EkonomiPolisi

Hasil Pendapatan Berkaitan Petroleum Di Malaysia

Malaysia merupakan sebuah negara yang kaya dengan pelbagai sumber semula jadi. Terdapat banyak komoditi yang dihasilkan di Malayia yang akhirnya menyumbang kepada pendapatan negara. Setelah itu, hasil yang diperolehi akan digunakan untuk menampung perbelanjaan operasi dan pembangunan di dalam negara. Antara salah satu sumber yang sangat membantu dalam perbelanjaan negara Malaysia adalah petroleum.

Terdapat 5 komponen hasil berkaitan petroleum yang diperolehi oleh Kerajaan Malaysia iaitu (The Edge Market, 2016 February 1):

  1. Petroleum Income Tax Act (PITA)
  2. Duti Eksport Petroleum
  3. Royalti PETRONAS
  4. Malaysia Thailand Joint Authority (MTJA)
  5. Dividen PETRONAS

Sebelum mengetahui mengenai Petroleum Income Tax Act (PITA), kita perlu faham dahulu fungsi syarikat Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS Bhd). PETRONAS merupakan sebuah syarikat yang terkenal di Malaysia dan dunia dalam sektor minyak. PETRONAS ditubuhkan pada 17 Ogos 1974 oleh Tengku Razaleigh Hamzah untuk menguruskan sumber minyak yang terdapat di Malaysia. PETRONAS dimiliki penuh oleh Kerajaan Malaysia di bawah Kementerian Kewangan Diperbadankan (Mof Inc). PETRONAS berfungsi sebagai syarikat yang menyelia sumber petroleum yang terdapat di perairan Malaysia.

Sebagai sebuah syarikat pengawalseliaan minyak di Malaysia, PETRONAS diberikan tanggungjawab untuk menganugerahkan kontrak penerokaan sumber petroleum di Malaysia. Kontrak ini dinamakan Production Sharing Contract (PSC) yang mana sebuah syarikat minyak antarabangsa dan tempatan seperti Exxon Mobil, Schlumberger dan Sapura Energy akan dianugerah kontrak untuk aktiviti penerokaan dan cari gali petroleum.

Syarikat yang dianugerahkan kontrak ini akan bekerjasama dengan sebuah anak syarikat yang dimiliki penuh oleh PETRONAS iaitu PETRONAS Carigali Sdn Bhd. Pendapatan daripada aktiviti penerokaan yang dilakukan oleh syarikat-syarikat ini akan dicukaikan sebanyak 38% berdasarkan keuntungan bersih (Chelliah, 2011).

Hasil PITA ini merupakan ‘hasil cukai langsung’ dan merupakan salah satu komponen terbesar yang menyumbang dalam pendapatan negara Malaysia. Namun, hasil PITA ini terdedah dengan faktor perubahan harga minyak global. Sekiranya harga minyak mencatatkan paras tertinggi, maka kerajaan akan memperolehi hasil yang berlebihan dan begitu juga sebaliknya.

Bacaan berkaitan: Cukai Digital: Dilema Pendapatan Dan Impak Ekonomi

Bacaan berkaitan: Memahami Sistem Perakaunan Negara Malaysia

Kedua, duti eksport Petroleum yang dikenakan cukai sebanyak 10% kepada syarikat-syarikat minyak yang mengeksport minyak mentah ke luar negara (Chelliah, 2011). Duti eksport ini merupakan salah satu komponen dalam ‘cukai langsung’.

Ketiga, adalah pemberian royalti sebanyak 5% daripada pendapatan PETRONAS kepada Kerajaan Malaysia. Selain itu, PETRONAS juga bertanggungjawab untuk memberikan royalti kepada beberapa kerajaan negeri seperti Terengganu, Sabah dan Sarawak. Ini kerana, tiga negeri ini mempunyai sumber minyak yang besar dalam kawasan mereka.

Keempat pula adalah program Malaysia-Thailand Joint Authority (MTJA) yang merupakan program hasil kerjasama antara Kerajaan Malaysia dan Thailand. Program ini ditubuhkan untuk penerokaan sumber petroleum di Teluk Siam, Thailand. PETRONAS antara syarikat Malaysia yang terlibat dalam membantu program ini dalam mendapatkan hasil minyak. Kepakaran PETRONAS diperlukan oleh Kerajaan Thailand untuk membantu mereka dalam memperolehi hasil minyak di teluk tersebut (Syakirah, 2015).

Kelima adalah dividen PETRONAS Bhd kepada Kerajaan Malaysia. Seperti yang diketahui, PETRONAS dimiliki penuh oleh Kerajaan Malaysia melalui Ministry of Finance Incorporated (Mof Inc.). Justeru, Kerajaan Malaysia mempunyai kuasa untuk meminta dividen PETRONAS. Pada Belanjawan 2019 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, YB Lim Guan Eng, PETRONAS telah diarahkan untuk memberi dividen sebanyak RM 54 billion kepada Kerajaan Malaysia.

Analisis Hasil Berkaitan Petroleum

Berdasarkan gambar rajah di atas, hasil berkaitan petroleum meningkat pada tahun 2019. Faktor yang mendorong kepada peningkatan ini adalah berpunca daripada pemberian dividen sebanyak RM 54 billion kepada Kerajaan Malaysia oleh PETRONAS Bhd (Kementerian Kewangan Malaysia, 2018). Peningkatan hasil berkaitan petroleum daripada 21.7% ke 30.9% telah membimbangkan pelbagai pihak.

Sebuah agensi penarafan Moody’s Rating telah menurunkan penarafan sebanyak 2 kali kepada PETRONAS pada bulan November 2018 dan Jun 2019. Pada bulan November 2018, Moody’s telah menurunkan taraf jangkaan PETRONAS daripada ‘stabil’ ke ‘negatif’ (Moody’s, 2018 November 8). Sekali lagi, Moody’s menurunkan taraf PETRONAS daripada status A2 ke A1 (Moody’s, 2019 June 21).

Penarafan ini sangat mempengaruhi kebolehan sesebuah syarikat untuk menerbitkan bon atau sukuk. Sekiranya, penarafan PETRONAS sering diturunkan, kebolehan syarikat tersebut untuk melakukan perbelanjaan modal akan terencat kerana diberikan penarafan yang rendah. Kadar faedah yang harus dibayar akan menjadi lebih tinggi sekiranya PETRONAS ingin menerbitkan bon atau sukuk.

Dalam Wawancara Bloomberg, kebimbangan ini telah diutarakan dan Malaysia kembali bergantung kepada hasil berkaitan petroleum disebabkan oleh pemansuhan GST. Pemansuhan GST telah mengurangkan hasil kira-kira RM 20 billion. Justeru, Kerajaan Malaysia memerlukan hasil untuk diimbangkan dengan kerugian akibat pemansuhan GST.

Kesimpulannya, hasil berkaitan petroleum amat diperlukan oleh Kerajaan Malaysia dalam memastikan negara ini mampu berkembang dengan baik. Akan tetapi, hasil berkaitan petroleum ini haruslah diuruskan dengan baik. Kerajaan perlu memikirkan alternatif yang lebih baik untuk menambah pendapatan negara. Hal ini untuk mengelakkan kerajaan Malaysia terlalu bergantung kepada dividen yang diberikan oleh PETRONAS Bhd.

Sumber
A. Chelliah. (2011, August 16). Tax and the Upstream O&G Sector: What role can our fiscal system play in supporting the energy requirements of the nation over the next decade and beyond. Malaysian BusinessKementerian Kewangan Malaysia. (2018). Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2019. Md. N. Syakirah. (2015, August 12). Petroleum Fiscal Regime – Malaysia’s Experience. Ministry of Finance MalaysiaMoody’s. (2018, November 8). Moody’s Affirms PETRONAS A1 Rating Changes Outlook to Negative. Retrieved from Moody’s. (2019, June 21). Moody’s Downgrades PETRONAS to A2 from A1; Outlook stableY.N. Foo. (2016, February 1). The State of the Nation: A look at Malaysia’s oil money. The Edge Markets
Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker