Kolumnis

Di Manakah Tahap Industri Pertanian Malaysia?

Kebanyakan negara-negara maju tidak akan membiarkan industri pertanian mereka ketinggalan berbanding  dengan industri-industri lain. Negara-negara maju akan mencari jalan dan berusaha untuk memajukan industri pertanian mereka.

Negara Netherland misalnya telah melaksanakan ‘robotic greenhouse’ bagi mengatasi kekurangan tanah dan upah tenaga kerja yang tinggi. Regim Israel menjadi pengeksport buah-buahan utama dengan cara melaksanakan sistem pengairan moden ditanah-tanah yang asalnya dari padang pasir.

Image result for netherland robotic greenhouse

Di Australia dan Germany, kedua-dua negara memberi fokus kepada penyelidikan dan pembangunan genetic yang menjadikan tanaman pertanian mereka yang mengeluarkan hasil yang sangat tinggi.

Negara Prancis dan China menggunakan teknologi drones bagi kerja-kerja pembajaan, meracun dan pelbagai lagi bagi membantu bidang pertanian mereka. Negara Amerika merupakan pengeluar utama bijirin dunia dengan penggunaan jentera yang meluas.

Image result for drone agriculture

New Zealand dan Canada yang mempunyai penduduk yang kecil, menjadi pengeksport ternakan dan tenusu dunia dengan sistem pamasaran yang sangat efisen.

Di Malaysia, kita dianugerahkan oleh Allah dengan tanah yang luas dan sangat subur. Cahaya matahari diperolehi sepanjang tahun. Taburan hujan yang sangat sesuai untuk pelbagai tanaman. Pusat-pusat penyelidikan kita mempunyai peralatan yang tidak ketinggalan berbanding negara maju.

Kita mempunyai pakar-pakar agronomi yang bertaraf dunia dan mempunyai pengalaman yang luas. Kita juga mampu untuk mengeluarkan baja, racun serangga dan benih-benih tanaman yang berkualiti tinggi.

Penguasaan teknologi internet dan komunikasi kita juga bertaraf dunia. Industri sokongan seperti industri pembungkusan, tempat simpanan dingin sejuk dan sebagainya juga mencukupi.

Dalam belanjawan 2020, kerajaan telah memperuntukkan hampir RM5 bilion  yang disalurkan kepada Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani (MOA) dengan memberi fokus untuk meningkatkan pendapatan bagi pengusaha-pengusaha pertanian.

Image result for pertanian belanjawan 2020

Kerajaan telah memberikan lebih RM2 bilion dalam bentuk subsidi setiap tahun seperti subsidi racun, baja , benih tanaman, harga jualan dan sebagainya. Kerajaan juga telah mengeluarkan perbelanjaan besar untuk menyediakan kemudahan dan frasarana latihan percuma kepada pengusaha-pengusaha pertanian.

Bagi meningkatkan hasil padi sahaja, kerajaan telah peruntukan sebanyak RM855 juta  dibawah Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) dan Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP). Pengusaha-pengusaha padi juga menerima harga yang tinggi sebagai galakan dan mengelakkan mereka daripada mengalami kerugian.

Kerajaan turut memperuntukkan RM150 juta sebagai galakan program integrasi tanaman seperti cili,nanas, kelapa dan tembikai kepada petani dan pekebun kecil. Di samping itu,  Kerajaan juga memberikan elaun sara hidup nelayan sebanyak RM250 sebulan.

Image result for nelayan

Tetapi malangnya Malaysia kini mengimport kira-kira RM52 bilion makanan setahun. Antara item yang diimport adalah beras, daging, ikan, sayur sayuran dan pelbagai bentuk makanan kering, makanan telah diproses dan sebagainya.

Sebahagian besar makanan yang diimport itu pula mudah diperolehi dan senang ditanam di sini. Dalam masa yang sama, usahawan-usahawan dan syarikat-syarikat swasta tempatan  telah dapat mengeksport dan menjual teknologi pengeluaran pertanian moden dan mempunyai produktiviti yang tinggi ke luar negara.

Kenapa projek-projek pertanian yang dikendalikan oleh institusi-institusi kerajaan ataupun Persatuan-Persatuan Pertanian dan Pekebun Kecil masih berada ditakuk lama?

Kenapa industri pertanian masih gagal untuk menarik anak-anak muda serta golongan professional untuk menceburi industri ini? Kenapa teknologi penanaman hanya tertumpu kepada pengeluaran komoditi tertentu sahaja?

Kenapa jualan dan pemasaran produk pertanian tidak dapat menembusi secara besar-besaran ke pasaran antrabangsa? Kenapa pemasaran produk pertanian dikuasai oleh kartel yang boleh menentukan harga dan stok barangan mengikut acuan mereka?

Kenapa projek-projek pertanian yang diusahakan oleh pihak swasta ataupun bukan bumiputra yang tidak mendapat sebarang bantuan dari kerajaan  jauh lebih maju berbanding projek-projek pertanian oleh intitusi-institusi kerajaan yang sentiasa diberi bantuan, subsidi dan sebagainya?

Sudah tiba masanya kita melihat kembali pengurusan didalam institusi-institusi  dan pertubuhan pertanian sediada. Pengurusan sediada perlu diberi latihan dan orientasi baru supaya mereka dilengkapkan dengan idea-idea pertanian baru dan moden.

Mereka juga harus mempunyai sikap bekerja seperti yang ditunjukkan oleh usahawan swasta yang berjaya. Mereka juga perlu mempunyai program menyeluruh bagi menarik minat anak-anak muda, graduan dan golongan profasional untuk menyertai bidang pertanian moden yang diurus secara komersial.

Kaedah pemberian subsidi pertanian juga perlu dirombak. Terlalu banyak penyalah gunaan skim subsidi berlaku dipelbagai peringkat. Penerima skim subsidi hendaklah dipantau supaya bantuan tidak berakhir ke tempat yang tidak ada kena mengena dengan peningkatan hasil pertanian. Ada skim subsidi berakhir menjadi program untuk parti-parti politik dan kepentingan peribadi mereka yang berpengaruh dan dekat dengan skim ini.

Institusi yang diberikan tanggungjawab untuk memasarkan produk-produk pertanian juga perlu dikaji semula. Ada antara institusi pemasaran ini telah menjadi orang tengah yang baharu. Fungsi dan matlamat asal penubuhan mereka untuk membantu memasarkan keluaran petani telah tersasar.  

Petani-petani muda dan graduan hendaklah diberi pendedahan didalam penggunaan teknologi satelit, penanaman mengikut nutrusi yang dikehendaki, analisa tanah dan pemetaan produktiviti, ilmu menganalisa dan meramal hasil yang akan diperolehi dengan lebih awal dan pelbagai pengetahun moden lagi.

Kita berharap supaya Kerajaan akan mengambil tindakan drastik bagi memperkasakan industri pertanian negara. Kerajaan perlu membawa tokoh-tokoh korporat yang mahir didalam bidang pertanian dan  pemasaran serta mempunyai integriti tinggi bagi menerajui industri pertanian negara kita.

Rombakan perlu dibuat dijabatan pertanian dan pertubuhan-pertubuhan yang bernaung dibawahnya supaya kakitangan mereka diberi nafas baru dan dibekalkan dengan pengetahun  pertanian moden.

Jika kita berterusan memberikan subsidi dan melaksanakan perkara yang sama, kita bimbang nilai makanan yang diimport akan terus meningkat dan kita akan terus bergantung kepada negara luar untuk memenuhi keperluan makanan kita sendiri.


Artikel ini ditulis oleh Dato’ Zakaria Arshad dan merupakan pandangan peribadi beliau.

Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker