Global

Impak Pusingan Baru Perang Tarif Amerika

Minggu ini, seperti biasa ekonomi dunia dihidangkan dengan drama terbaru perang dagang Amerika-China selepas kedua-duanya memilih menangguhkan tindakan balas selepas sidang G20 di Tokyo baru-baru ini. Beberapa hari sebelumnya, Presiden Donald Trump mengugut akan mengenakan tarif 10% ke atas import Amerika dari China yang bernilai $300 bilion pada 1 September. Dan sebagai tindak balas, Beijing yang berang dengan taktik rundingan melampau Washington bertindak mengarahkan syarikat-syarikat negara berkenaan membatalkan pembelian produk pertanian dari Amerika.

Dan semalam, China menurunkan mata wangnya sebanyak beberapa mata dengan tujuan dapat menahan asakan terbaru tarif Amerika. Tetapi tindakan ini mencetuskan keributan di pasaran saham dengan beberapa bursa saham utama mencatatkan penurunan seperti Hang Seng (0.7%), Nikkei (0.7%), KOSPI (1.5%) dan Taiex (0.3%). Washington yang berang melabel Beijing sebagai pemanipulasi nilai mata wang, satu tuduhan yang dinafikan sekeras-kerasnya oleh China. Di sebalik drama sebabak terbaru ini, kesannya sudah mula dirasai bukan saja pasaran tetapi juga di Amerika Syarikat.

Berdasarkan pemerhatian pasaran terutama pasaran minyak, tidak mustahil harga minyak akan jatuh lebih teruk jika kedua-dua negara terus berada di kancah perang dagang. Dan menurut pakar strategi komoditi Bank of America, Francesco Blanch, ia boleh terjadi sekiranya Beijing melanggar sekatan Amerika ke atas Iran dengan membeli sejumlah besar minyak dari negara Timur Tengah itu. Sehari sebelum pengumuman Trump, harga minyak Amerika merosot sebanyak 7% dengan penanda aras harga minyak global, Brent jatuh sebanyak 8%. Jika Trump tetap meneruskan ugutannya, maka pasaran akan menyaksikan penurunan permintaan global antara 250,000 hingga 500,000 tong sehari.

Bacaan berkaitan: Kenapa Trump Mengenakan Tarif Ke Atas China

China boleh saja mengenakan tarif ke atas minyak Amerika sebanyak 10% tetapi kebanyakan pakar melihat taktik tersebut sebagai tidak efektif. Dan walaupun China boleh saja membeli lebih banyak minyak dari Iran sebagai tindak balas terhadap Washington, ia hanya akan mengundang lebih banyak bala jika harganya ialah syarikat-syarikat China berada dalam senarai hitam mereka kerana melanggar sekatan yang dikenakan ke atas Iran. Dan jika ia tetap diteruskan, ia sebenarnya akan memberi lebih banyak insentif kepada Trump dan para penyokongnya untuk terus menekan Beijing.

Tetapi satu pasaran yang mula merasa bahang perang dagang yang dicetuskan raja tarif itu ialah gas asli cecair (LNG). Terima kasih kepada raja tarif, LNG yang diimport dari Amerika akan dikenakan tarif sebanyak 25% bermula 1 September ini. Jika tidak kerana Trump dan perjuangan perang dagangnya itu, industri LNG negara Uncle Sam dan pasaran China yang besar dilihat bakal meraih laba besar dan sekaligus membantu pertumbuhan industri berkenaan. Tetapi perang dagang bukan sekadar merencatkan pelaburan industri LNG Amerika tetapi juga mengurangkan peluang pekerjaan dalam industri dan memberi kelebihan kepada negara-negara lain untuk menyaingi Amerika. Walaupun Washington dijangka akan menjadi negara pengimport LNG terbesar di dunia menjelang tahun 2022, China dijangka akan terus mendapat bekalan dari negara lain seperti Australia dan Qatar.

Dan menurut Profesor Mary E. Loveley, seorang pakar ekonomi dari Universiti Syracuse, tarif yang akan dikenakan pada 1 September dilihat akan memberi tekanan kepada keluarga-keluarga yang berpendapatan rendah dan sederhana berikutan kebanyakan barang yang dibeli ialah barang import. Ini sekaligus mengurangkan nilai pendapatan sebenar mereka. Justeru, jika mereka cuba membeli barang asas yang diimport seperti pakaian, barang dapur dan barang keperluan bayi, mereka terpaksa membayar beberapa kali ganda untuk mendapatkan barang-barang berkenaan. Dan ini menunjukkan kebanyakan pendapatan tarif datangnya dari wang pengguna dan pengimport Amerika, bukannya pembekal barang dari China. Kebanyakan yang terjejas ironinya ialah golongan pekerja yang berasal dari negeri-negeri yang dikuasai Republikan.

Selain pasaran LNG, golongan petani Amerika juga sudah menyeranah dengan tindakan membuta-tuli Rumah Putih. Walaupun pentadbiran Trump meluluskan pembayaran bantuan kecemasan sebanyak $16 bilion kepada golongan petani, bagi mereka itu saja masih belum mencukupi. Ini kerana mereka merasakan bayaran yang diberi tidak akan dapat menutup kerugian yang dialami mereka terutama berkaitan komoditi kacang soya. Satu laporan Jabatan Pertanian Amerika Syarikat mengumumkan ramalan eksport pertanian US dijangka merosot pada tahun ini berikutan harga pasaran yang lemah dan penurunan permintaan dari China. Jika keadaan ini berterusan, wujud prospek lebih ramai petani berhadapan dengan isu kemuflisan.

Sementara sektor perindustrian pula semakin tersempit terima kasih kepada ‘hadiah’ terbaru raja tarif itu. Selain tidak lagi mengambil pekerja baru di kilang-kilang mereka, pengeluar-pengeluar ini juga mengeluh berkenaan kenaikan kos import barang dan alat ganti diperlukan untuk produk mereka. Dalam satu sesi pendengaran awam berkenaan cadangan tarif pada Mei lepas, kebanyakan pengeluar menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap tarif yang dikenakan pentadbiran Rumah Putih kerana ia mengugat kebolehan mereka bersaing bukan saja di Amerika tetapi juga di luar negara. Dengan kedua-dua sektor pembuatan dan perindustrian mencatatkan pertumbuhan -2.2% pada suku pertama 2019, tarif terbaru ini dilihat akan memberi kesan lebih buruk kepada sektor berkenaan.

Semasa melancarkan perang dagangnya ke atas China, Trump menyatakan ia bertujuan mengurangkan ketidakseimbangan perdagangan antara kedua-dua negara dan mendorong Beijing mengubah polisi perdagangannya. Tetapi bila melihat perkembangan terbaru ini, nyatalah objektif tersebut bukan saja tidak tercapai malah merosakkan keupayaan negara Uncle Sam itu bersaing dari segi ekonomi, rakyat dibebankan dengan tarif yang tidak perlu dan kurangnya pasaran untuk produk pertanian mereka. Melihat kepada artikel rakan penulis, Ayman Rashdan Wong yang menyifatkan pengumuman tarif itu merupakan satu lagi taktik rundingan ‘keras’ Trump untuk memaksa China berubah dan mengekalkan sokongan penyokongnya, rasanya taktik itu bakal memakan diri. Malah, tidak terkejut akan ada lebih ramai individu mengulangi kata-kata Henry Ford terhadap penyokong tarif, “Satu bentuk kebodohan ekonomi!”

Sumber
Gowen, Annie, Itkowitz, Colby dan Reiley, Laura. (2019). Trump announces new $16 billion aid package for American farmers hit in trade war. The Washington PostEgan, Matt. (2019). China is going easy on American oil (for now). Here's why. CNN. Egan, Matt. (2019). How Trump's trade war could could crush oil prices. CNNE. Lovely, Mary. (2019). Trump's new tariffs will cause more pain for Americans. CNN.
Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker