Ad
Berita

CIMB Islamic, Takaful Ikhlas Sasar Sumbangan Kasar RM168 juta

dengan sasaran pertumbuhan 11 peratus tahun ke tahun

KUALA LUMPUR, 7 Ogos — Takaful Ikhlas General Bhd, anak syarikat milik penuh MNRB Holdings Bhd menjalin kerjasama strategik bancatakaful dengan CIMB Islamic Bank Bhd dengan sasaran pertumbuhan 11 peratus tahun ke tahun dari segi sumbangan kasar berjumlah RM168 juta bagi lima tahun akan datang.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Takaful Ikhlas Eddy Azly Abidin berkata menerusi kerjasama itu, syarikat berkenaan akan muncul sebagai penyedia Takaful am pilihan untuk semua pelanggan CIMB Islamic dan memanfaatkan saluran kemudahan bank itu yang meluas, termasuk 250 cawangan di seluruh negara, platform dalam talian serta pusat panggilannya.

“Pada peringkat awal, kami akan menawarkan perlindungan motor dan kediaman menerusi saluran-saluran tersebut. Namun, pada masa depan, kami akan turut memasukkan pakej Perusahaan Kecil dan Sederhana serta komersial, insurans berkaitan pengembaraan dan insurans perjalanan mengerjakan ibadah haji,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan jalinan kerjasama strategik itu di sini, hari ini.

Ad

Mengulas selanjutnya, Eddy Azly berkata pada 2018, indusri takaful am itu berkembang sebanyak 8.9 peratus dengan menjana sumbangan kasar RM2.79 bilion berbanding RM2.56 bilion pada 2017 walaupun dalam persekitaran ekonomi yang mencabar.

“Industri itu dijangka meningkat sekitar 7.0 peratus tahun ini dan kedua-dua syarikat yakin bahawa kerjasama itu akan menjadi pemangkin perniagaan baharu selain menyumbang kepada pertumbuhan,” katanya.

Menurutnya, sumbangan kasar Takaful Ikhlas pada masa ini adalah kira-kira RM300 juta dan menyasarkan pertumbuhan dua digit bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2020 menerusi kerjasama dan memanfaatkan pertumbuhan dalam pembiayaan Islam.

Selain itu, sebagai rakan kewangan pertama penyedia insurans itu, beliau berkata kalangan pelanggan CIMB Islamic akan turut mendapat manfaat program wakaf Takaful Ikhlas yang mana RM1,000 akan diperuntukkan bagi tujuan wakaf atas nama peserta yang meninggal dunia akibat kemalangan, kepada pihak institusi yang diiktiraf.

Sementara itu, CEO CIMB Islamic, Rafe Haneef berkata bank itu akan mengembangkan kerjasama itu dengan memanfaatkan asas kukuh sedia ada yang merangkumi sejuta orang pemegang polisi.

“Perniagaan sedia ada kami sudah pun mewujudkan permintaan terhadap produk ini. Setiap kali kami menawarkan pembiayaan Islam, Takaful akan menjadi syarat keperluan kerana peraturan perbankan Islam menetapkan mereka yang menerima kemudahan itu untuk memilih Takaful,” katanya.

Rafe berkata Bank Negara Malaysia juga menjangkakan aset perbankan Islam menyumbang 40 peratus daripada jumlah aset perbankan menjelang 2020 dan CIMB Islamic turut seiring sasaran itu yang akan hanya meningkatkan permintaan terhadap produk-produk Takaful.

“Oleh itu, jalinan kerjasama dengan rakan kongsi dengan rekod prestasi 16 tahun yang kukuh adalah penting bagi memastikan tawaran produk Takaful berkualiti untuk pelanggan kami.

“Selain rangkaian cawangan kami, pelbagai tawaran Takaful Ikhlas juga akan dibuat bagi pembelian menerusi platform dalam talian CIMB Clicks menjelang akhir 2019,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

Back to top button