Kerjaya

E-Hailing Bukan Satu Pekerjaan

Rakyat Malaysia dilihat seolah-olah terkeliru tentang definisi yang dinamakan pekerjaan (employment) ini. Dari segi asas, pekerjaan mempunyai dua kategori: tetap (permanent) atau sementara (temporary). Kebanyakan prospek sementara jatuh dibawah kategori kontrak. Hakikatnya semua pekerjaan mempunyai kontrak, cuma bagi kategori sementara telah ditetapkan satu tempoh yang mana kontrak tersebut tidak lagi sah selepas tarikh ditulis. Dan biasanya pekerjaan ialah sebuah persetujuan antara individu dan syarikat, kadangkala pertubuhan berasaskan keuntungan dan bukan keuntungan pun.

Dengan pekerjaan, seorang individu perlu melakukan skop yang diminta dengan bayaran sama ada dalam bentuk jam, ikut tempahan atau atas tahunan. Pekerja juga boleh mendapat bonus dan manfaat seperti insurans kesihatan, perumahan dan sebagainya.

Itulah pekerjaan.

Spektrum e-hailing seperti FoodPanda, Grab, Uber, DegoRide dan Go-Jek tidak termasuk dalam kategori pekerjaan. Bukan bermaksud pengusaha tidak bekerja. Sebaliknya, skop kerja mereka tidak tergolong dalam ciri-ciri employment itu sendiri. Sebaliknya, pengusaha sedemikian sedang membanting tulang demi upahan dalam satu ekosistem bebas. Dalam definisi lama, ekosistem ini digelar odd jobs. Tetapi sekarang rata-rata masyarakat mengenalinya sebagai ekonomi gig.

Dengan kata mudah, peserta pekerjaan masih lagi boleh menyertai ekonomi gig. Tetapi cukup mustahil bagi sesiapa pun dikontrakkan bersama dua syarikat pada satu masa. Walhal, seorang jurutera boleh sahaja memandu kereta bersama Grab dan pada masa yang sama diupah oleh organisasi tertentu untuk menulis. Pemanduan dan penulisan termasuk dalam ekonomi gig. Tiada beza juga bagi pereka grafik dan laman web.

Senang kata, ekonomi gig merupakan dagangan kemahiran dalam bentuk perniagaan juga. Dan ekosistem ini biasanya disertai ramai oleh kerana kekurangan peluang pekerjaan. Ramai dalam kalangan anak muda Malaysia mengharapkan talian hayat daripada ekonomi gig yang berkembang 31% bagi tahun 2019 (Leong, 2019). Perkara ini ialah anti-thesis kepada kejayaan pertambahan peluang pekerjaan.

Nikmat pembangunan negara tidak sepatutnya dibolot penguasa, kerana rakyat terpaksa membanting tulang sehingga ada yang terpaksa melakukan dua pekerjaan semata-mata untuk hidup. Kini rakyat terbelenggu dengan kos sara hidup yang tinggi, dengan bebanan memaksa sesetengah rakyat tiada lagi masa untuk bersama keluarga dan jiran. Hutang isi rumah pula meningkat begitu tinggi sehingga lebih 20,000 orang muda berumur bawah 35 tahun telah muflis.

Jadi sebuah kerajaan yang menjanjikan peluang pekerjaan sebanyak sejuta (Janji 35) tidak sepatutnya dilihat begitu ghairah dengan pelancaran Dego Ride dan kemasukan Go-Jek. Terutamanya sekali apabila tanggungjawab sedemikian tidak termasuk pun dalam skop kerja sebuah kementerian tertentu, yang ketuanya pernah mempersoalkan gaji seorang jurulatih dari B-19 Bayern Munich. Malah setiap satu perkataan yang diwarnakan dengan dakwat biru merupakan petikan terus daripada Buku Harapan sendiri.

Sejuta peluang pekerjaan merupakan sasaran yang logik. Populasi Malaysia kian bertambah. Pelaburan juga seharusnya stabil. Namun sejuta rakyat tidak mendapat manfaat, jika jumlah pemberhentian kerja meningkat, jawatan kosong mengecut (dari 206,000 (Q4 2017) ke 198,000 (Q4, 2018), dan penciptaan kerja swasta mengecut (30,000 ke 24,000) (DOSM, 2019).

Peluang pekerjaan yang diciptakan pada penghujung 2018 pun dibahagikan kepada: kemahiran rendah (5.6%), kemahiran tengah (49.2%) dan kemahiran tinggi (45.2%). Sebanyak 8.54 juta pekerjaan, peratusan tersebutlah menyusun tenaga kerja masing-masing. Dan jawatan kemahiran rendah mendatar +0.1% daripada tahun lepas.

Tetapi graduan baharu masih susah mendapatkan pekerjaan. Berdasarkan laporan tahunan bagi 2018, sebanyak 173,457 pemegang ijazah menyertai tenaga kerja. Hanya 98,514 kerja berkemahiran tinggi sahaja ditawarkan, lebih kurang separuh daripada bekalan. Perkara ini menunjukkan bahawa ekonomi tidak dirangsangkan secukupnya untuk menyerap bilangan graduan (BNM, 2019).

Sementara kadar pengangguran kekal pada 3.3%, kerajaan masih berselindung bahawa kadar pengangguran anak muda berdigit dua sejak zaman Najib Razak lagi. 10.6% bagi 2016 meningkat 13.2% bagi 2017, dan kelemahan dari segi penyerapan ini hanya akan mengeruhkan keadaan. Malah gaji pemegang ijazah sarjana pun menyusut dari RM2,923 (2010) ke RM2,707 (2018). Sementara gaji ijazah sarjana muda diturunkan juga.

Maka dengan segala dugaan statistik ini, ekonomi gig digunakan sebagai penampan kononnya Dego Ride dan Go-Jek membekalkan pekerjaan untuk membela mat-mat motor. Sebenarnya tidak. Itu ialah upahan, yang tidak menjaminkan perlindungan tenaga kerja dan sosial melainkan insurans yang dibayar sendiri. Malah kemalangan kecil pun entah-entah pengusaha yang perlu mengeluarkan modal atau tunggu lama di hospital awam. Asalkan bil bulanan dipenuhi. Pekerjaan memberikan pendapatan stabil. Upahan pula mengurniakan kebebasan untuk buat kerja ikut suka. Namun apabila bercakap sebagai kerajaan, mencampur aduk kedua-duanya membunyikan antara kejahilan berkenaan terminologi dan definisi dengan pengambilan kesempatan atas motif politik. Kedua-dua kebarangkalian ini mempunyai implikasi besar terhadap rakyat, kerana pertama membahayakan dan kedua pula mengancamkan. Dego Ride dan Go-Jek BUKAN peluang pekerjaan.

Sumber
Fresh Graduates in Malaysia Strugglign To Find JobsPrivate Sector Creates 24,000 Jobs in Q4
Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker