Kerjaya

Cuti Pertengahan Minggu Suntikan Terbaik Produktiviti Pekerja?

Bagi yang sudah bekerja, pasti ramai menantikan cuti hujung minggu sama ada cuti Sabtu dan Ahad atau Jumaat dan Sabtu mengikut negeri-negeri tempat anda bekerja. Cuti sebegini merupakan peluang terbaik untuk berehat dan meluangkan masa bersama keluarga atau melakukan aktiviti senggang. Tetapi bolehkah anda menghadam senario bercuti pada pertengahan minggu dan bekerja selama empat hari seminggu? Nampak mustahil tetapi itu yang dilaksanakan agensi pemasaran digital Australia, Versa.

Inisiatif perlaksanaan kerja empat hari seminggu ini sudah dilakukan selama setahun di mana pekerja diberi cuti pada hari Rabu, pekerja bekerja selama empat hari seminggu tetapi diberi gaji lima hari seminggu. Waktu bekerja masih standard pada hari Isnin, Selasa, Khamis dan Jumaat dan semua mesyuarat diadakan pada empat hari berkenaan. Tiada sebarang mesyuarat diadakan pada hari Rabu tetapi jika ada klien yang nak berhubung, maka itu menjadi tanggungjawab pekerja untuk membantu.

Apabila syarikat membentangkan rancangan ini kepada para pekerja, pada mualanya pengurus projek Versa, Tiffany Schrauwen merasa seronok tetapi kemudiannya merasa gelisah bagaimana pelan ini berfungsi. Sebagai pengurus projek, dia merupakan orang hubungan utama staf dan klien. Jadi jika ada masalah, terlepas tarikh akhir atau masalah komunikasi antara kedua-dua pihak, dia bakal menerima bahananya. Untuk mengurangkan impak yang terhasil dari perlaksanaan cuti empat hari itu, sesetengah tugas ditetapkan tarikh akhir menjelang cuti pertengahan minggu, lebih banyak fokus dalam mesyuarat dan mengurangkan perbualan kosong. Schrauwen berkata, “Semua orang mahukan ia menjadi kerana kami suka dengan kefleksibelan. Jika saya nak kekalkan cuti Rabu, maka saya harus menyediakan minggu saya dengan lebih baik.”

Bacaan berkaitan: Tips Mendapatkan Kenaikan Gaji

Sejak dilaksanakan pada Julai 2018, pendapatan syarikat bertambah sebanyak 46% dan keuntungan syarikat meningkat sebanyak tiga kali ganda. Walaupun CEO dan pengasas syarikat Versa, Kath Blackham cuba merendahkan kepentingan perubahan polisi ini, polisi ini turut disokong dengan kadar pusing ganti pekerja yang rendah dan penggunaan pasukan yang konsisten yang membawa kepada keuntungan syarikat. Dan secara tidak langsung, ia memberi satu kepuasan kepada Blackham yang memperjuangkan tempoh hari kerja fleksibel termasuk menyakinkan pasukan kepimpinan syarikat untuk mengadakan tempoh percubaan minggu kerja empat hari seminggu dan bersedia kembali ke format kerja lima hari seminggu sekiranya ia tidak menjadi.

Dengan cuti pertengahan minggu ini, pekerja-pekerja memanfaatkan cuti dengan bersenam di gimnasium, menjaga anak-anak kecil, menjadualkan temu janji, menyediakan asas syarikat baru atau sekadar menonton rancangan-rancangan laman sesawang penyiaran seperti Netflix dan Amazon. Menurut Blackham, sejak ia diperkenalkan, ia menurunkan kadar pengambilan cuti sakit dan meningkatkan tahap kepuasan pekerja terhadap syarikat. Beliau melihat menerusi pengenalan cuti ini, ia memberi kesegaran dan motivasi kepada pekerja apabila mereka kembali bekerja pada seterusnya dan sekaligus meningkatkan lagi kadar produktiviti pekerja. Blackham bimbang jika mereka memilih cuti pada akhir minggu, ia akan memberi galakan kepada pekerja-pekerja memilih suasana percutian hujung minggu yang lebih lama. Beliau juga mendapati jika pekerja memilih hari cuti mereka, ia akan mencetuskan masalah kepada staf dan klien serta berpotensi menggugat produktiviti syarikat.

Bagi Profesor Jarrod Haar dari Universiti Teknologi New Zealand, beliau tidak terkejut mengapa cuti hari Rabu ini memberi kesan positif kepada syarikat. Haar turut menemubual kakitangan syarikat sebagai sebahagian daripada kajian penyelidikannya berkenaan empat hari bekerja itu mendapati ramai kakitangan syarikat lebih suka bercuti pada pertengahan minggu. Beliau menambah, “Cuti Rabu bermakna anda akan kembali bekerja keesokan harinya dan itulah masa di mana ramai merasakan diri mereka lebih produktif.” Selain Versa, syarikat pengurusan hartanah Perpetual Guardian turut melaksanakan modul sama tahun lepas tanpa kehilangan sedikit pun produktiviti mereka. Seperti Versa, kadar kepuasan pekerja meningkat dan penurunan kadar pengambilan cuti sakit tetapi syarikat kehilangan staf yang tidak dapat beradaptasi dengan perubahan itu.

Menurut pemilik dan CEO Perpetual Guardian, Andrew Barnes, perlaksanaan modul empat hari bekerja itu sebenarnya mengikut arus perubahan masa. Tidak seperti Blackham yang didorong oleh keinginan menjadikan tempat kerja sebagai tempat yang fleksibel, Barnes pula didorong oleh satu kajian yang mendedahkan pekerja hanya bermotivasi selama dua setengah jam. Menurut beliau, pasti ada cara lebih baik untuk menjaga kebajikan pekerja tanpa mengorbankan produktiviti syarikat.

Tidak ramai tahu semasa ia diperkenalkan pada tahun 1920-an, konsep lima hari bekerja dianggap satu idea bersifat revolusi semasa diperkenalkan oleh Henry Ford. Ford memberi peluang kepada pekerja-pekerja syarikat bercuti pada hujung minggu dengan harapan ia menjadikan mereka lebih produktif. Dan melihat kepada perubahan teknologi ketika itu, pelopor mazhab ekonomi Keynesian, John Maynard Keynes turut meramalkan waktu bekerja berkemungkinan dikurangkan kepada 15 jam sahaja pada tahun 1930. Dan hampir satu abad selepas itu, sudah ramai mahu mencuba menstruktur kembali minggu bekerja dari negara-negara Scandinavia hinggalah Great Britain dan Ireland. Bagaimanapun, tidak semua sektor sesuai dengan konsep ini seperti yang berlaku pada sebuah rumah jagaan kendalian kerajaan di Stockholm. Selepas bereksperimen dengan minggu empat hari bekerja, ia menyaksikan kos pengambilan staf bertambah berikutan keperluan mengambil lebih ramai pekerja diperlukan untuk mengisi kekosongan.

Walaupun ada yang menunjukkan minat terhadap konsep minggu empat hari bekerja ini, wujud kebimbangan bahawa ia akan menjadikan syarikat tidak berdaya saing dan memberi tekanan kepada pekerja. Menurut Blackham dan Schrauwen, kunci utamanya di sini ialah kefleksibelan di mana ada masanya pekerja perlu mengorbankan hari cuti hujung minggu mereka demi menyelesaikan projek penting klien. Tambah Barnes, jika hendak menjadikan konsep ini sebagai berjaya, mereka perlu membenarkan staf datang dengan solusi mereka dan menjadikan mereka bertanggungjawab untuk mencapai sasaran produktiviti jika mereka hendak menjadikan konsep cuti ini berjaya.

Ketika ini, Perpetual Garden menjadi mentor kepada 50 lagi organisasi dalam soal minggu empat hari bekerja ini. Menurut Barnes, jika ia diteruskan secara meluas, ia sebenarnya banyak membantu mengurangkan permasalahan sosial seperti tekanan mental, isu kekeluargaan dan masalah alam sekitar. Dan menurut Profesor Rae Cooper dari Universiti Sydney, modul minggu empat hari bekerja ini juga dilihat solusi terbaik kepada isu kehilangan tenaga kerja wanita dari sektor pekerjaan. Ini kerana menerusi pengenalan modul ini, ia memberi kefleksibelan kepada wanita untuk bekerja tanpa perlu mengorbankan peranannya sebagai isteri dan ibu kepada anak-anak. Dan tambah Blackham, ini merupakan sesuatu yang diusahakannya bagi memastikan anak perempuannya masih boleh menikmati kehidupan berkeluarga tanpa perlu mengorbankan karier pekerjaannya pada masa hadapan. Tambah Blackham, “Tiada siapa yang harus berlawan untuk mendapatkan kefleksibelan.”

Sumber
Ribeiro, Celina. (2019). The Australian company that banned work on Wednesdays. BBC
Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker