Ekonomi

Defisit Fiskal Dan Pertumbuhan KDNK

Apa Itu Defisit Fiskal & Lebihan Fiskal?

Defisit fiskal ni kefahaman mudahnya adalah apabila kerajaan berbelanja lebih daripada hasil. Lebihan fiskal bermaksud kerajaan belanja kurang daripada hasil.

Contoh kerajaan belanja RM300billion tapi hasil sebenarnya RM250billion. Makanya kerajaan berbelanja lebih RM50billion. Kerajaan akan buat bon untuk pinjam RM50billion supaya kerajaan boleh belanja ikut apa yang mereka rancangkan. Ini namanya defisit fiskal.

Lebihan fiskal pula kerajaan belanja RM300billion tapi hasil RM310billion. Kerajaan ada simpanan RM10billion.

Selalunya, defisit fiskal ini dikira secara peratus. Kerajaan akan kira nisbah defisit bahagikan dengan KDNK.

Contoh:

KDNK Malaysia RM1.0trillion. Jadi cara kiraannya begini:

(-RM50billion / RM1000billion) x 100% = -5%

Ketika pemerintahan dahulu, pembangkang sering menggunakan defisit fiskal ini sebagai indikator ekonomi untuk memburuk-burukkan bajet pemerintah. Pembangkang akan keluarkan bajet bayangan mereka dan klaim defisit fiskal mereka lebih rendah daripada pemerintah.

Ini pendapat saya. Defisit fiskal tak selalunya dan tak semestinya buruk.

Yang penting, BAGAIMANA, UNTUK APA dan KE MANA kerajaan berbelanja.

Kalau kerajaan berbelanja pada benda-benda yang tak menghasilakan pendapatan, ia akan jadi sesuatu yang buruk dan boleh jadi lebih buruk. Sebaliknya, kalau kerajaan berbelanja pada sesuatu yang boleh menjana pendapatan, defisit fiscal tak jadi masalah.

Timbal baliknya ada pada pertumbuhan KDNK. Jika pertumbuhan KDNK meningkat, pendapatan kerajaan akan meningkat juga. Kerajaan akan kutip pendapatan daripada cukai. Sebab tu pentingnya kerajaan pastikan pertumbuhan KDNK sentiasa positif. Sebabnya bila rakyat berbelanja lebih, lebih banyak hasil kerajaan boleh kutip daripada cukai.

Contoh cukai: cukai kepenggunaan (GST/SST).

Dalam 4 komponen KDNK (Kepenggunaan (C) + Pelaburan (I) + Perbelanjaan Kerajaan (G) + Import atau Eksport Bersih (NX)).

Kita ambil komponen (C) atau Kepenggunaan, perbelanjaan rakyat akan dikira dalam tu. Bila kepenggunaan ni meningkat, secara tak langsungnya cukai kepenggunaan pun akan meningkat sama.

Macam mana pula nak pastikan rakyat terus berbelanja?

Kerajaan akan laksanakan projek. Contoh macam LRT, ECRL, MRT dan HSR. Walaupun projek ini dalam sektor pembinaan, tapi bila ada pembinaan, permintaan untuk sektor lain akan meningkat juga. Dalam pembinaan landasan keretapi contohnya, bahan mentah seperti besi perlukan. Jadi, kilang besi akan dibina. Dalam masa yang sama sektor pembuatan dan perkilangan pun akan hidup sama. Sektor-sektor lain pun akan meningkat seperti sektor perkhidmatan dan perlombongan.

Sebab itulah,sektor pembinaan ni kerajaan mesti tumpukan. Kalau kerajaan tak tumpu dan pesatkan sektor pembinaan, maka keadaan ekonomi negara akan berada pada tahap tidak memberangsangkan.

Oleh kerana Malaysia tergolong di dalam kategori negara sedang membangun (emerging market), maka infrastruktur dan pembinaan menjadi salah satu indikator penting kepada pelabur dalam menilai keadaan ekonomi negara dan pertumbuhan KDNK.


NOTA: Defisit fiskal dalam graf tu sepatutnya negatif, tapi saja buat positif sebab nak jimat ruang graf dan nak tunjukkan kaitan antara defisit fiskal dan pertumbuhan KDNK.

Dalam graf ini saya ambil indikator ekonomi lebih kurang 12 tahun, defisit fiskal dengan pertumbuhan KDNK tahunan.

Ketika Datuk Seri Najib Razak menggantikan Pak Lah menjadi Perdana Menteri, dunia sedang mengalami Krisis Kewangan Antarabangsa atau Global Financial Crisis (GFC)’ 2008. Antara benda awal yang beliau laksanakan ketika itu adalah perkenalkan bajet tambahan RM60billion sebagai insentif terutama dalam sektor hartanah. Sebab itu, defisit fiskal meningkat, dan yang paling penting, ia untuk rangsang kembali ekonomi kerana ketika itu pertumbuhan KDNK menurun sehingga -1.5%. Dalam masa yang sama defisit fiskal mencanak naik daripada 3.1%(2007) ke 6.7%(2009).

Akhirnya, Malaysia antara negara yang awal keluar daripada GFC. Di sini, kita boleh perhatikan bagaimana Datuk Seri Najib menggunakan kaedah Pengembangan Polisi Fiskal yakni berbelanja lebih, yang pada tahun-tahun berikutnya, berjaya meningkatkan pertumbuhan KDNK sehingga 7.4%. Satu kejayaan untuk Malaysia ketika itu.

Satu lagi krisis kewangan yang dapat kita lihat adalah pada tahun 2015 ketika pasaran harga minyak dunia jatuh merudum ke 26USD setiap tong. Krisis ini telah menggugat pendapatan negara.

Dalam krisis minyak duia ini, Datuk Seri Najib menggunakan pendekatan berlainan. Beliau memperkenalkan GST untuk menggantikan SST. Kerajaan pula dapat pendapatan yang lebih daripada GST untuk menampung balik pendapatan yang hilang daripada petroleum dan masalah pemindahan harga daripada SST.

2018, kerajaan berubah. Kini kerajaan Pakatan Harapan berdepan dengan 2 krisis yakni ‘trade war’ dan krisis harga minyak sekali lagi. Amat menarik untuk kita ikuti rapat apakah penyelesaian yang bakal dilaksanakan kerajaan sama ada meniali semula bajet dengan berbelanja lebih atau mengurangkan perbelanjaan.

Kesimpulannya, apa yang telah saya tulis ini adalah untuk menunjukkan betapa defisit fiskal ini bagi pengaruh yang besar pada pertumbuhan KDNK.

Adakah bila kerajaan berbelanja lebih, adakah ekonomi negara dapat dinaikkan semula? Datuk Seri Najib dan kerajaan terdahulu telah buktikan cara ini tidak mustahil. Yang penting, bagaimana, untuk apa dan ke mana perbelanjaan kerajaan tu dibuat dan pertumbuhan KDNK ini dapat ‘offset’ defisit fiskal.

Jika negara merancang untuk berhutang besar, kerajaan mestilah mencari cara menjana pendapatan yang lebih besar.

Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel Lain

Close
Back to top button
Close
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker