Ekonomi

‘Inverted Yield Curve’, Petanda Awal Krisis Ekonomi

Pasaran saham Amerika Syarikat semalam mengalami kejutan dengan kejatuhan sebanyak 800 mata (3%) bagi indeks Dow Jones. Hal ini berlaku susulan daripada amaran atau petanda daripada pasaran bon yang menunjukkan tanda-tanda akan berlakunya krisis ekonomi.

Pelabur kebanyakannya dikejutkan dengan satu senario yang dikenali sebagai inverted yield curve. Baiklah, apakah yang dimaksudkan dengan inverted yield curve?

Inverted yield curve adalah satu situasi di mana instrumen hutang (bon/sukuk) jangka masa panjang memberikan pulangan yang lebih rendah berbanding instrumen hutang jangka masa pendek. Ia juga dikenali sebagai negative yield curve.

Kebiasaannya, dalam keadaan ekonomi yang baik, pelabur akan mendapat pulangan yang lebih tinggi daripada bon jangka masa panjang berbanding bon jangka masa pendek. Pulangan yang tinggi ini kerana pelabur perlu ‘mengunci’ wang mereka bagi tempoh masa yang panjang.

Misalnya bon dengan tempoh matang yang panjang memberikan pulangan 6% manakala bon jangka pendek pula memberikan pulangan 3% sahaja. Atau lebih mudah, anda boleh lihat kepada pulangan deposit tetap (fixed deposit) yang ditawarkan bank, lebih panjang tempoh matangnya, lebih tinggi pulangannya.

Image result for fixed deposit maybank
Contoh tawaran deposit tetap daripada Maybank

Jadi, bagaimana pula kadar pulangan bon ini boleh berubah? Untuk pengetahuan anda, bon ini boleh dijual beli. Bon akan dijual kepada pelabur dalam bentuk coupon.

Kita ambil contoh mudah ini. Katakan bon dengan tempoh matang 10 tahun dijual pada RM100 dengan coupon rate 6%. RM100 ini adalah face value bon tersebut. Face value adalah nilai yang akan dibayar kepada pelabur setelah bon tersebut matang.

Manakala coupon rate adalah pulangan yang akan diberikan kepada pelabur berdasarkan nilai face value. Maka pulangan bagi bon ini adalah RM6 setiap tahun.

Namun kerana pelabur merasakan ekonomi akan jatuh, permintaan kepada bon ini akan meningkat. Lebih baik pelabur melaburkan duit mereka dalam bon jangka panjang kerana kebiasaannya kadar faedah akan diturunkan oleh bank pusat bagi memangkin ekonomi, lalu menyebabkan pulangan bagi bon jangka pendek menurun.

Bacaan berkaitan: Kenapa Bank Pusat Menurunkan Atau Menaikkan Kadar Faedah

Disebabkan permintaan terhadap bon jangka masa panjang ini meningkat, maka harganya juga akan meningkat, katakan harganya meningkat kepada RM150, tetapi pelabur yang membeli bon ini masih lagi mendapat pulangan yang sama iaitu RM6 setiap tahun. Jadi kadar pulangan bagi pelabur baru ini adalah RM6/RM150 x 100 = 4%.

Dan jika permintaan terus meningkat, maka kadar pulangan bagi bon jangka masa panjang ini akan menjadi semakin rendah sehinggalah kadar pulangannya menjadi lebih rendah berbanding bon jangka pendek. Dan ketika itu terjadinya senario yang dikenali sebagai inverted yield curve.

Mengapa pelabur risau apabila inverted yield curve ini berlaku?

Hal ini kerana, inverted yield curve akan terbentuk setiap kali sebelum berlakunya krisis ekonomi semenjak 1955. Ia boleh berlaku beberapa bulan atau beberapa tahun sebelum krisis berlaku.

Menurut penyelidik daripada Federal Reserve Bank of San Francisco, untuk menjangkakan bilakah akan berlakunya krisis ekonomi adalah satu perkara yang sukar, namun inverted yield curve adalah penanda yang paling tepat setakat ini untuk menjangkakan krisis ekonomi.

Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker