Ekonomi

Cukai Digital: Dilema Pendapatan Dan Impak Ekonomi

Baru-baru ini, Perancis bertegang urat dengan Amerika Syarikat berhubung keputusan Paris mengenakan cukai digital ke atas firma-firma gergasi digital di mana majoriti dikuasai oleh firma Amerika seperti Amazon, Facebook dan Google. Dan seperti biasa, pentadbiran Donald Trump mengugut akan bertindak balas termasuk kemungkinan mengenakan tarif ke atas Paris. Tetapi sebelum kita mengambil popcorn dan duduk di kerusi empuk menonton ‘drama air mata’ terbaru Trump ini, apa itu cukai digital sebenarnya?

Cukai digital ialah satu cukai yang dikenakan ke atas firma-firma digital yang melakukan urusan perniagaan secara dalam talian di sesebuah negara. Tidak seperti syarikat fizikal yang terikat dengan rejim cukai sesebuah negara, ini tidak berlaku kepada firma digital kerana perkhidmatan atau produk yang dijual kepada pelanggan mereka tidak dikenakan sebarang cukai. Keadaan ini bukan sekadar membantu mereka meraih keuntungan berlipat kali ganda tetapi mengakibatkan sesebuah negara kehilangan peluang pendapatan berjuta-juta ringgit setiap tahun. Justeru, untuk mengelak situasi ini dari terus berlaku dan peluang menambah lebih banyak wang dalam kantung kewangan negara, ini yang membawa kepada pengenalan cukai digital.

Walaupun ada sesetengah negara memilih pendekatan tunggu dan lihat berikutan keputusan resolusi Kumpulan G20 berkenaan pendekatan multilateral cukai digital, sesetengah negara sudah memilih untuk melaksanakan cukai berkenaan. Di Malaysia misalnya, cukai digital merupakan sebahagian daripada langkah yang diperkenalkan dalam belanjawan sebelumnya di mana ia ditetapkan pada kadar 6% dan berkuatkuasa pada 1 Januari 2020. Jika dibandingkan kadar cukai digital dengan cukai digital negara-negara luar, kadar cukai ini jauh lebih rendah berbanding Norway (25%), Rusia (18%) dan New Zealand (15%). Cukai ini bertujuan menyamakan lapangan persaingan antara syarikat tempatan dengan firma luar negara dan terpakai kepada syarikat atau firma yang mempunyai pendapatan RM500,000 dari pengguna dan penyedia perkhidmatan digital yang berpangkalan di luar Malaysia.

Selain Malaysia, Singapura juga akan mengenakan levi digital ke atas pembekal perkhidmatan digital pada tahun hadapan sebagai sebahagian daripada pengembangan cukai barang dan perkhidmatan (GST) negara itu ke atas syarikat-syarikat yang tidak mempunyai kelibat fizikal di Singapura. Kadar cukai terkini sebanyak 7% akan naik kepada 9% antara 2021 hingga 2025 dengan ia terpakai kepada vendor yang mempunyai nilai jualan melebihi S$100,000 dalam pembekalan perkhidmatan digital kepada pengguna Singapura dan mempunyai nilai pusing ganti global lebih sejuta dolar Singapura. Singapura menjangkakan akan mendapat pulangan sebanyak S$90 juta setahun menerusi pengenalan cukai ini. Sementara Korea Selatan memperkenalkan cukai sama dengan kadar 10% pada bulan ini dengan matlamat memaksa firma-firma digital ini membayar nilai cukai sama yang dibayar oleh firma-firma Korea. Seoul dijangka dapat menjana pendapatan cukai lebih 400 bilion won (RM1.3 bilion) setahun.

Melihat kepada amaun ini, ia dilihat merupakan satu langkah bijak untuk menambah kantung kewangan sesebuah negara. Tetapi ia juga datang dengan pelbagai cabaran tersendiri. Pertama, dengan pengenalan cukai ini, usah terkejut jika harga perkhidmatan digital dijangka meningkat. Ini kerana dengan cukai ini, firma boleh memilih sama ada menyerap cukai itu atau mengalihkannya kepada pengguna menerusi kenaikan harga sekaligus boleh membebankan kedudukan kewangan pengguna. Kedua, tidak semua syarikat akan bersikap sukarela dalam mendaftar berkenaan cukai digital. Melainkan sekiranya mereka diberi insentif atau dikenakan tekanan untuk mendaftar, mereka tidak akan menyahut seruan kerajaan dan akan menentang perlaksanaan cukai itu habis-habisan. Ini sudah pasti menyukarkan kerajaan mengutip cukai digital kerana mereka tiada pangkalan data diperlukan untuk membantu mereka mengesan syarikat-syarikat yang enggan membayar cukai. Selain untuk melihat sama ada mereka mendaftar atau tidak, pangkalan data ini juga berfungsi untuk merekodkan nilai sebenar keuntungan atau pendapatan syarikat yang boleh dicukaikan.

Melihat kepada kerumitan cabaran ini, maka tidak hairanlah mengapa pentadbiran Trump mahukan ia ditangguhkan terlebih dahulu bagi memberi peluang kepada Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) memberi penyelesaian bersifat tuntas pada akhir tahun ini. Masalahnya, menanti OECD memberi solusi yang bersifat menang-menang kepada semua negara dalam soal cukai digital ini mengambil masa yang lama dan tidak semua negara berkongsi sentimen cukai digital ini. Tatkala Perancis menyertai kumpulan negara yang cenderung ke arah cukai digital, sesetengah memilih menolak perlaksanaannya atas alasan ia akan menjejaskan keupayaan mereka menarik firma-firma asing terutama firma digital melabur di negara mereka.

Antara negara yang menolak perlaksanaan cukai digital ialah China, Jerman, Luxembourg dan Ireland. Sementara Amerika Syarikat pula mahu melindungi firma-firma digitalnya dari terkena semua ini dan menganggap ia merupakan satu kesilapan. Bagi Trump, ia hanyalah satu alasan untuk menyiasat sama ada berbaloi atau tidak Perancis dikenakan tarif sebagai tindak balas cukai ini. Pentadbiran Rumah Putih boleh mengenakan tarif ke atas produk ikonik Paris seperti wain, keju dan minyak wangi atau mengenakan cukai berganda ke atas syarikat-syarikat Perancis. Bagaimanapun, kemungkinan Trump untuk membuka satu lagi medan perang dagang masih kabur berikutan tidak mahu menjejaskan peluang pemilihan semula pada tahun hadapan. Ketika ini, pentadbiran Rumah Putih sedang sibuk berunding dengan China untuk menamatkan perang dagang kedua-dua negara selepas Trump dan Presiden China, Xi Jingping bersetuju menggantung semua bentuk tarif semasa Persidangan G20 di Tokyo baru-baru ini.

Dan mood Trump juga tidak akan dibantu dengan pengumuman Chancellor of the Exchequer (Menteri Kewangan), Philip Hammond baru-baru ini. Hammond mengumumkan Britain akan memperkenalkan cukai perkhidmatan digital sebanyak 2% dan mensasarkan syarikat yang berpendapatan dan meraih keuntungan sebanyak 500 juta paun sterling (RM2.58 bilion). Britain dijangka dapat menjana pendapatan cukai sebanyak 400 juta paun (RM2.06 bilion) setahun dan dijangka berkuatkuasa pada April tahun hadapan. Pengenalan cukai ini sudah dinyatakan semasa pembentangan Belanjawan 2018 pada Oktober tahun lepas.

Jika langkah ini tetap diteruskan terutama selepas Brexit yang dijangka berlaku pada Oktober tahun ini, ia sudah pasti akan menjadikan hubungan Washington-London sedia ada bertambah tegang terutama selepas insiden kebocoran memo duta Britain ke Washington, Sir Kim Darroch yang membawa kepada perletakan jawatan beliau beberapa hari lepas. Selagi OECD tidak mengeluarkan solusi bersifat menang-menang dalam soal cukai digital, ia sudah pasti akan mencetuskan lebih banyak pening kepala untuk banyak negara. Dan bagi individu yang bersifat opportunist seperti Trump, ini memberi lebih banyak alasan kepadanya ‘memperbetulkan ketidakseimbangan dagangan’ yang melanda Amerika hari ini.

Persoalannya, apakah langkah itu benar-benar akan membantu ekonomi negara itu terutama firma-firma digital seiring dengan perkembangan ekonomi digital dunia? Melihat kepada kesibukan pentadbirannya memulihkan semula kerosakan ekonomi yang tercetus akibat label tarif ini, kita semua tahu langkah seterusnya bukan tarif. Tetapi tiada yang mustahil dengan pentadbiran Trump kerana tiada siapa terlepas dikenakan tarif walaupun yang terkena ialah sekutu sendiri.

Sumber
Chrisafis, Angelique. (2019). France hits back at US over tax on digital giants. The GuardianBBC. (2019). France passes tax on tech giants despite US threatsBBC. (2019). France tech tax: What's being done to make internet giants pay more?. Schulze, Elizabeth. (2019). France’s digital tax could hurt consumers more than tech companies. CNBCGold, Hadas. (2019). The UK and US are on a collision course over taxing Big Tech. CNN.Pramuk, Jacob. (2019). How Trump could use tariffs to fight back against France’s tax on US technology giants. CNBCLim, Justin dan Syed Jaafar, Syahirah. (2019). Experts say 6% digital tax will be borne by consumers from Jan 1, 2020. The Edge Markets. The Straits Times. (2019). Digital tax plans in different countries. Wallace, Tim. (2019). CBI urges Chancellor to hit pause button on digital tax. The Telegraph
Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker