Polisi

Orang Melayu Terus Dimanjakan – Daim

Daim dalam kenyataan terbaru menyatakan bahawa walaupun Dasar Ekonomi Baru yang diperkenalkan oleh Tun Abdul Razak berjaya mengurangkan kemiskinan tegar, menaikkan kelas pertengahan dan mempelbagaikan ekonomi, namun masih wujud kelemahan menyebabkan ada pihak menyalahgunakannya sehingga mereka yang layak menerima bantuan dinafikan hak.

Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa polisi berdasarkan kaum ini hanya melemahkan orang Melayu di mana orang Melayu masih berhadapan pelbagai retorik politik yang menyebabkan mereka terus ‘disuap’ dan dimanjakan.

Baiklah pertama sekali kita lihat dahulu tentang sesetengah pihak yang menyalah gunakan DEB bagi keuntungan kumpulan tertentu sahaja. Apakah Daim tidak sedar bahawa beliau adalah salah seorang yang mendapat manfaat paling banyak daripada polisi ini? Ketika Daim menjadi Menteri Kewangan pada 1984, jumlah asetnya mencecah sehingga RM1 bilion? Sekitar 90an dahulu, Edmund Terence Gomez dan Jomo KS menggelar Daim sebagai salah seorang yang paling berpengaruh dalam dunia korporat.

Antara langkah menaikkan ekonomi Bumiputera dahulu adalah dengan membuka lebih banyak syarikat Bumiputera dengan bantuan kerajaan, dengan harapan, pemilik syarikat akan berkongsi kekayaan dengan orang Melayu melalui pembukaan peluang kerja dan peningkatan ekuiti Bumiputera. Apa yang kerajaan rancang adalah berlakunya kesan rantaian di mana kekayaan itu dikongsi sehingga ke peringkat bawah, tetapi atas sifat tamak sesetengah pihak, polisi ini telah menguntungkan golongan tertentu sahaja.

Yang kedua, berkenaan sampai bila Melayu perlu ‘disuap’ dan bergantung kepada ‘tongkat’. Tahukah anda, walaupun dengan pelaksanaan DEB, kaum Melayu masih lagi ketinggalan dalam segala aspek ekonomi. DEB yang dilancarkan pada 1971 masih belum mampu mengembalikan keseimbangan ekonomi yang berpunca daripada dasar ‘Pecah dan Perintah’ semasa zaman British yang telah bertapak lebih 100 tahun.

Bacaan berkaitan: Ketidakseimbangan Pemilikan Pendapatan dan Harta Antara Kaum di Malaysia

Berikut adalah beberapa data untuk anda nilaikan.

Median pendapatan isi rumah (2016)Bumiputera – RM 4 846
Cina – RM 6 852
India – RM 5 428

Pemilikan hartanah Bumiputera dan Bukan Bumiputera di bandar (2015)Bukan Bumiputera – 95%
Bumiputera – 5 %

Pemilikan bangunan komersil dan premis  (2015)Bumiputera – 11.7%
Cina – 71.9%
India – 4.6 %
Lain-lain – 11.8%

Pemilikan ekuiti (2008)Bumiputera – 21.9%
Cina – 34.9%
India – 1.6%

Punca utama kepada ketidakseimbangan ini bukanlah kerana Melayu ini malas ataupun sikap Melayu yang terlalu berharap kepada kerajaan tetapi kerana dasar ‘pecah dan perintah’ British dahulu. Apakah DEB yang baru diperkenalkan lebih kurang 40 tahun dahulu sudah cukup untuk menterbalikkan kesan dasar British lebih 100 tahun?

Ya, memang benar, sampai masanya nanti kita perlukan dasar ekonomi yang berteraskan keperluan rakyat, polisi berdasarkan pendapatan bukan berdasarkan kaum. Tetapi janganlah dikatakan bahawa Melayu ini miskin kerana mereka malas, dan lebih menjelikkan jika kata-kata ini datang daripada mereka yang telah memperoleh manfaat yang paling banyak daripada dasar ekonomi berdasarkan kaum ini.

Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker