Isu SemasaPolitik dan Polisi

Dividen TH Lebih Rendah Berbanding Bank Konvesional?

Saya membaca laporan hansard parlimen 18 Mac 2019 berkenaan jawapan YB Mujahid Yusof Rawa tentang prestasi kewangan Tabung Haji selepas penyerahan aset kepada SPV [1]. Ada beberapa perkara pelik dan jangkaan gambaran bonus Tabung Haji tahun ini.

1. Bonus mungkin sekitar 1.37%. Berdasarkan pengakuan YB Menteri di dalam parlimen bahawa jumlah aset melebihi liabiliti hanyalah RM1 bilion (RM76.5b aset – RM75.5b liabiliti) selepas penstrukturan semula, ini bermakna jumlah maksimum bonus yang boleh dibahagikan kepada pendeposit hanyalah RM1 bilion sahaja berdasarkan Akta TH 1995. Dengan deposit sekitar RM73 bilion, jumlah dividen hanyalah 1.37% sahaja.

Mana-mana pengumuman dividen melebihi peratusan tersebut boleh dianggap bertentangan dengan kenyataan Menteri dan Akta Tabung Haji. Soalnya, adakah dengan kadar dividen yang lebih rendah daripada bank konvensional ini akan mampu memotivasikan pendeposit mengekalkan simpanan mereka dan menjamin survival Tabung Haji?

2. YB Menteri telah mengatakan bahawa di bawah pengurusan terdahulu, jumlah aset hanyalah RM70.3 bilion berbanding RM74.4 bilion liabiliti / deposit. Ini menjadikan TH mengalami defisit RM4.1 bilion. Ini adalah susut nilai, bukan rugi.

Bagi mengatasi isu ini, kerajaan telah menubuhkan SPV yang mengambil alih aset dan saham TH bernilai RM10 bilion. Dan digantikan dengan sukuk dan RCPS-i bernilai RM19.9 bilion. Dengan kata lain, melalui kaedah ini TH telah ‘untung atas kertas’ sebanyak RM9.9 bilion.

Kalau kita tolak defisit RM4.1 bilion tadi dengan keuntungan RM9.9bilion, maka lebihan aset berbanding liabiliti Tabung Haji sepatutnya adalah RM5.8 bilion. Anehnya, YB Menteri hanya mengatakan lebihan selepas urusniaga tersebut hanyalah RM1 bilion. Ke mana pergi baki keuntungan RM4.8 bilion?

Satu-satunya penjelasan yang logik setakat ini adalah, susut nilai aset TH telah membarah ketika zaman pemerintahan Pakatan Harapan. Susut nilai pada tahun lepas adalah RM4.8 bilion berbanding susut nilai pada 4 tahun terakhir BN sebanyak RM4.1 bilion.

3. Bagaimana pula dengan zakat? Apabila aset bernilai RM19.9 bilion ini diserahkan kepada SPV, tiada apa apa pengumuman bahawa aset dan saham ini dibayar zakat. Jika tiada, bukankah ia menghilangkan pendapatan umat Islam sekitar RM500 juta yang sepatutnya boleh dimanfaatkan kepada pihak asnaf?

4. SPV tidak pernah membentangkan pelan pemulihan aset saham TH. Sebagai contohnya, antara saham yang telah diserahkan TH kepada SPV adalah Pintaras Jaya Bhd. Nilai saham Pintaras pada 31 Disember 2018 adalah RM2.23 sesaham. Hari ini nilainya merosot kepada RM2.18 se saham. Ini menunjukkan saham terus jatuh nilai walaupun pengambilalihan telah dibuat.

5. Dalam kes Pintaras, SPV telah mengambil alih 11,352,100 unit saham tersebut daripada TH pada nilai RM3.68 sen sesaham atau bersamaan RM41.77 juta.

Jika sekiranya TH mahu menuntut semula saham tersebut hari ini, bagaimana SPV akan mampu untuk membayar balik pada harga premium RM3.68 se saham sedangkan harga saham telah turun? Bagaimana SPV mampu membayar sedangkan ia tidak dijamin oleh kerajaan?

Bukankah ini satu kecelaruan yang ketara. TH cuma dapat ‘kertas’ yang tidak dijamin kerajaan, sebahagian saham terus susut nilai dan hilang dividen tahunan daripada stok mereka.

Meniaga apa ni? 🤔


Ditulis oleh: Abdul Rahim Hilmi Zakariya, Bukit Tunggal Kuala Terengganu

Rujukan:

[1] Penyata Rasmi Parlimen Dewan Rakyat, Parlimen Ke 14, Penggal ke 2 Mesyuarat Pertama, Bil 5 18 Mac 2019, ms 7.

Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker