pun begitu, kita perlu menilai bukan sahaja dari sudut keuntungan semata-mata namun perlu mengambil kira faktor lain terutamanya dalam aspek pengurusan dan tanggungjawab untuk membangunkan sebuah syarikat.

Bukan mudah untuk mendapatkan seorang CEO yang dapat mengimbangi semua aspek membabitkan syarikat dari soal kewangan hinggalah kehendak pasaran. Dan untuk mendapatkannya, bukan sesuatu yang mudah dan syarikat perlu berbelanja jutaan ringgit untuk mendapatkan individu sedemikian.  Justeru, rungutan sebegini dianggap mengarut dan tidak munasabah.

Malah, kita juga harus mempersoalkan logik alasan ketidakseimbangan pendapatan yang dijadikan hujah gaji CEO terlalu tinggi. Tidak seperti firma-firma tradisional, pasukan pengurusan di gergasi-gergasi teknologi seperti Google dan Facebook dari CEO hingga pengurus dibayar lebih daripada rakan-rakan mereka di firma-firma tradisional. Bagi firma-firma sebegini, mempunyai CEO yang mahir dalam semua perkara ini boleh mempengaruhi nilai syarikat di pasaran. Untuk memastikan ia dapat beroperasi sebaiknya dapat membantu syarikat menaikkan lagi gaji pekerja-pekerja lain. Jadi, soalan sebenar yang kita perlu tanyakan ialah apa yang kita boleh buat mendapatkan lebih banyak nilai daripada syarikat agar ia dapat memberi nilai tambah kepada semua orang termasuk pekerja mereka.

Sumber
Rosli, Lidiana. (2019). Genting boss is Malaysia's highest paid CEO in 2018. New Straits TimesAngelique Moss. (2018). CEO Spotlight: Fast Retailing Co.’s Tadashi YanaiDeniz Cam, Jeniffer Wang (2018). The Biggest Billionaire Winners And Losers Of 2018. Hayden Field. (2018). Jeff Bezos Reveals 3 Strategies for Amazon's SuccessEmma Woollacott. (2018). Lessons from history’s worst CEOs. Rebecca Shapiro. (2015). 5 Things You Probably Own But Didn't Know Were Invented By Joy ManganoChris J. Gauthier. (2016). “Joy's" Process of InventingThe Telegraph. (2016). Why CEO Pay Is JustifiedCowen, Tyler. (2019). Why CEOs Actually Deserve Their Gazillion-Dollar Salaries. Time
Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker