Ad
Komentar

Gaji Kehidupan Bukan Gaji Minimum

Jika ada yang cuba mengatakan gaji kehidupan ini sama dengan gaji minimum, maka anda salah.

Konsep Gaji Kehidupan

Pada Mac tahun lepas, Bank Negara Malaysia (BNM) memperkenalkan satu konsep yang dikenali sebagai gaji kehidupan. Ia diperkenalkan semasa sesi pembentangan laporan tahunan BNM pada tahun 2017. Menurut laporan itu, dengan gaji kehidupan sebagai penanda aras untuk menilai gaji dan bantuan sosial semasa, ia mempunyai potensi untuk mencapai objektif standard kehidupan minimum yang boleh diterima.

Apa itu gaji kehidupan?

Ia merupakan satu tahap pendapatan yang diperlukan sesebuah isi rumah agar dapat memenuhi standard kehidupan minimum yang boleh diterima. Standard ini terdiri daripada beberapa ciri iaitu kemampuan menyertai masyarakat, peluang bagi pembangunan peribadi dan keluarga serta kebebasan dari tekanan kewangan yang teruk. Gaji ini turut dikenali sebagai gaji adil atau gaji berpatutan.

Ad

Standard kehidupan minimum yang boleh diterima bukan sekadar pada pembelian barang keperluan semata-mata kerana ia juga seharusnya menunjukkan keperluan isi rumah dan bukan kehendak. Tetapi standard kehidupan minimum berbeza mengikut negara-negara dengan Kanada memasukkan elemen pembangunan kanak-kanak yang sihat manakala New Zealand pula menekankan aspek kehidupan yang bermaruah.

Permulaan Idea

Idea gaji kehidupan ini sudah berkisar sejak abad ke-18 lagi. Ini disebabkan gaji yang diterima pekerja ketika itu terlalu rendah dan keadaan tempat kerja mereka yang tidak memuaskan. Dan dengan wujudnya seruan kepada perlaksanaan gaji kehidupan demi memastikan pekerja mendapat standard kehidupan minimum, ia seharusnya disahut bagi mengurangkan elemen ketidaksamaan pendapatan yang berlaku dalam masyarakat hari ini.

Selain membenarkan pekerja mendapat standard kehidupan minimum yang boleh diterima, ia juga boleh memberi kesan positif kepada ekonomi dari perspektif yang lebih luas seperti kadar pusing ganti pekerja yang rendah, menambah moral dan produktiviti mereka.

Jika ada yang cuba mengatakan gaji kehidupan ini sama dengan gaji minimum, maka anda salah.

Tidak seperti gaji minimum, gaji kehidupan tidak dianggap wajib dalam sesebuah ekonomi dan tidak wajib dikuatkuasakan. Kedua, gaji kehidupan merujuk kepada taraf kehidupan minimum yang boleh diterima dan bukan sekadar tahap gaji minimum.

Atas sebab itu, tidak hairanlah mengapa gaji kehidupan lebih tinggi berbanding gaji minimum lebih-lebih lagi bila kos sara hidup semakin bertambah. Akhir sekali, penentuan gaji kehidupan ditentukan oleh kos kehidupan. Gaji kehidupan bertujuan membantu masyarakat mendapatkan taraf kehidupan yang baik dan boleh diterima serta tidak terhad kepada keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal.

Pengiraan gaji minimum berdasarkan konsep gaji kehidupan

Satu perkara penting dalam membangunkan konsep gaji kehidupan ini ialah cara pengiraan. Ini kerana gaji kehidupan di sesetengah tempat berbeza seperti Kuala Lumpur menyaksikan gaji kehidupan orang bujang sebanyak RM2,700, pasangan suami isteri tanpa anak (RM4,500) dan ibu bapa dengan dua anak (RM6,500). Terdapat beberapa faktor yang perlu diambil kira semasa pengiraan dibuat.

Pertama, tentukan kepelbagaian harga yang besar dan standard kehidupan mengikut lokasi dan susunan isi rumah. Info-info sebegini memberi sebab untuk membuat beberapa anggaran untuk gaji kehidupan. Kedua, mengenali standard keperluan barang asas, maklum balas orang ramai dan data perbelanjaan isi rumah. Selain itu, terdapat banyak faktor lain bagi mengelaskan seseorang individu atau unit keluarga berdasarkan gaji kehidupan masing-masing seperti caruman KWSP, pemilikan kenderaan dan sewa/pemilikan rumah.

Satu fakta yang tidak boleh dinafikan ialah produktiviti harus bertambah sekiranya pertambahan gaji digerakkan. Masalahnya, cubaan ini digagalkan kerana satu faktor: lambakan pekerja asing yang berpatutan dari segi kos pengambilan dan gaji.

Ini menghalang industri dari terus berevolusi dan tiada insentif bagi majikan untuk menggantikan pekerja dengan teknologi untuk aktiviti yang memberi nilai tambah kepada syarikat mereka. Dan menurut laporan BNM bertajuk ‘Low-skilled Foreign Workers Distortions to the Economy’, selagi mana gaji sebegini berterusan, selagi itulah majikan tiada minat memperkenalkan langkah-langkah yang menambah produktiviti.

Dan seperti kita semua sedia maklum, kerajaan menaikkan gaji minimum sebanyak RM50 sahaja dan kenaikan yang dianggap terlalu sedikit itu dibantah ramai pihak termasuk kesatuan pekerja. Ramai mahukan gaji minimum itu ditambah lagi sebagai refleksi kepada kos sara hidup yang semakin meningkat.

Kekeliruan

Di sinilah, ramai yang mahukan gaji tinggi ini keliru antara gaji minimum dengan gaji kehidupan kerana seruan ini tidak mengambil kira kemampuan majikan untuk membayar gaji sebegitu. Selagi mana produktiviti dan keluaran produk firma masih rendah, mengapa syarikat perlu bergolok-gadai membayar gaji yang tidak setimpal dengan produktiviti mereka.

Isu produktiviti pekerja ialah satu isu yang perlu ditangani. Satu kajian yang dibuat AIA Vitality mendedahkan rakyat Malaysia bekerja untuk tempoh bekerja yang panjang (15 jam dan kadangkala melebihi tempoh jam yang dinyatakan dalam kontrak pekerjaan) dan syif yang banyak tetapi masih lagi kurang produktif jika dibandingkan dengan penduduk Australia, Hong Kong dan Singapura.

Kajian ini turut mendedahkan warga kita tertekan dan terlalu lama bekerja yang akhirnya membawa kepada kehilangan produktiviti berjumlah RM2.7 juta. Konsep gaji kehidupan ini dilihat dapat membantu pekerja mengelak bekerja terlalu lama dan merasa tertekan. Pengurangan tekanan ini dilihat dapat menambahbaik produktiviti dan kesihatan pekerja dari segi fizikal dan mental.

Tetapi dengan konsep ini juga, pekerja juga harus menerima pertambahan gaji bermaksud pertambahan tanggungjawab dan nilai tambah kepada produktiviti mereka. Suka atau tidak, para pekerja harus bekerja lebih keras dan mengeluarkan lebih banyak hasil bagi memastikan kos yang dikeluarkan majikan pada konsep ini berbaloi.

Konsep gaji kehidupan ialah satu alat yang boleh menjadikan negara lebih baik dan memberi panduan kepada majikan dalam menentukan gaji yang munasabah kepada pekerja mereka. Jika ia digunakan dengan betul, ia bukan saja memberi kesan positif kepada pekerja tetapi juga kepada ekonomi dan negara. Persoalannya, bolehkah kedua-dua pihak iaitu majikan dan pekerja sedia berevolusi dengan konsep ini atau terus merungut dengan situasi sedia ada?

Source
Lee, Esther. (2018). The Edge. The State Of The Nation: Living wage a new benchmark for MalaysiaKoning, Martijn. (2018). CompareHero.com. Understanding living wage in MalaysiaNew Straits Times. (2018). Bank Negara introduces ‘living wage’ concept.Gill, Simran. (2018). University of Nottingham. Discuss critically if minimum wage in Malaysia should be set according to the “living wage” conceptThe Star. (2017). Survey: Malaysians work most hours but are least productive.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

Back to top button