BeritaEkonomi

Ekonomi Malaysia Yang Pelbagai Penampan Impak Perang Dagangan – Bank Dunia

KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia yang pelbagai akan menyediakan penampan kepada negara daripada impak besar-besaran perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

Ketua Ekonomi bagi makroeknomi, perdagangan dan pelaburan Bank Dunia, Richard Record berkata, negara itu juga mempunyai banyak rakan perdagangan dan mengeksport pelbagai produk dan perkhidmatan di seluruh dunia.

“Daripada apa yang kami dapat lihat, Malaysia mempunyai kekuatannya. Jumlah eksport meningkat tetapi akan bergantung pada AS dan China. Bagaimanapun, walaupun berkongsi pasaran lebih besar, ekonomi global semakin perlahan, yang bermakna permintaan berkurangan,” katanya kepada Bernama di luar Konvensyen Ekonomi Malaysia di sini, hari ini.

Bagaimanapun, katanya ketika perang perdagangan antara AS dan China semakin memuncak, ekonomi Malaysia dan pasaran negara yang sedang pesat membangun lain dijangka berkembang perlahan disebabkan gelombang kejutan perdagangan antarabangsa.

“Ketegangan perdagangan yang semakin memuncak antara dua kuasa ekonomi itu telah memperlahankan ekonomi dan permintaan global, yang akan menyaksikan eksport Malaysia juga akan merosot kerana ia merupakan ekonomi terbuka, oleh itu ia tidak terkecuali daripada impak global,” katanya.

Awal bulan ini, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam laporan bulanannya berkata eksport pada April 2019 meningkat 1.1 peratus tahun ke tahun (y-o-y) kepada RM85.2 bilion, mengakhiri penurunan dua bulan berturut-turut y-o-y.

Menurut kementerian itu, ia juga merupakan nilai eksport tertinggi yang pernah dicatatkan bagi bulan April, dipacu peningkatan penghantaran produk elektrik dan pengilangan, serta produk tapisan petroleum.

Dari segi menarik pelaburan, Record berkata disebabkan ketegangan perdagangan yang berlarutan, serta kemungkinan ketegangan perdagangan serupa melibatkan AS dan ekonomi lain seperti India, akan menyebabkan aliran keluar terutamanya di pasaran negara sedang pesat membangun.

“Apa yang kami saksikan sekarang adalah berlakunya turun naik pasaran di seluruh dunia, didorong kebimbangan pelabur di seluruh dunia disebabkan oleh ketegangan perdagangan. Apabila ini berlaku, pelabur cenderung untuk keluar daripada pasaran negara sedang pesat membangun,” katanya.

Presiden AS Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping dijangka mengadakan pertemuan pada Sidang Kemuncak G20 di Osaka dari 28-29 Jun, dengan penganalisis berharap pertemuan itu akan membawa kepada dua kuasa ekonomi itu berdamai dan menghentikan perang perdagangan.

Minggu lepas, jualan bersih oleh pelabur asing di Bursa Malaysia mencatatkan aliran keluar sebanyak RM209.1 juta berbanding aliran masuk RM328.26 juta pada minggu sebelumnya, manakala belian bersih oleh peruncit tempatan, mencatatkan aliran masuk RM69.9 juta berbanding aliran keluar RM21.54 juta. – BERNAMA

Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker