Polisi

Dasar Ekonomi Perlu Mementingkan Kesejahteraan Kaum Dan Rakyat Sejagat

Dasar ekonomi perlu dirangka dalam memastikan setiap lapisan kaum dan masyarakat di Malaysia tidak ketinggalan dalam menikmati penagihan kekayaan di dalam negara ini. Keperluan masyarakat tidak dapat dicapai secara universal sekiranya masih terdapat kaum-kaum yang masih ketinggalan dalam menikmati kesenangan hidup.

Tun Daim berucap dalam Persidangan Antarabangsa Kebangkitan Isu Dasar Awam Aliran dan Unjuran Global (IPP 2019) di Institut Pengurusan dan Dasar Awam (INPUMA), Universiti Malaya menyatakan “Orang Melayu masih berhadapan pelbagai retorik politik yang menyebabkan mereka terus ‘disuap’ dan dimanjakan”.

Dalam ucapan yang sama, beliau menegaskan dalam ucapannya “ini hanya melemahkan orang Melayu dan scenario ekonomi global, perkara ini tidak memberi kesan baik kepada mereka”.

Menjawab soalan bahawa tidak ada perubahan yang progressif dalam kehidupan kaum Melayu adalah sangat tidak tepat. Jika dikaji dalam statistik yang disediakan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU), setiap kaum menunjukkan perubahan progressif. Akan tetapi, orang Melayu masih ketinggalan dalam menikmati pengagihan kekayaan di Malaysia.

Perlu difahami bahawa, Tanah Melayu telah dijajah lebih kurang 400 tahun dan penjajah terakhir iaitu British telah melaksanakan dasar ‘pecah dan perintah’ selama mereka memerintah Tanah Melayu. Kaum-kaum Melayu dituduh sebagai malas oleh kerana tidak mahu bekerjasama dengan pihak penjajah ketika itu. Kesannya, penjajah membawa masuk buruh daripada China dan India dalam memastikan pemerintahan British berjalan dengan lancer ketika itu.

Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilancarkan oleh Tun Abdul Razak dalam Rancangan Malaysia Ke-2. Terdapat dua objektif yang diletakkan oleh beliau iaitu;

  1. Menghapuskan aktiviti ekonomi yang berteraskan kaum
  2. Mengurangkan dan menghapuskan kadar kemiskinan di dalam negara

Kadar kemiskinan rakyat Malaysia mengikut kaum telah berjaya dikurangkan malah kaum yang telah mencapai kadar sifar dalam kemiskinan. Akan tetapi, terdapat kaum ‘lain-lain’ di Malaysia yang masih hidup dalam kemiskinan. Pada tahun 2016, insiden kemiskinan yang direkodkan untuk kaum tersebut adalah 1.5%. Manakala kaum Melayu, Cina, dan India masing-masing mempunyai kadar kemiskinan sebanyak 0.5%, 0.1% dan 0.1%.

Semenjak DEB dilancarkan pada tahun 1970, insiden kemiskinan telah berjaya dikurangkan sehingga mencapai kadar sifar untuk kaum-kaum yang telah disebutkan sebelum ini. Jelas sekali, salah satu objektif DED untuk mengurangkan dan seterusnya menghapuskan kadar kemiskinan di Malaysia telah berjaya dicapai. Trend ini dapat dilihat dalam gambar rajah di bawah.

Jelas sekali, kadar kemiskinan telah berjaya dikurangkan dari tahun 1970 sehingga 2016. Untuk rekod, insiden kemiskinan kaum Melayu pada tahun 1970 adalah tertinggi iaitu sebanyak 64.8%. Pada tahun 2016, insiden kemiskinan untuk kaum ini telah berkurang sehingga mencapai kadar sifar iaitu 0.5%. Dasar ekonomi yang berteraskan kaum masih relavan untuk diteruskan kerana terdapat kaum-kaum yang masih dalam hidup dalam kemiskinan. Kerajaan seharusnya merangka sebuah dasar yang mementingkan keperluan rakyat sejagat dan juga kaum yang masih belum mencapai taraf ekonomi yang ideal.

Bacaan berkaitan: Ketidakseimbangan Pemilikan Pendapatan dan Harta Antara Kaum di Malaysia

Seterusnya, pendapatan isi rumah kasar bulanan penengah mengikut kaum di Malaysia dari tahun 1970 sehingga 2016 menunjukkan bahawa pendapatan rakyat setiap kaum telah meningkat secara progressif. Pada tahun 2016, kaum Cina, India, Melayu dan lain-lain masing-masing mempunyai pendapatan bulanan penengah sebanyak RM 6582, RM 5428, RM 4846 dan RM 3780. Dua kaum yang ketinggalan dalam menikmati pengagihan kekayaan di Malaysia ialah kaum Melayu dan lain-lain. Jurang pendapatan bulanan penengah ini dapat dilihat pada tahun 2016 dengan kaum Cina dan India menikmati pendapatan bulanan tertinggi berbanding dua kumpulan kaum yang selebihnya.

Jurang pendapatan antara Kaum Cina dengan Melayu adalah sebanyak RM 1736. Manakala, Kaum India dengan Melayu pula sebanyak RM 582. Jelas sekali, pendapatan yang diterima setiap kaum tidak selari. Seterusnya, keadaan ini akan memberi kesan kepada pemilikan kekayaan seperti ekuiti dan hartanah. Secara logiknya, individu atau kumpulan yang menikmati pendapatan yang lebih akan mempunyai keupayaan yang tinggi dalam memiliki apa-apa jenis kekayaan.

Jurang pendapatan antara kaum seharusnya ditelusuri dan seterusnya sebuah dasar dapat dirangka untuk memastikan setiap kaum di Malaysia dapat menikmati pendapatan yang sama. Kerana, kaum Melayu dan lain-lain masih ketinggalan dalam menikmati kekayaan di Malaysia. Pihak kerajaan seharusnya peka dengan keadaan yang sedang melanda untuk melaksanakan apa-apa polisi ekonomi pada masa akan datang.

Seterusnya kita perincikan isu pendapatan ini kepada golongan B40. Golongan ini antara golongan yang banyak ketinggalan dalam menikmati kehidupan yang lebih selesa kerana pendapatan mereka yang kurang. Namun gambaran yang sama dapat dilihat daripada isi yang dibincangkan sebelum ini bahawa kaum Cina dan India menikmati hasil pendapatan yang lebih banyak berbanding kaum Melayu dan lain-lain.

Kaum Cina, India, Melayu dan lain masing-masing menikmati purata pendapatan bulanan yang tidak seragam. Kaum Cina menikmati purata pendapatan bulanan paling tinggi iaitu sebanyak RM 3446 diikuti dengan kaum India iaitu sebanyak RM 3131. Seterusnya, kaum Melayu sebanyak RM 2666 dan akhir sekali kaum lain-lain dengan purata pendapatan sebanyak RM 2131.

Sekali lagi, isu yang perlu difokuskan ialah kaum-kaum Melayu dan lain-lain. Kumpulan ini bukan sahaja menerima kesan yang besar akibat pemerintahan penjajah British yang melaksanakan dasar ‘pecah dan perintah’. Namun, sehingga hari ini kumpulan-kumpulan ini masih berusaha untuk meningkatkan mutu kehidupan masing-masing.

Terdapat banyak lagi isu-isu diskriminasi yang berlaku di Malaysia yang menjejaskan pendapatan kumpulan-kumpulan kaum yang telah disebutkan ini. Sebagai pemerintah, kerajaan perlu peka dengan isu-isu diskriminasi yang berlaku terutamanya dalam sektor swasta yang mementingkan kaum-kaum tertentu dalam menjawat jawatan tertinggi dan pengambilan pekerjaan dalam sesebuah syarikat.

Kerajaan seharusnya memberikan definisi yang tepat kepada ‘golongan yang memerlukan’. Siapakah golongan yang memerlukan ini dan bagaimana mereka harus dibantu. Pada akhir sekali, kerajaan perlu sedar bahawa ‘golongan yang memerlukan’ ialah kumpulan-kumpulan kaum yang tertinggal dalam menikmati pendapatan dan pemilikan kekayaan di Malaysia. Dalam artikel ini, kaum yang ketinggalan ialah Melayu dan lain-lain.

Kesimpulannya, kerajaan masih perlu membantu kaum-kaum ini. Dalam masa yang sama turut membantu golongan daripada kaum lain yang mempunyai masalah kewangan yang serupa.

Sumber
Unit Perancang Ekonomi. (2018). Jadual 3: Pendapatan Isi Rumah Kasar Bulanan Penengah Mengikut Kumpulan Etnik, Strata dan Negeri, Malaysia, 1970-201Unit Perancang Ekonomi. (2018). Jadual 5: Pendapatan Isi Rumah Kasar Bulanan Purata Bagi Kumpulan Isi Rumah 20% Tertinggi, 40% Pertengahan dan 40% Terendah Mengikut Kumpulan Etnik dan Strata, Malaysia, 1970-2016Unit Perancang Ekonomi. (2018). Jadual 7: Insiden Kemiskinan Mengikut Kumpulan Etnik, Strata dan Negeri, Malaysia, 1970-2016
Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel Lain

Close
Back to top button
Close
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker