Hentikan Stereotaip Bangsa Malas

Merujuk pada satu kenyataan yang dibuat oleh YAB Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad di akaun rasmi aplikasi Twiternya pada pagi ini yang seolah-olah berbunyi, saya petik: “Masyarakat Melayu Malas, Sebab Itu Banyak Kerja Disi Oleh Buruh Asing”,saya ingin meminta YAB Perdana Menteri supaya hentikanlah segala tuduhan yang tidak berasas dan bersifat stereotaip sebegini.
Saya berpandangan stereotaip sebegini tidak benar dan boleh dinafikan kebenarannya jika kita rujuk fakta dan data rasmi kerajaan secara teliti terlebih dahulu. Misalnya menurut Laporan “Labour Force By Ethnic Group And State” yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia sekitar Julai 2018, kita boleh lihat secara jelas bahawa tenaga buruh terbesar di negara kita sememangnya disi oleh Masyarakat Melayu-Bumiputera. Malah dalam laporan yang sama juga kita dapat lihat bahawa penyertaan Masyarakat Melayu-Bumiputera dalam tenaga buruh negara telah meningkat sebanyak 2 Juta dalam tempoh 11 tahun, bermula tahun 2005 sehingga tahun 2014.
Saya pun sangat hairan bagaimana YAB Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohammad sebagai seorang negarawan yang cukup berilmu dan berpengalaman masih boleh berpegang pada stereotaip ini sehingga ke hari ini sedangkan realitinya pada hari ini cukup berbeza. Kita bukan perlu melihat pada data rasmi kerajaan semata-mata untuk membuktikan beliau salah kerana saya percaya setiap seorang dari kita mesti mempunyai sekurang-kurangnya satu rakan berbangsa Melayu yang rajin. Itu pun sebenarnya sudah memadai untuk membuktikan Tun Dr. Mahathir Mohammad salah dalam perkara ini.
Sudah-sudahlah Tun Dr. Mahathir Mohammad. Kita bukannya hidup di zaman penjajahan lagi untuk percaya pada naratif-naratif stereotaip yang dimulakan oleh penjajah demi kepentingan mereka sendiri. Kita sudah Merdeka 62 tahun dan saya yakin bahawa setiap kaum telah menyumbang tenaga dan memainkan peranan yang sewajarnya dalam membangunkan negara ini. Patutnya tiada lagi ruang untuk stereotaip-stereotaip sebegini dalam negara kita. Malas sifat individu. Ada Melayu malas, ada Cina malas dan ada India malas tetapi itu tidak bermakna bangsa itu malas. Saya berharap semua rakan-rakan rakyat Malaysia akan terus menolak sama sekali budaya stereotaip terhadap bangsa yang dimainkan oleh pihak-pihak tertentu demi kepentingan mereka.
Artikel ini ditulis oleh Mathis Sarawanan dan tidak mewakili pandangan MyTwoCents