Ad
Umum

Ekonomi Berkembang Perlahan, Bukan Meleset – BNM

KUALA LUMPUR: Perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China memberi kesan terhadap pertumbuhan, namun ia tidak mengheret ekonomi negara sehingga berdepan kemelesetan.

Pengarah Jabatan Ekonomi Bank Negara Malaysia (BNM), Fraziali Ismail, berkata kepelbagaian akan menyokong ekonomi Malaysia untuk terus berkembang sederhana tahun ini meskipun berdepan persekitaran mencabar.

Beliau berkata, pihaknya mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang 4.3 hingga 4.8 peratus tahun ini dengan peningkatan ketegangan perdagangan menjadi antara risiko penurunan paling ketara terhadap pertumbuhan kerana perkembangan luaran mempunyai kesan limpahan ketara terhadap ekonomi domestik.

Ad

“Apa yang kami jangkakan adalah pertumbuhan sederhana dan bukan kemelesetan. Saya rasa kebimbangan kemelesetan (ekonomi) terlalu diperbesar-besarkan,” katanya pada taklimat mengenai “Perang Perdagangan AS-China – Konteks dan Implikasi” di sini, hari ini.

Ekonomi Malaysia, diukur menerusi kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang 4.5 peratus pada suku pertama 2019, lebih tinggi berbanding jangkaan umum penganalisis dan ahli ekonomi, iaitu sekitar 4.3 peratus, meskipun berdepan persekitaran yang mencabar.

Pada tahun lalu, ekonomi negara berkembang 4.7 peratus meskipun berdepan persekitaran ekonomi global dan domestik yang mencabar.

Fraziali berkata, kepelbagaian eksport Malaysia berupaya mengekang kesan yang dicetuskan ketegangan perdagangan AS-China.

Beliau berkata, terdapat petunjuk yang memperlihatkan Malaysia mendapat manfaat daripada lencongan perdagangan, yang mana negara mencatatkan peningkatan masing-masing, 4.2 peratus dan 4.6 peratus dalam penguasaan pasaran di AS dan China bagi produk tertentu.

Katanya, dalam pasaran AS, produk Malaysia yang mendapat manfaat kebanyakannya adalah produk elektrik dan elektronik (E&E), sementara dalam pasaran China pula, produk negara ini yang mendapat manfaat adalah produk komoditi dan petrokimia.

“Produk E&E, minyak mentah, gas asli cecair dan produk petroleum menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan eksport negara sepanjang pelbagai tempoh ketegangan perdagangan.

“Pasaran eksport negara yang pelbagai juga mengurangkan kesan permintaan yang rendah daripada negara tertentu,” katanya.

Fraziali berkata, penyusutan ringgit juga menyediakan sedikit sokongan terhadap pertumbuhan eksport dalam mata wang tempatan.

Beliau berkata, sementara ringgit menyusut sejak November 2018, ia menyokong pertumbuhan eksport dalam beberapa bulan ini.

Sumber: Berita Harian

M2C

Menyajikan artikel dan ulasan terkini isu-isu kewangan, perbankan, perniagaan, polisi dan teknologi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

Back to top button