Global

Isu Brexit: Australia Dan 14 Negara WTO Mahukan Pampasan

Isu Brexit bukan sekadar memeningkan kepala pemimpin-pemimpin British dan Kesatuan Eropah (EU) tetapi juga memeningkan kepala negara-negara di mana perdagangan mereka terjejas akibat ketidaktentuan Brexit. Baru-baru ini, 15 negara termasuk Australia, India dan Amerika Syarikat membangkitkan isu ini dalam satu mesyuarat Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) di Geneva.

Australia menyifatkan penangguhan isu Brexit sebanyak beberapa kali telah memberi kesan kepada pengeksport daging lembu dan biri-birinya. Sementara Brazil pula menyifatkan sebarang rancangan Brexit membabitkan Ireland Utara dianggap melanggar peraturan WTO.

Kebimbangan yang dibangkitkan 15 negara ini ialah sistem yang membenarkan akses mudah ke pasaran EU dalam jumlah kuantiti tertentu untuk sesetengah komoditi mereka seperti produk pertanian. Sistem ini dikenali sebagai kuota kadar tarif. Ahli-ahli WTO selalunya mengenakan tarif ke atas produk-produk import. Tetapi dalam sesetengah kes, sesetengah produk import yang dibawa dikenakan tarif lebih rendah daripada kadar tarif biasa yang dikenakan atau 0%. Justeru bagi petani Australia, menjual produk pertanian mereka ke pasaran Eropah merupakan sesuatu yang menguntungkan.

Tetapi Brexit mengubah segala-galanya. Ini kerana kuota ini merujuk kepada keseluruhan pasaran EU termasuk Britain. Dengan isu Brexit, Britain dan EU harus memikirkan bagaimana untuk membahagikan kuota mereka. Sesetengah negara berpandangan jika pembahagian itu berlaku, ia akan menyebabkan mereka mendapat akses yang lebih sukar kepada pasaran yang besar dan kaya. Walaupun Britain memberi jaminan isu itu sedang ditangani segera, tetapi perbezaan cara EU dan Britain berkenaan cara pengagihan kuota sudah menimbulkan kebimbangan kepada Australia. Sementara Amerika pula bimbang perbezaan kedua-dua pihak boleh membawa ketiadaan akses tiada tarif untuk komoditi mereka sama ada ke Britain atau EU. Manakala baki negara-negara lain mahukan pampasan (pengurangan tarif) daripada kedua-dua pihak.

Disebabkan penangguhan terbaru Brexit, Australia memberi amaran ia sudah memberi kesan kepada sektor pertanian mereka. Menjelang tarikh keluar 31 Oktober yang lalu, satu dokumen mendedahkan ramai pengeksport Australia tidak lagi mengeksport bekalan daging lembu dan biri-biri ke Britain menjelang Krismas kerana bimbang tidak lagi mempunyai akses terhadap pasaran yang dinyatakan. Dokumen sama mendedahkan keputusan sama akan diambil menjelang tarikh Brexit seterusnya iaitu 31 Januari 2020.

Tatkala Australia dan Amerika Syarikat membangkitkan isu pengurangan tarif, Brazil pula membangkitkan isu sempadan Ireland Utara-Ireland yang dikatakan melanggar prinsip tiada diskriminasi membabitkan negara anggota. Ini merupakan sebahagian daripada agenda Brexit yang tidak dipersetujui kedua-dua pihak sehingga kini dan membangkitkan persoalan tentang keluar masuk barang antara Ireland Utara dengan Britain serta bagaimana perkara ini memberi kesan kepada import barangan luar. Brazil mahukan prinsip tiada diskriminasi WTO berkenaan Ireland Utara ini diutamakan dan mereka masih belum melihat apa-apa cadangan yang boleh menjamin prinsip ini dicapai.

Sumber
Walker, Andrew. (2019). Australia and others ask for Brexit trade compensation. BBC
Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel Lain

Close
Back to top button
Close
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker