EkonomiPolisi

Dasar Jimat Cermat Satu Kesilapan

Jika ada yang mengatakan ia merupakan penyelamat ekonomi negara, anda silap.

Tahun lepas, kita sentiasa dimomokkan oleh kenyataan negara dilanda masalah hutang yang besar dan suka atau tidak, negara perlu berjimat cermat dalam soal perbelanjaan. Mungkin bagi yang mendengar menganggap ia sekadar satu lagi propaganda politik jadi-jadian. Tetapi dengan langkah-langkah yang diperkenalkan kerajaan hari ini termasuk menangguhkan atau menghentikan beberapa projek mega, ia dilihat selari dengan pendekatan jimat cermat (austerity) yang diamalkan sesetengah negara Eropah hari ini. Jika ada yang mengatakan ia merupakan penyelamat ekonomi negara, anda silap.

Mengenali dasar jimat cermat

Apa itu dasar jimat cermat? Ia merupakan dasar-dasar ekonomi yang diperkenalkan kerajaan bagi mengawal hutang sektor awam. Ia diperkenalkan sebagai respon pihak kerajaan terhadap isu hutang yang besar atau ketidakupayaan mereka membayar hutang pada jangka masa yang ditetapkan. Bila berlakunya situasi kegagalan membayar hutang, ini bukan saja menyebabkan kerajaan atau organisasi berada dalam situasi hutang yang lebih teruk. Bahkan, ia mendorong pemiutang menaikkan lagi kadar pulangan untuk pinjaman-pinjaman seterusnya sekaligus menyukarkan peminjam mendapatkan modal diperlukan.

Dasar jimat cermat ini tidak seharusnya dilihat sebagai pengurangan perbelanjaan kerajaan semata-mata. Ia terdiri daripada beberapa pendekatan jimat cermat.

Pertama, pendekatan jimat cermat yang menaikkan lagi kadar cukai bertujuan untuk menyokong lebih banyak perbelanjaan kerajaan. Kaedah ini bertujuan merangsang pertumbuhan ekonomi dan meraih lebih banyak pendapatan melalui kutipan cukai.

Pendekatan kedua digelar pendekatan Merkel sempena nama Cancelor Jerman Angela Merkel di mana kerajaan menaikkan kadar cukai dan memotong perbelanjaan yang tidak diperlukan.

Ketiga, pendekatan menurunkan kadar cukai dan mengurangkan perbelanjaan kerajaan yang menjadi pilihan penyokong pasaran bebas.

Selepas krisis ekonomi dunia yang berlaku pada 2007 dan 2008, krisis itu mendedahkan kebanyakan negara kepada pengurangan kutipan cukai dan tahap perbelanjaan yang tidak dibendung. Ini mendorong sesetengah negara seperti Great Britain, Sepanyol dan Greece memilih langkah penjimatan untuk mengurangkan kebimbangan masalah belanjawan.

Krisis ekonomi itu turut memberi kesan kepada negara-negara Eropah lain di mana negara-negara zon berkenaan tidak mempunyai kemampuan menangani masalah hutang dengan mencetak mata wang mereka sendiri.

Ini mendorong pemiutang seperti Kesatuan Eropah (EU) menekan sesetengah negara ini untuk mengawal perbelanjaan mereka secara agresif dan situasi ini kadangkala mencetuskan pertelagahan seperti yang berlaku pada tahun lepas antara EU dengan Itali.

Berkenaan soal cukai dan dasar jimat cermat ini, ada yang melihat pemotongan cukai boleh menjana pertumbuhan ekonomi sesebuah negara. Idea ini merupakan hasil cetusan bekas penasihat Presiden Ronald Reagan iaitu Arthur Laffer. Tetapi ramai pakar ekonomi dan penganalisis polisi berpandangan menaikkan kadar cukai masih cara terbaik untuk menambah pendapatan negara. Contohnya, Greece menaikkan kadar cukai barang dan perkhidmatan (GST/VAT) mereka dari 10% kepada 23% pada tahun 2010 dan mengenakan tarif sebanyak 10% ke atas kereta import. Athens turut menaikkan cukai pendapatan bagi golongan berpendapatan tinggi dan mengenakan beberapa cukai baru ke atas hartanah.

Pengurangan Perbelanjaan

Sebut tentang pengurangan perbelanjaan kerajaan, ia dianggap cara paling berkesan mengurangkan defisit. Memang mudah memperkenalkan cukai baru atau menaikkan kadar cukai sedia ada tetapi wang tersebut tidak disalurkan kepada golongan yang memerlukan. Nak tahu apa bentuk pengurangan perbelanjaan kerajaan? Berikut beberapa contoh:

  1.  Pengurangan geran dan subsidi.
  2. Pengurangan program pembahagian semula kanak-kanak.
  3. Pemotongan gaji atau pembekuan kenaikan gaji.
  4. Pembekuan pengambilan tambahan kakitangan awam dan pembuangan kakitangan awam berstatus kontrak.
  5. Kenaikan pelbagai jenis cukai dari cukai pendapatan hingga cukai korporat.

Isu sama ada kaedah jimat cermat ini berguna kepada ekonomi menjadi topik perdebatan ramai pihak. Bagi penyokong kaedah ini, mereka melihat defisit yang dialami sesebuah negara boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi. Sementara penentang kaedah ini melihat perbelanjaan kerajaan merupakan satu-satunya cara bagi menampung kekurangan perbelanjaan swasta semasa krisis berlaku.

Mereka berpandangan perbelanjaan sektor awam yang baik boleh mengurangkan kadar pengangguran dan menambah bilangan pembayar cukai kepada kerajaan. Pakar ekonomi seperti John Maynard Keynes melihat kerajaan perlu meningkatkan perbelanjaan mereka bagi menampung kejatuhan permintaan pihak swasta. Sekiranya permintaan tidak meningkat dan tidak distabilkan oleh kerajaan, angka pengangguran pasti akan meningkat dan krisis ekonomi sedia ada akan jadi berpanjangan.

Satu contoh yang kita boleh lihat berkenaan langkah jimat cermat ialah Great Britain. Langkah pemotongan perbelanjaan dan pembayaran hutang dibuat oleh Chancellor of the Exchequer George Osborne pada tahun 2010. Langkah tersebut dibuat atas alasan mengurangkan defisit perbelanjaan negara yang tinggi dan hutang negara yang semakin bertambah. Tetapi kenyataannya ketika itu bahawa ia merupakan sebahagian daripada prospek pertumbuhan jangka panjang ekonomi Britain bukan saja dibangkang Tabung Mata Wang Sedunia (IMF) tetapi juga diperlihatkan oleh banyak statistik akibat dasar mengarut ini.

Profesor Emeritus John Weeks dalam artikelnya yang bertajuk ‘Ending Austerity: Why public spending is key to building a stable and fair economy’ untuk Forum Ekonomi Progresif menyifatkan tindakan Whitehall memotong perbelanjaan mereka mengakibatkan berlakunya pengurangan permintaan barangan dan perkhidmatan seperti ubat-ubatan dan peralatan perubatan.

Bila ini berlaku, syarikat-syarikat yang membekalkan barangan sebegini terpaksa mengurangkan pekerja dan mengurangkan pelaburan mereka. Pengurangan ini mengakibatkan berlakunya pengurangan pendapatan isi rumah dan pihak korporat sekaligus mengurangkan kutipan cukai yang diterima kerajaan. Weeks juga berpandangan pengurangan dari segi defisit dan pinjaman kerajaan lebih sedikit daripada pengurangan perbelanjaan yang digerakkan pihak kerajaan itu sendiri.

Impak

Jika anda rasa impak dari langkah jimat cermat Britain ini nampak tak seberapa, lihat angka-angka ini. Sejak Osborne memperkenalkan dasar jimat cermat pada tahun 2010, kadar KDNK negara berkenaan berkurangan setiap tahun dengan angka 2018-2019 sebanyak 99.4 bilion paun dan jangkaan kehilangan KDNK sebanyak 117 bilion paun pada tahun 2022-2023. Sementara isi rumah Britain pula mengalami pengurangan pendapatan sebanyak 3,600 paun sterling pada tahun ini saja.

Bagi Chancellor of the Exchequer bayang-bayang dari Parti Buruh iaitu John McDonnell, situasi ini jelas menunjukkan langkah jimat cermat yang diperkenalkan Osborne bukan saja mengarut tetapi juga menjejaskan keharmonian masyarakat berikutan pertambahan dari segi ketidaksamaan pendapatan dan ketidakstabilan dalam masyarakat. Ini ditambah dengan pendedahan peningkatan bilangan kanak-kanak yang ditempatkan di petempatan sementara sebanyak 70% sejak Parti Konservatif berkuasa pada tahun 2010. Dan bilangan orang yang tiada rumah yang mati di jalanan meningkat sebanyak 24% sejak lima tahun lepas dengan hampir 600 orang mati di England dan Wales pada tahun 2017.

IMF Selar Dasar Jimat Cermat

IMF dalam satu laporannya turut menyelar dasar jimat cermat yang dipilih sesetengah negara termasuk Britain. Panel penyelidikan ekonomi IMF terdiri daripada Jonathan Ostry, Prakash Loungani dan Davide Furceri melihat dasar jimat cermat hanya berbaloi sekiranya faedah langkah-langkah penjimatan mengatasi keburukan dasar berkenaan. 

Menurut mereka, langkah yang dikatakan dapat menurunkan tahap hutang di mana kerajaan perlu memilih langkah iaitu menambah cukai sedia ada, mengurangkan perbelanjaan atau melakukan kedua-duanya. Kos kenaikan cukai atau pengurangan perbelanjaan kerajaan dilihat jauh lebih tinggi daripada pengurangan risiko untuk mengurangkan tahap hutang. Ketiga-tiga panel turut menolak dasar jimat cermat bagus untuk pertumbuhan ekonomi dan melihat ia menambah lagi kadar pengangguran jangka panjang sebanyak 0.6%.

Jadi, sedikit nasihat kepada empunya badan di atas. Sudah-sudahlah menjaja cerita hutang ke hulu dan ke hilir. Nak jana pertumbuhan, ia perlu dibuat dengan berbelanja bukannya dengan melancarkan pemotongan perbelanjaan kerajaan, membatalkan atau menangguhkan projek-projek sedia ada. Buktinya sudah ada di depan mata sama ada di Greece atau di Britain. Tolonglah, hujah dasar jimat cermat merupakan penyelamat ekonomi bukan saja satu hujah basi tetapi bahan jenaka pakar-pakar ekonomi di serata dunia.

Sumber
Woodcock, Andrew. (2019). The Independent. Austerity has cut UK GDP growth by almost £100bn, new report saysWeeks, John. (2018). The Conversation. Ending austerity: why public spending is key to building a stable and fair economyElliot, Larry. (2016). The Guardian. Austerity policies do more harm than good, IMF study concludesMerrick, Rob. (2018). The Independent. George Osborne denies his austerity caused homelessness crisis: ‘It’s not a lack of moneyKenton, Will. (2018). Investopedia. Austerity.
Tags
Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker