Kerjaya

Faedah Tempoh Empat Hari Bekerja

Bukan satu rahsia firma-firma besar mula bereksperimen berkenaan durasi hari bekerja untuk melihat tempoh hari bekerja yang paling sesuai bukan saja untuk produktiviti syarikat tetapi juga untuk menjaga kebajikan pekerja. Salah satu syarikat yang bereksperimen ialah Microsoft Jepun menerusi Microsoft’s Work Life Choice Challenge 2019 Summer. Dan hasilnya amat mengejutkan.

Untuk menjayakan eksperimen ini, pejabat ditutup setiap hari Jumaat pada Ogos 2019 dan staf tetap diberi cuti istimewa dalam bentuk cuti bergaji. Tempoh mesyuarat dihadkan kepada 30 minit sahaja dan diskusi secara dalam talian menjadi alternatif berbanding pertemuan secara berdepan. Dan berdasarkan satu kaji selidik yang dijalankan syarikat, 92% responden menyukai cadangan tempoh empat hari bekerja ini. Dalam tempoh sama, Microsoft Jepun juga berjaya mengurangkan penggunaan elektrik sebanyak 23% dan penggunaan kertas sebanyak 58%.

Pada musim sejuk ini, syarikat akan memperkenalkan cabaran sama tetapi tidak memasukkan tawaran cuti istimewa sebaliknya menggalakkan pekerja bercuti untuk berehat dengan bijak.

Bacaan berkaitan: Cuti Pertengahan Minggu Suntikan Terbaik Produktiviti Pekerja?

Ini merupakan salah satu cara bagaimana firma-firma besar di Jepun dalam menangani soal tempoh kerja yang terlalu lama. Ini kerana negara Matahari Terbit itu mempunyai tempoh bekerja paling lama di dunia dan ini mencetuskan pelbagai masalah di tempat kerja termasuk karoshi (kematian akibat terlampau lama bekerja) atau masalah mental. Tetapi dengan situasi populasi penduduk semakin berkurangan yang turut memberi kesan kepada kekurangan pekerja, syarikat-syarikat di sana masih merasakan tempoh bekerja sebegini diperlukan untuk memastikan syarikat terus beroperasi.

Tetapi bagi Yohei Tsunemi, seorang pensyarah dari Universiti Perdagangan Chiba, beliau merasakan sudah tiba masanya syarikat-syarikat perlu mempertimbangkan pilihan automasi dalam mengurangkan beban pekerja. Pada masa sama, syarikat juga perlu berusaha mengurangkan beban kerja yang ditanggung pekerja dan memperbaiki aspek hubungan majikan-pekerja. Malangnya, kesatuan pekerja di Jepun tidaklah sekuat mana dan tidak berupaya membela nasib pekerja terutama dari segi perlindungan.

Namun, ada yang melihat tempoh empat hari bekerja ini sebagai mengarut. Salah satu daripadanya ialah Institut Adam Smith yang melihat sekiranya ia dilaksanakan, ia boleh mengakibatkan kekurangan peluang pekerjaan dan menafikan peluang pertambahan gaji kepada pekerja terutama di Britain. Institut tersebut turut menegaskan jika idea ini dijadikan sebagai polisi, ia boleh memberi gambaran bahawa Britain merupakan sebuah negara yang tidak mesra pelabur dan sukar bagi mana-mana perniagaan untuk bertahan.

Bacaan berkaitan: Isu Terlebih Kerja: Pengajaran Dari Kisah Pekerja Kilang Senjata WWI

Tetapi ada juga yang melihatnya sebagai resepi kepada pertambahan produktiviti pekerja seperti yang dibuat oleh agensi komunikasi berpangkalan di London, Synergy Vision. Selepas menjalani tempoh percubaan selama enam bulan, tempoh empat hari bekerja telah dilaksanakan secara tetap dan menurut bos Ffyona Dawber, pekerja menjadi lebih gembira, pengekalan pekerja menjadi lebih mudah dan memudahkan usaha pengambilan pekerja. Walaupun tempoh hari bekerja lebih pendek, kadar produktiviti masih kekal sama berikutan pekerja gembira untuk bekerja lebih keras dalam beberapa hari mereka berada di tempat kerja.

Untuk memastikan tempoh hari bekerja ini mencapai objektifnya, pekerja perlu bergilir memilih hari cuti mereka. Ini bukan saja mengelak mereka memilih hari cuti yang sama tetapi juga memastikan semua kerja yang dibuat dapat diselesaikan. Ini juga memudahkan syarikat mengira cuti yang diambil. Dawber mengakui pada awalnya, peralihan tempoh hari bekerja sebagai sukar tetapi ia dapat diatasi ditambah dengan kesungguhan kakitangan syarikat untuk menjayakannya kerana berpeluang mendapat cuti tambahan.

Sumber
BBC. (2019). Four-day work week unrealistic, says Labour-commissioned reportCaputo, Ibby. (2019). Japan’s shrinking labor force is finding new ways to fight karōshi — ‘death by overwork’. PRIKleinman, Zoe. (2019). Microsoft four-day work week 'boosts productivity'. BBC
Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker