Berita

Elaun Latihan Praktikal Kerajaan Dinaikkan Kepada RM900

KUALA LUMPUR: Kadar elaun bagi anak muda yang menjalani latihan praktikal di kementerian, agensi atau jabatan kerajaan akan dinaikkan daripada RM300 sebulan kepada kira-kira RM900 sebulan.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata perkara itu diputuskan kerajaan dalam mesyuarat jawatankuasa khas Kabinet anak muda, hari ini.

Katanya, peningkatan kadar elaun lebih tiga kali ganda itu akan mula berkuat kuasa pada 1 September depan.

“Alhamdulillah, kerajaan bersetuju untuk menaikkan kadar elaun bagi pelatih praktikal daripada RM1.60 sejam kepada RM5 sejam, iaitu peningkatan lebih 3 kali ganda.

“Sebelum ini bayaran elaun adalah sekitar RM300 sebulan, ia akan dinaikkan kepada kira-kira RM900 sebulan.

“Ini satu penambahbaikan yang sangat bagus. Sebelum ini daripada tiada bayaran langsung kepada RM15 sehari, dan sekarang kepada kira-kira RM45 sehari,” katanya menerusi rakaman video di akaun Twitter rasminya, hari ini.

Menyifatkan keputusan kerajaan itu sebagai berita baik kepada anak muda, Syed Saddiq menegaskan pihaknya akan melipat gandakan usaha untuk memberikan yang terbaik buat anak muda di Malaysia.

Pada 25 Julai lalu, Syed Saddiq dilaporkan berkata, Kabinet bersetuju memperkenalkan semula pembayaran elaun kepada pelatih praktikal yang berkhidmat di bawah kerajaan.

Ahli Parlimen Muar itu dilaporkan berkata, skim pembayaran kepada pelatih akan dinilai mengikut beberapa kriteria yang akan ditetapkan dan ia akan dilaksanakan bagi kemudahan pelatih.

“Ini adalah permulaan kepada dasar untuk mewajibkan latihan praktikal berbayar dan saya berharap ia akan ditetapkan sebagai satu standard di Malaysia yang merentasi sektor awam dan swasta,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker